Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lampu hijau untuk bentang RUU ada pada speaker DUN Selangor

Speaker DUN Selangor, Ng Sue Lim, mempunyai kuasa untuk menentukan sama ada rang undang-undang pindaan Enakmen Pentadbiran Agama Islam boleh dibentangkan atau tidak, kata Menteri Besar Amirudin Shari.

Menurut Amirudin selepas berbincang mengenai cadangan itu - yang membolehkan seseorang di bawah umur memeluk Islam dengan mendapat izin sepihak - beliau memberikan mandat kepada Ng untuk membuat keputusan.

Katanya mengikut peraturan, kuasa meluluskan usul untuk dibentang dan dibahaskan dalam DUN bergantung kepada kebenaran seorang speaker.

Ditanya sama ada beliau cuba mendesak agar usul tersebut dibawa ke sidang DUN, Amirudin menjelaskan, memang ada usaha agar rang undang-undang itu dibentangkan pada akhir sesi yang lalu.

"Kami cuba membawanya pada akhir sidang namun malangnya ada sesuatu berlaku dan terdapat beberapa usul tak dapat dibentangkan," katanya kepada media selepas menghadiri majlis makan malam tertutup anggota PKR bersama Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Azmin Ali, di Shah Alam malam semalam.

Menurut Amirudin isu itu masih dibincangkan di peringkat kerajaan kerana ia membabitkan isu yang "lebih besar" serta Perlembagaan Persekutuan.

Justeru katanya belum ada kata putus mengenai cadangan tersebut selain perlu mendapatkan persefahaman dalam kalangan Adun.

Tak turun tandatangan

Mengenai bantahan dikemukakan DAP Selangor, Amirudin berkata, perbincangan yang dijalankan sebelum ini belum cukup matang untuk diberikan pandangan, dan mempunyai baik buruknya.

Justeru kata Adun Sungai Tua itu, ada "kebijaksanaan" atas penangguhan pembentangan usul itu baru-baru ini.

"Sebenarnya tak ada (pandangan) majoriti , semua berbelah bagi.

"Jadi saya rasa ada bijaksananya untuk kita tangguh sebentar pada pandangan speaker," katanya.

Untuk rekod semalam Ng menyifatkan dakwaan beliau sengaja memendekkan sidang DUN Selangor sebelum ini bagi mengelak rang undang-undang pindaan itu dibentangkan sebagai "khabar angin yang disebarkan media". 

Ng juga menjelaskan penyertaan yang rendah daripada Adun semasa perbahasan juga menjadi antara punca sidang tersebut dipendekkan.

Sidang DUN Selangor sepatutnya berlangsung dari 29 Julai hingga 9 Ogos, namun ia ditamatkan selepas hanya dua hari berlangsung.

Sumber-sumber memberitahu Malaysiakini, Ng enggan menandatangani dokumen bagi memberikan keutamaan kepada cadangan tersebut dibincangkan.

Ketika ini syarat penukaran agama untuk seseorang yang berusia kurang daripada 18 tahun memerlukan izin "ibu dan bapa" namun melalui pindaan yang dicadangkan, kebenaran hanya diperlukan daripada "ibu atau bapa".

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS