Najib: Selat Melaka selamat dari pengganas
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perairan Malaysia terutama Selat Melaka adalah laluan yang selamat.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, perairan Malaysia terutama Selat Melaka adalah laluan yang selamat.
Menurut beliau, dari Jun hingga Disember tahun lepas hanya satu kes lanun dilaporkan berbanding 18 kes di dalam tempoh yang sama pada 2004.
" Dan sehingga kini, tiada kes rompakan di lautan telah dilaporkan, dan juga tiada bukti yang dapat mengaitkan insiden rompakan di lautan perairan Malaysia dengan pengganas antarabangsa," katanya semasa merasmikan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) di Pelabuhan Utara, Pelabuhan Klang hari ini.
Menurut laporan Bernama, lebih separuh daripada kapal pengangkut minyak mentah dunia serta lebih 300 kapal kargo menggunakan laluan Selat Melaka setiap hari.
Memandangkan keadaan keselamatan yang lebih baik di Selat Melaka, Najib berkata syarikat insurans yang pernah melabelkan perairan itu sebagai "zon perang" harus menilai semula premium yang dikenakan sebelum ini.
"Jika masih ada perkiraan syarikat-syarikat insurans menganggap Selat Melaka sebagai "war zone" untuk menaikkan premium, data ini menunjukkan sebaliknya. Kita harap mereka fikir semula penilian mereka," katanya.
Mengenai penubuhan APMM pula, Najib berkata, keselamatan perairan Malaysia terutama Selat Melaka, akan lebih terjamin dengan adanya agensi itu, yang ditubuhkan sebagai respon terhadap kebimbangan masyarakat antarabangsa mengenai ancaman keganasan.
Timbalan Perdana Menteri berkata Malaysia perlu memberi isyarat yang jelas kepada komuniti antarabangsa bahawa negara ini serius dalam hal keselamatan perairannya.
Sebagai negara perdagangan dan mempunyai perairan yang luas, Malaysia akan memberi keutamaan terhadap keselamatan perairannya, katanya.
"Sejak tragedi 11 September hampir lima tahun lepas, sudah tentu soal keganasan merupakan perkara yang dibimbangi oleh masyarakat antarabangsa. Berdasarkan perkembangan ini, respon Malaysia adalah dengan menubuhkan agensi maritim yang khusus iaitu APMM," jelasnya.
Antara lain peranan APMM ialah menguatkuasakan undang-undang dan ketenteraman di zon maritim Malaysia, melaksanakan tugas mencari dan menyelamat, mencegah pencemaran dan membanteras kegiatan lanun.

