Syed Hamid: "Jangan persoal kesetiaan saya"
Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata tidak wajar mana-mana pihak mempersoal kesetiaannya kepada negara berhubung rundingan dengan Singapura mengenai pembinaan jambatan lurus menggantikan Tambak Johor.
Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata tidak wajar mana-mana pihak mempersoal kesetiaannya kepada negara berhubung rundingan dengan Singapura mengenai pembinaan jambatan lurus menggantikan Tambak Johor.
Beliau berasa cukup tersinggung apabila ada pihak mendakwa kononnya semua yang terlibat dalam rundingan dengan Singapura tidak bertindak penuh taat setia demi kebaikan dan kepentingan Malaysia.
Bercakap kepada pemberita di Putrajaya, beliau berkata apabila negara berusaha mendapatkan kerjasama Singapura tidak bererti seolah-olah pemimpin negara lembik atau lemah.
"Saya tak tahu apa nak kata bila orang melihatnya sebagai tanda kelemahan kita atau kita tidak tegas. Kami berunding kerana mengambil berat tentang Malaysia; tentang Johor," katanya di sebalik gesaan agar kerajaan tidak tunduk kepada syarat Singapura dalam kerjasama menjayakan projek jambatan itu.
Menurut laporan Bernama, antara syarat Singapura itu ialah mahukan Malaysia menjual pasir serta membuka ruang angkasa kepada jet tentera udara republik itu.
Syed Hamid berkata rundingan dibuat berdasarkan mandat diberi Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan kabinet.
Menteri itu menyatakan ada tiga pilihan untuk membina jambatan ganti sebuah jambatan penuh yang lurus, sebuah jambatan "indah" yang penuh dan sebuah jambatan "indah"yang dibina di perairan Malaysia sahaja.
"Malaysia ketika ini bercadang memilih yang terakhir tanpa kerjasama Singapura," katanya.
Malaysia telah memulakan kerja bagi jambatan indah yang dijangka beroperasi pada 2009.
.

