Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN | Dua minggu sebelum isu khat Jawi 'meletup' dalam kalangan masyarakat Cina, saya bersembang dengan seorang sahabat dari Umno.

Pemuda yang membesar di kampung itu bercerita bagaimana dia terpaksa bergelut untuk menguasai bahasa Inggeris dengan baik kerana perlu melanjutkan pelajaran di England.

Kemudian dengan nada bergurau, dia bertanya sama ada saya juga terpaksa mempelajari bahasa Melayu untuk memudahkan tugasan sebagai wartawan.

Saya membalas dengan berkata: "Ini adalah penyesuaian diri yang perlu dalam persekitaran Malaysia.”

Walaupun ia perbualan santai, saya merasakan konotasi "terpaksa" berbanding "penyesuaian diri" membawa makna tersendiri dalam huraian mengenai isu kontroversi khat Jawi.

Saya ini anak lepasan sijil UEC (Sijil Peperiksaan Bersama) tetapi saya juga menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Selepas tamat persekolahan, selama satu setengah tahun saya menjadi jurujual buku rujukan dan alat tulis di kedai bapa. Saya banyak kali ke sekolah-sekolah menengah, khususnya di daerah Hulu Selangor.

Saya banyak terhutang budi kepada cikgu-cikgu yang menjadi pelanggan. Komisyen yang diterima saya kumpul sedikit demi sedikit sehingga cukup untuk saya masuk ke sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) swasta.

Pengalaman sebagai jurujual itu memang manis kerana selain dapat berbual dan bergurau dengan cikgu dan kerani sekolah, secara tidak langsung saya juga dapat mempertingkatkan penguasaan bahasa Melayu.

Mungkin saya adalah segelintir anak Cina yang bertuah kerana dapat melalui pengalaman tersebut. 

Tetapi dalam kebanyakan keluarga bukan bumiputera yang berpendapatan rendah, mereka terpaksa berdepan banyak kekangan untuk membuka pintu masuk IPT awam walaupun mereka lepasan sekolah menengah kebangsaan (SMK) atau sekolah menengah jenis kebangsaan (SMJK).

Mereka selalu bertanya dua perkara. Pertama, mengapa perlu capai keputusan yang lebih cemerlang daripada garis minimum untuk masuk ke IPT awam? Kedua, mengapa membayar yuran penggajian lebih tinggi di IPT swasta untuk melanjutkan pengajian.

Soalan itu ditanya ketika pelajar bumiputera mempunyai satu lagi pilihan yang menjamin mereka mendapat tempat di IPT awam, iaitu matrikulasi.

Ini antara realiti awal - kalau pun bukan yang pertama - yang tidak enak yang perlu didepani kebanyakan orang bukan bumiputera berhubung institusi awam di negara ini, di saat mereka juga memegang MyKad biru.

Pada masa sama, institusi awam dilihat menguatkan 'definisi' buat orang Melayu dan Islam.

Anjing peliharaan dipandang dengan mata jelik dan keji, program menyajikan bir secara tertutup dianggap sebagai tidak menghormati umat Islam oleh sesetengah pihak, dan sebagainya.

Garisan jelas, pemisahan ketara

Garis yang memisahkan orang Melayu-Islam dengan masyarakat bukan Melayu-bukan Islam dilakar dengan semakin jelas dan tebal dalam aspek bahasa, agama, pendidikan dan kehidupan seharian.

Mengikut hukum fizik, Hukum Gerakan Newton ketiga menyatakan bahawa untuk setiap daya tindakan, terdapat satu daya tindak balas yang mempunyai magnitud sama dan bertindak pada arah yang bertentangan.

Teori ini sesuai dipakai untuk memahami konteks Malaysia moden.

Pada 1970-an, dengan latar belakang ekonomi yang tidak seimbang di antara Melayu dan bukan Melayu, kerajaan membantu bumiputera dengan Dasar Ekonomi Baru.

