Terjemahan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi diminta bersikap telus tentang pengagihan dana pengangkutan awam bernilai RM4.4 billion dengan penglibatan syarikat anaknya dalam beberapa projek berkaitan sektor pengangkutan.

Naib-Presiden PAS, Husam Musa menyuarakan permintaan itu kerana bimbang dengan beberapa perkembangan terbaru yang menimbulkan tanda tanya kebelakangan ini.

Beliau mahu tahu adakah anak Abdullah, Kamaluddin yang menguasai kumpulan Scomi Group Bhd akan mendapat faedah besar dari penjimatan RM4.4 billion subsidi minyak itu kerana dana itu akan disalurkan ke dalam projek-projek pengangkutan awam.

Menurut Husam, terdapat laporan mengatakan Scomi telah mendapat kontrak membaikpulih dan menyelengarakan landasan keretapi KTM Berhad bernilai RM50 juta.

Satu lagi laporan akhbar melaporkan sebuah anak syarikat Scomi Group, Scomi Engineering Sdn Bhd telah mengemukakan cadangan untuk mendapatkan tender pemasangan bahagian badan bas untuk syarikat milik kerajaan, Syarikat Prasarana Negara Sdn Bhd (PNSB).

"Dari laporan akhbar itu kita dapat lihat dengan jelas adanya hubungan antara keputusan Perdana Menteri mengurangkan subsidi minyak dan melaburkan wang penjimatan itu ke sektor pengangkutan awam."

"Kalau kita fikir secara logik, kita dapat lihat anak Perdana Menteri itu akan mendapat faedah dari keputusan-keputusan tersebut,"katanya lagi.

Husam berkata, Abdullah tidak boleh mendiamkan diri berhubung isu ini kerana ia melibatkan kepentingan setiap rakyat Malaysia kerana kenaikan 30 sen harga petrol itu menjejaskan kehidupan semua rakyat.

"Pak Lah perlu memberikan penjelasan. Secara kasarnya ketara sekali anaknya akan mendapat faedah daripada perbelanjaan dana RM4.4 bilion itu. Pak Lah tidak mendakwa tidak tahu apa-apa mengenai syarikat anaknya. Jika dia tidak tahu apa yang anaknya lakukan, bagaimana dia hendak memerintah negara," soal Husam.

Tambahan pula, katanya, PNSB dimiliki 100 peratus oleh kerajaan, oleh itu pastinya Perdana Menteri tahu siapa yang mengemukakan tender bagi projek dalam syarikat itu.

Ahli Dewan Undangan Negeri Kijang, Kelantan itu juga mempersoalkan mengapa Abdullah memperuntukkan dana RM4.4 bilion itu kepada sektor pengangkutan awam.

"Mengapa tidak disalurkan kepada bidang pendidikan atau kesihatan yang akan memberi faedah kepada rakyat dari pelbagai peringkat umur, kaum dan lokasi," tanya Husam lagi. Berita asal