Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini membayangkan beliau akan mengumumkan pilihan raya negeri tidak lama lagi.

"Saya akan umumkannya tidak lama lagi...secepat mungkin seperti yang saya inginkan," katanya.

Taib, yang juga pengerusi BN Negeri berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan cek sagu hati kepada 180 bekas anggota Polis Diraja Malaysia yang berkhidmat semasa darurat di Sarawak dari 1962 hingga 1974 di Kuching.

Spekulasi kini tersebar luas bahawa Dewan Undangan Negeri akan dibubarkan dalam tempoh dua bulan akan datang. Mandat lima tahun Dewan Undangan Negeri akan tamat pada 18 November.

Beberapa pemerhati politik malahan meramalkan 22 April sebagai tarikh bagi pembubaran itu.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Alfred Jabu berkata selepas mesyuarat majlis tertinggi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) pada Sabtu lepas bahawa BN Sarawak sudah bersiap sedia bagi pilihan raya negeri.

Jabu, yang juga timbalan presiden PBB, berkata parti-parti komponen BN negeri telah menggerakkaan jentera masing-masing dan sudah bersedia sepenuhnya bagi pilihan raya itu.

Beliau juga berkata draf manifesto BN Sarawak sudah siap.

Taib, dalam satu temubual di televisyen baru-baru ini berkata pilihan raya negeri akan diadakan selepas semua masalah dalaman dan luaran diselesaikan dengan sebaik mungkin.

Kesan kenaikan 30 sen harga minyak dan pembahagian kerusi di kalangan parti komponen BN merupakan antara masalah yang dikatakan itu.

Kerajaan menaikkan harga petrol dan produk petroleum sebanyak 30 sen berkuatkuasa 28 Februari.

Sebanyak 71 kawasan termasuk sembilan yang baru diwujudkan menjadi rebutan pada pilihan raya itu.