Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Speaker S'gor nafi elak RUU tukar agama sepihak
Diterbitkan:  Aug 8, 2019 10:20 PM
Dikemaskini: 2:20 PM

Speaker Dewan Negeri Selangor Ng Suee Lim menafikan persidangan DUN disingkatkan untuk mengelak pembentangan pindaan enakmen negeri berhubung penukaran agama anak secara sepihak.

Bercakap kepada pemberita selepas mesyuarat Pakatan Harapan Selangor yang diadakan di rumah Menteri Besar Amirudin Shari hari ini, beliau menolak kenyataan sedemikian dengan menyifatkannya sebagai "khabar angin yang disebarkan oleh media".

Ng berkata persidangan DUN ditangguhkan kerana penyertaan Adun yang rendah dalam perbahasan mengenai isu-isu yang dibentangkan semasa sesi itu.

Beliau berkata pindaan mengenai RUU yang dicadangkan hanyalah khabar angin dan tidak ada dalam Aturan Urusan Mesyuarat.

“Sebagai speaker saya mengikut peraturan dan urusan mesyuarat,” katanya.

Ng juga memberitahu perkara sama turut berlaku ketika Hannah Yeoh menjadi speaker pada tahun 2016 dan 2017, di mana sesi sidang DUN pernah disingkatkan.

Ng berkata pemimpin PH hanya membincangkan bagaimana untuk meningkatkan perpaduan dalam pentadbiran kerajaan.

“Kita hanya membincangkan bagaimana kita (boleh) eratkan hubungan sesama PH untuk kita memberi keyakinan kepada rakyat bahawa Selangor dapat sampaikan semua program yang ada dan juga maju ke hadapan, membawa kebajikan, keselesaan dan juga masalah rakyat dapat kita utarakan.

“Itu perkara yang kita tumpukan lebih daripada semua isu yang berlaku,” katanya.

Usul pembentangan pindaan RUU penukaran agama kanak-kanak di bawah umur pada sidang DUN bulan lalu menimbulkan kekecohan apabila Ng menyingkatkan tempoh sesi persidangan itu kepada dua hari.

Ng berpendapat keputusannya adalah selaras Aturan Mesyuarat, secara tidak langsung menafikan spekulasi bahawa tindakan itu sengaja dilakukan bagi mengelakkan pembentangan pindaan usul tersebut.

Pada masa sama, terdapat juga dakwaan kedudukannya sebagai speaker akan digantikan susulan daripada isu tersebut.

Bagaimanapun, petang ini, empat pengerusi PH Selangor menyatakan sokongan terhadap Amirudin dan Ng. 

Lihat Komen
ADS