Ia adalah langkah yang boleh difahami, tetapi ketaasuban sesetengah institusi awam juga mengundang tindak balas daripada komuniti Cina, antaranya dengan mempertahankan hal ehwal pendidikan vernakular Cina dan Tamil.

Dalam pertentangan halus kedua-dua kekuatan ini, sesetengah orang Melayu dan Muslim secara tanpa sedar memandang serong masyarakat bukan Melayu-Islam.

Di mata mereka, kalau ada peniaga Cina bermata sepet, dia pastinya seorang yang tamakkan wang dan tidak teragak-agak mengeksploitasi orang Melayu. Jika di pejabat, mereka pasti majikan mereka tidak mempedulikan hak pekerja Islam untuk bersolat.

Di satu sisi lagi, orang bukan Islam beranggap mereka tiada harapan untuk menyertai perkhidmatan awam. Justeru kebanyakan mereka menceburkan diri dalam sektor swasta.

Jikalau diizinkan, mereka menceburi bidang perniagaan dan bekerja kuat selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu. Lama-kelamaan mereka pun bertuhankan duniawi, angka-angka dan wang tunai.

Bagi mereka dalam sektor swasta, bahasa Inggeris dan bahasa Cina lebih kerap digunakan, menyebabkan bahasa Melayu dianggap kurang nilai dan dikekalkan sebagai bahasa untuk urusan rasmi semata-mata.

Dalam kerumitan sedemikian, mereka menyarung 'baju besi' di badan masing-masing sambil menghunus pedang demi mempertahankan simbol mereka.

Di depan adalah musuh. Malangnya 'musuh' itu cuma wujud dalam imaginasi masing-masing. 

Bagi komuniti Melayu Islam, 'ABCD' adalah musuh nombor wahid yang mesti dihadapi dengan tegas. Apakah 'ABCD' itu? Ia adalah anjing, babi, Cina dan DAP.

Ia adalah mimpi ngeri orang Melayu yang - malangnya - wujud dalam igauan juga.

Untuk komuniti Cina dan India, mereka ngeri apabila berdepan dengan isu bahasa Melayu dan tulisan Jawi. Ia disalah anggap sebagai berkaitan dengan Islamisasi.

Walaupun pelbagai penjelasan dibuat untuk meyakinkan orang bukan Islam bahawa tulisan Jawi tidak ada kaitan dengan agama dan juga penyebaran agama, ia masih tetap gagal mengusir keraguan masyarakat Cina dan India.

Puncanya, sejak sekian lama Melayu itu dikaitkan terlalu dekat dengan Islam. Orang ramai diuar-uarkan bahawa asalkan Melayu, dia mesti Islam. Dan asalkan Islam, ia mesti Melayu.

Dalam keadaan serba tegang itu semua orang terlupa kepada salah satu sifat istimewa yang ada pada semua manusia - kemampuan menyesuaikan diri dengan persekitaran.

Identiti selalu berubah

Walaupun seseorang itu mewarisi darah daging daripada nenek moyang, identiti dan sifat sesuatu kaum boleh berubah mengikut keadaan semasa.

Contohnya, dari aspek komunikasi, bahasa Melayu sendiri menerima dan mencerap pelbagai kata pinjaman dari bahasa Cina seperti macai, kopi beng (loghat Pantai Timur) dan banyak lagi.

Begitu juga halnya dengan bahasa Cina yang banyak mengunakan kosa kata bahasa Melayu seperti pasar, sate dan lain-lain.

Tidak ketinggalan, bahasa Tamil yang sebati disebut oleh orang Melayu atau Cina seperti macha, tose dan sebagainya.

Dari sudut agama dan adat, adalah menjadi kebiasaan untuk orang Cina menyembah 'dewa Melayu' yang dikenali sebagai Datuk Kong. Orang Melayu pula sudah menerima amalan memberi angpau pada hari raya puasa.

