Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Pemimpin DAP bertemu menjelang mesyuarat kabinet putuskan Lynas

Menjelang mesyuarat kabinet yang akan membuat keputasan muktamad mengenai kilang nadir bumi Lynas di Gebeng esok, sekumpulan besar pemimpin DAP telah hadir di ibu pejabat parti mereka di Kuala Lumpur untuk membincangkan perkara itu.

Antara yang hadir ialah para anggota parlimen dan Adun wakil rakyat DAP, ahli jawatankuasa pusat (CEC) parti dan pemimpin negeri.

Ramai pemimpin tertinggi parti telah tiba setakat 8 malam tadi, termasuk Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, timbalan pengerusi Gobind Singh Deo, naib pengerusi M Kulasegaran, ahli CEC Lim Kit Siang, setiausaha antarabangsa Teo Nie Ching, Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Yeo Bee Yin, dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan Steven Sim.

Wakil rakyat DAP yang kelihatan termasuklah Anggota Parlimen Bentong Wong Tack, exco Melaka Chee Yee, Adun Skudai Tan Hong Pin, exco Johor Tan Chen Choon, Adun Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah dan Adun Sungai Pelek Ronnie Liu.

Memandangkan mesyuarat berkenaan merupakan urusan tertutup parti, kumpulan besar wartawan hanya dibenarkan berkumpul di luar ibu pejabat DAP dan tidak dapat memasuki tempat tersebut.

Terdahulu, Malaysiakini melaporkan DAP telah memanggil para pemimpinnya untuk hadir mesyuarat bagi membincangkan lesen operasi Lynas.

Pentadbiran BN sebelum ini telah meluluskan lesen operasi Lynas untuk tempoh dua tahun pada tahun 2014. Pada tahun 2016, lesen itu dilanjutkan selama tiga tahun sehingga 2 September tahun ini - kurang daripada sebulan dari sekarang.

Awal bulan ini, menteri alam sekitar Yeo berkata akan mengumumkan keputusannya mengenai Lynas pada 15 Ogos nanti.

Mesyuarat kabinet biasanya diadakan setiap hari Rabu, oleh itu keputusan mengenai lesen operasi Lynas dijangka dibuat ketika jemaah menteri bertemu esok pagi.

Laporan Malaysiakini pada Mac lalu yang memetik sumber-sumber dalam kerajaan mendakwa kabinet telah mengugurkan syarat supaya Lynas menghantar sisa buangan pemprosesan produknya ke luar negara dan kabinet juga bersedia untuk melanjutkan sementara lesen operasi Lynas selama enam bulan.

Sumber itu juga mendakwa "sekurang-kurangnya tiga menteri" menyokong operasi Lynas, sementara mereka yang sebelum ini menentang Lynas tetap meneruskan bantahan mereka.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS