Mustapha: Kos pengajian di IPTS dijamin berpatutan
Kerajaan akan memastikan kos pengajian di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berpatutan agar ia tidak membebankan pelajar tempatan, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed.
Kerajaan akan memastikan kos pengajian di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) berpatutan agar ia tidak membebankan pelajar tempatan, kata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed.
Beliau berkata, pihaknya mahu kos pengajian yang dikenakan berpadanan dengan kemudahan dan mutu pengajian yang ditawarkan.
"Kerajaan mahu pastikan kemasukan pelajar luar ke pasaran pendidikan tempatan tidak menjejaskan peluang dan kepentingan pelajar tempatan di pusat pengajian tinggi tempatan.
"Kita mahu pastikan semakin ramai pelajar asing belajar di negara ini, industri pendidikan terutama IPTS akan lebih berkembang dan makin bermutu," katanya selepas menghadiri majlis makan malam dengan kedutaan asing di sebuah hotel di ibu negara malam tadi.
Mustapa berkata, kerajaan berhasrat untuk menarik 100.000 pelajar asing belajar di negara ini selaras dengan hasrat menjadikan Malaysia pusat pendidikan utama dunia.
Katanya, bagi mencapai matlamat itu kementeriannya menghantar delegasi keluar negara bagi menggalakkan pelajar luar datang belajar di negara ini.
"Matlamat kita bukan sahaja pelajar negara membangun tetapi negara maju seperti Amerika Syarikat, Britain, Australia dan New Zealand," katanya lagi.
Beliau berkata, Kementerian Pengajian Tinggi mengadakan kerjasama dengan universiti luar termasuk mengadakan pemindahan kredit dengan universiti tempatan.
Katanya, melalui pemindahan kredit pelajar universiti asing boleh datang belajar di negara ini bila-bila masa.
Semasa majlis soal jawab, Naib Cancelor Universiti Teknologi Mara (Uitm), Datuk Ibrahim Abu Shah mencadangkan kerajaan mendapatkan pelajar United Kingdom, Amerika Syarikat dan Australia belajar di negara ini bagi menggalakkan pelajar negara lain untuk turut belajar di sini.
Mustapa berkata, usaha telah dibuat tetapi tidak berjaya kerana mereka lebih gemar belajar di negara sendiri.
Katanya, kerajaan juga meneruskan penghantaran pelajar ke luar negara terutama dalam pengajian bidang kritikal kerana tidak semua universiti tempatan mempunyai kursus berkenaan.