Ada satu kisah asimilasi yang lucu - Pemuda Umno pernah melemparkan 'duit neraka' Cina yang dibakar untuk mendiang nenek moyang di depan ibu pejabat DAP pada 2016.

Begitu juga ketika Muktamar PAS yang berlangsung di Kuantan ada satu gerai takoyaki, iaitu makanan Jepun yang turut digemari para muslimin dan muslimat. Ketika itu, saya hampir menyebut nama makanan tersebut sebagai 'Takiyuddin', iaitu Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan.

Di sebalik pergaulan dan penerimaan silang budaya itu, ada yang penting untuk dihargai, iaitu keterbukaan sikap serta bertimbang rasa untuk membina jambatan persahabatan, selain mencari titik persahabatan dan persamaan.

Naratif pendidikan negara ini sering dikaitkan dengan pertengkaran bahasa yang melibatkan ego kaum masing-masing. Namun pada pandangan sederhana saya, ia sama sekali tidak membantu anak-anak kita mengenali tanah air yang kita cintai ini.

Kita perlukan satu komunikasi bahasa yang sama untuk saling memahami antara satu sama lain. Makna damai yang dibawa jauh lebih penting daripada memarakkan pertengkaran tentang siapa patut menggunakan bahasa apa.

Semasa saya belajar Sejarah di tingkatan empat dan lima, kebanyakan kandungan mata pelajaran itu tertumpu kepada tamadun Islam dan Melayu.

Secara keseluruhan sejarah migrasi orang Jawa, Banjar dan Bugis - misalnya - dari kepulauan Nusantara ke Semenanjung Malaysia agak kurang.

Untunglah ada rumah terbuka sempena Aidilfitri di Pontian, Johor baru-baru ini. Dengan itu barulah saya mengetahui adanya makanan bernama burasak yang digemari orang tempatan yang berasal daripada Makassar, Indonesia.

Walaupun mempelajari tamadun dan agama utama dunia itu penting, bukankah sejarah dan adat tempatan tetap perlu diperkukuhkan juga?

Bak Kut Teh halal

Dalam isu khat Jawi, kebanyakan orang Cina tertanya-tanya mengapa kami perlu mempelajari warisan itu sedangkan tiada usaha daripada orang Melayu juga mempelajari seni kaligrafi Cina.

Memang ada pejuang ketuanan Melayu akan berkata - ini Tanah Melayu maka budaya Cina adalah budaya asing dan tidak ada kaitannya dengan sejarah kepulauan Nusantara.

Tetapi pada masa sama, Islam dibawa ke negara ini ketika Hindu dan Buddha sudah bertapak lebih awal.

Bukankah dua kenyataan tersebut bercanggah antara satu sama lain?

Menulis kaligrafi Cina tidak akan membuatkan seorang Muslim menjadi orang Cina, sama juga dengan seorang Cina yang menulis khat Jawi tidak akan menjadikannya Muslim. 

Ada seorang sahabat Cina yang membantah pembelajaran tulisan Jawi bertanya, kalau sukatan pelajaran sekolah kebangsaan memperkenalkan bak kut teh dalam silibusnya adakah orang Melayu akan mengamuk dan berasa dihina?

Jawapan saya mudah. Herba-herba Cina dalam sup bak kut teh diperbuat daripada rempah-ratus. Jadi sup itu tidak menjadi haram dengan adanya rempah-ratus tersebut.

Ia hanya menjadi haram apabila dimasukkan babi.

Sup yang sama jika dimasukkan daging lembu atau ayam, maka ia bolehlah dinamakan sup gearbox ala Cina.

Ini adalah penyesuaian budaya di tanah air kita Malaysia, dan bukan paksaan.


LU WEI HOONG ialah wartawan Malaysiakini yang suka menyelami kepelbagaian konteks bahasa dan budaya pemikiran pelbagai kaum.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS