Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Penulis tepis dakwaan samakan khat dengan tahi lembu

Penulis Fa Abdul menafikan tulisannya berkaitan khat cuba menyamakan seni itu dengan tahi lembu, seperti didakwa oleh pemimpin PAS dalam akhbar web rasminya Harakahdaily.

“Sesiapa yang punya daya intelek pastinya akan dapat mentafsir maksud saya tanpa memutar belitkan kata-kata saya,” katanya menjawab soalan Malaysiakini.

Beliau malah menterjemahkan sendiri tulisan yang asalnya dalam bahasa Inggeris itu.

“Bagi yang kurang faham bahasa Inggeris, perenggan terakhir saya berbunyi begini: ‘Tatkala menteri pendidikan negara jiran kita membuat perancangan untuk memperkenalkan coding kepada pelajar-pelajar sekolah yang muda, usahlah kita bertindak bagaikan mencalit tahi lembu di muka dengan memperkenalkan khat’”

Fa juga mengingatkan pembaca supaya meneliti secara menyeluruh tulisannya itu.

“Artikel saya mengandungi banyak perkataan, ayat dan perenggan. Janganlah hanya fokus pada perkataan-perkataan yang sensasi sahaja.

“Artikel saya harus difahami secara menyeluruh,” tegurnya.

Harakahdaily pada 3 Ogos lalu menyiarkan tulisan bekas pegawai Presiden PAS Abdul Hadi Awang, Roslan SMS, bertajuk “Khat Jawi disamakan MP DAP dengan tahi lembu”.

Roslan menyerang anggota parlimen DAP Lim Lip Eng yang berkongsi tulisan Fa di Malaysiakini itu di Facebook beliau.

“Tiba-tiba Lip Eng dalam keghairahan menolak langkah pihak kementerian ini telah menggunakan bahasa yang amat biadab malah menghina orang-orang Melayu amnya.

“Memperkenalkan tulisan khat Jawi disamakan ahli parlimen ini sebagai menyapu tahi lembu di wajah kita semua. Jawi sama dengan najis?” tulisnya.

Roslan SMS

Pada 6 Jun, ahli Parlimen Kepong itu memohon maaf atas perkongsian petikan tersebut.

Beliau mengakui membuat kesilapan apabila berkongsi pandangan itu tanpa meletakkan nama penulis menyebabkan banyak pihak menyangka itu adalah pandangannya.

Hantarannya itu menyebabkan beliau dihujani kecaman.

‘Ajar juga canting, batik, buat wau’

Sementara itu, Fa berkata dalam tulisan itu beliau sebenarnya menggesa supaya sistem pendidikan negara tidak dimalukan dengan pelaksanaan itu.

Katanya, terdapat pelbagai kemahiran lain yang boleh dimasukkan dalam sistem pendidikan.

Fa menambah, dia menyokong seni khat dipelajari di sekolah tetapi bukan di dalam sukatan pelajaran Bahasa Malaysia.

Baginya, ia sepatutnya diajar menerusi subjek Pendidikan Seni atau dalam kokurikulum melalui kelab-kelab dan persatuan di sekolah.

“Bukan sahaja seni khat, malahan seni mencanting batik, membuat wau dan macam-macam lagi boleh diajar kepada anak-anak muda kita agar mencintai seni tradisional kita.

“Tetapi bagi pembelajaran di dalam kelas bagi sukatan mata pelajaran yang amat penting seperti Bahasa Melayu, amatlah mustahak untuk kita merangka sukatan yang benar-benar dapat menaikkan prestasi pelajar-pelajar kita,” katanya.

Bagaimanapun, katanya memandangkan Bahasa Malaysia merupakan bahasa kebangsaan negara ini, dia berharap supaya setiap pelajar dapat fasih berbahasa Melayu dan cekap menggunakannya setelah tamat sekolah.

“Pada pendapat saya, dengan memperkenalkan perkara-perkara baru yang kurang penting di dalam sukatan pelajaran Bahasa Melayu, kita hanya menyukarkan pelajar-pelajar yang kurang cekap berbahasa Melayu menguasai bahasa kebangsaan kita,” katanya.

Kementerian Pendidikan memutuskan untuk memperkenalkan enam muka surat berkaitan seni khat dan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah 4 di sekolah Cina dan Tamil mulai tahun depan.

Ia bertujuan sebagai pengisian tambahan dalam aspek seni bahasa dan untuk memperkaya murid dengan pengetahuan mengenai seni, warisan dan sejarah bahasa Melayu.

Lihat Komen
ADS