Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Mohamed diminta bertindak berani untuk memberi nafas baru kepada institusi pengajian tinggi tempatan .

Pergerakan Pemnuda DAP mahu menteri itu mengembalikan hak pelajar seperti yang diperuntukan dalam perlembagaan.

Timbalan Pengerusi pergerakan itu, Fong Po Kuan berkata, buat masa ini pelajar pusat pengajian tinggi tidak mempunyai hak kebebasan bersuara dan berkumpul berbanding rakan sebaya yang terus bekerja selepas tamat tingkatan lima atau enam.

Beliau yang juga ahli Parlimen Batu Gajah berkata demikian ketika mengulas tindakan Universiti Malaya (UM) mendakwa 17 orang pelajar yang terlibat dengan perhimpunan awam di hadapan Bangunan Parlimen pada 21 September lalu.

"Memandangkan Datuk Mustapa berhasrat menarik 100,000 pelajar asing ke negara ini tindakan seperti itu adalah tidak sihat," katanya dalam kenyataan media hari ini.

Menurut Fong, tindakan pihak pentadbiran UM itu menjejaskan imej sektor pendidikan negara.

Minggu lalu dilapokan 17 pelajar universiti tersebut telah dihantar surat disiplin yang ditandatangani oleh Naib Cancelor, Datuk Hashim Yaakob kerana didakwa melanggar Akta Universiti Kolej Universiti (Auku).

Fong berkata, tindakan UM itu juga bertentangan dengan aspirasi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang menyatakan di bawah Rancangan Malaysia ke-9 (RMK9) dasar kerajaan ditumpukan kepada pembangunan modal insan.

"Justeru dalam mencapai hasrat itu, pelajar universiti merupakan salah satu sasaran utamanya," katanya lagi.

Sehubungan itu katanya Auku adalah bercanggah dengan hasrat kerajaan untuk melahirkan insan yang berkaliber, berdaya kreativiti tinggi dan berminda kritikal.

Fong juga menekankan bahawa bekas Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Shafie Salleh pernah berkata, bahawa Auku akan dikaji semula dan satu jawatankuasa telah ditubuhkan bagi tujuan tersebut.