Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Rayuan hari ini mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonan pihak pendakwaan untuk menangguhkan perbicaraan kes 1MDB membabitkan bekas perdana menteri, Najib Razak.

Keputusan itu dibuat selepas Hakim Abdul Rahman Sebli yang bersidang bersama-sama Hasnah Mohammed Hashim dan Zabariah Mohd Yusof.

Sebelum ini pihak pendakwaan gagal sebanyak tiga kali di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk menangguhkan kes tersebut.

Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah menolak permohonan mereka supaya perbicaraan kes itu ditangguhkan dan mengekalkan ia pada 19 Ogos depan.

Dalam keputusannya, Abdul Rahman berkata panel itu mendapati tiada sebab munasabah untuk membenarkan permohonan itu.

"Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf dari segi fakta atau undang-undang, dalam menggunakan budi bicara dan kebijaksanannya untuk menolak permohonan itu, oleh ia tidak perlu campur tangan oleh Mahkamah Rayuan.

"Mahkamah memutuskan bahawa Hakim Mahkamah Tinggi tidak ada membuat apa-apa kesilapan yang boleh dirayu yang mewajarkan campur tangan Mahkamah Rayuan.

"Oleh itu, rayuan ditolak dan keputusan Hakim Mahkamah Tinggi dikekalkan," katanya dalam prosiding ketika memutuskan keputusan tersebut.

Pada prosiding hari ini pihak pendakwaan yang diketuai Peguam Negara Tommy Thomas memaklumkan kepada mahkamah bahawa perbicaraan SRC International yang turut dihadapi Najib sedang berjalan dan mungkin tidak dapat diselesikan sehingga 15 Ogos depan.

Beliau turut memaklumkan ini juga adalah kali pertama pihak pasukan pendakwaan dan pembelaan sebulat suara dan masing-masing menyokong untuk tarikh perbicaraan kes itu ditangguhkan.

Pihak pendakwaan turut diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Akram Gharib, manakala peguam bela Muhammad Shafee Abdullah mewakili Najib.

Dalam prosiding itu, Muhammad Shafee tidak membuat sebarang bantahan terhadap permohonan Tommy turut berhujah bahawa permohonan itu bagi memastikan perbicaraan yang adil dan mempunyai hak pembelaan yang lengkap.

Sementara itu, Shafee ketika ditemui pemberita di luar mahkamah selepas keputusan itu berkata pendirian pihak pembelaan adalah konsisten iaitu keputusan Hakim Mahkamah Tinggi adalah salah dengan tidak membenarkan penangguhan kes 1MDB kerana kes SRC belum selesai.

"Jadi kalau kes SRC belum selesai, peguam daripada pihak defenden akan terbelah bahagi dan ini akan menyusahkan selain memberi kesan kepada perbicaraan yang adil dan hak pembelaan yang lengkap. Jadi kita akan merayu lagi," katanya.

Lihat Komen
ADS