Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mufti Perlis ajak rakyat tandatangan petisyen haramkan Dong Zong
Diterbitkan:  Aug 17, 2019 10:13 PM
Dikemaskini: 2:13 PM

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hari ini mengajak semua rakyat Malaysia menandatangani petisyen untuk mengharamkan pertubuhan Dong Zong, yang disifatkannya sebagai pertubuhan yang rasis.

Beliau menyuarakan gesaan itu ketika memaklumkan tentang kunjungan exco Pemuda Bersatu (Armada), Muzammil Ismail yang mahu mendapatkan nasihatnya berhubung pengharaman Persatuan Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina itu.

“Menerima kunjungan exco Armada Pusat Parti Bersatu saudara Muzammil. Beliau datang berbincang dan bertanya pendapat dalam usaha mereka mendesak pengharaman Dong Zong.

“Saya menyokong usaha itu sepenuhnya. Saya mengajak semua Malaysia menandatangani petisyen sokongan pengharaman pertubuhan rasis Dong Zong,” katanya di Facebook malam ini.

Pemuda Bersatu melancarkan petisyen atas talian bagi pengharaman tersebut empat hari lalu kerana menganggap Dong Zong sebagai keterlaluan dan mempunyai niat menggugat perpaduan masyarakat.

 

Dong Zong dilihat antara pihak yang paling lantang membantah rencana kerajaan untuk pengenalan tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah 4 yang sepatutnya dimulakan tahun depan.

Setelah siri bangkangan dan perubahan pendirian kementerian pendidikan, akhirnya mesyuarat kabinet memutuskan pengajaran tulisan Jawi itu tertakluk kepada persetujuan persatuan ibu bapa dan guru (PIBG), ibu bapa dan murid untuk sekolah vernakular.

Sementara bagi sekolah kebangsaan, pengenalan tiga muka surat tulisan Jawi dalam buku teks Bahasa Malaysia Darjah 4 akan dilaksanakan seperti rancangan asal.

Lihat Komen
ADS