Pihak berkuasa di Kedah dan Pulau Pinang harus memastikan tiada lagi tapak pembuangan sampah sepanjang tebing Sungai Muda, yang menjadi sumber air mentah bagi kedua-dua negeri itu, kata Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn Bhd (PBAPP) hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jaseni Maidinsa hari ini berkata melindungi sungai sepanjang 203 km itu adalah salah satu tindakan yang boleh diambil bagi memastikan bekalan air untuk 2.16 juta orang di Kedah dan 1.77 juta di Pulau Pinang tidak diancam oleh lambakan sampah haram dan pencemaran sungai.

Jaseni yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PBA Holdings Bhd (PBAHB) mencadangkan supaya semua pemilik tanah mengekalkan rizab tebing sungai sepanjang 30 meter di sepanjang sungai untuk meminimumkan risiko kemalangan, seperti tumpahan kimia dan pencemaran yang tidak disengajakan .

"Kerahkan anggota penguatkuasa undang-undang untuk meronda kawasan sungai dan tebing sungai untuk mengesan dan menghalang kegiatan haram yang mengancam kualiti air sungai, (dan) menilai semua aktiviti sosioekonomi di sepanjang tebing sungai untuk menentukan tahap risiko pencemaran sungai, dengan tujuan menggubal undang-undang untuk melindungi sungai, dan seterusnya bekalan air di Kedah dan Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan.

Kenyataan itu dikeluarkan berikutan laporan berita semalam mengenai kewujudan pembuangan sisa seluas 1.8 hektar di Kampung Kemumbung di Sidam Kiri, Sungai Petani, Kedah, yang sebenarnya adalah 22.8km ke hulu Takungan Air Lahar Tiang di Pulau Pinang.

Laporan berita itu juga mendakwa bahawa sisa yang ditemukan di tapak buangan itu termasuk sisa elektronik dan bahan kimia dan PBAPP telah mula mengumpul dan menghantar sampel air untuk ujian di makmal bebas.

Pada tahun 2018, keputusan ujian terhadap 3,182 sampel air terawat, yang telah dikumpulkan di 213 pensampelan di seluruh Pulau Pinang, menunjukkan bahawa air minuman yang dibekalkan oleh PBAPP adalah bersih dan selamat.

“Kami ingin mengesahkan bahawa aktiviti pembuangan sisa haram di Sungai Muda di Kedah tidak menjejaskan kualiti air mentah di Takungan Air Lahar Tiang," kata Jaseni sambil menambah bahawa 80 peratus air mentah harian Pulau Pinang berasal dari sungai ini.

Menurutnya, Sungai Muda merupakan sumber air mentah utama yang dikongsi oleh Kedah dan Pulau Pinang, dengan pertengahan sungai ini mentakrifkan sebahagian daripada sempadan kedua-dua negeri itu.

Insiden ini (lambakan pembuangan haram) harus dianggap sebagai “panggilan kejutan daripada lena” bagi pihak berkuasa untuk mengambil tindakan sewajarnya, dengan segera dan secara menyeluruh. 

"Di semua kos, kita mesti menghalang dan mengelakkan bencana seperti yang berlaku Sungai Selangor yang menjejaskan berjuta-juta pengguna air pada awal bulan ini, "katanya.

- Bernama