Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
‘Saya bagi tahu Zakir tak usah cakap isu politik Malaysia’
Diterbitkan:  Aug 16, 2019 11:50 AM
Dikemaskini: 4:39 AM

Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin menasihati pendakwah antarabangsa Dr Zakir Naik supaya tidak menyentuh soal politik negara ini kerana ini boleh menimbulkan persepsi negatif.

Malah menurut Mohd Asri, beliau sendiri ada memberitahu perkara itu secara peribadi kepada Zakir.

"Secara peribadi, untuk bagi adil. Saya bagi tahu dia (Zakir) secara personal (peribadi) tak usah cakap la benda berhubung isu politik tempatan Malaysia ini," kata Asri melalui satu rakaman kuliah yang disiarkan di Facbooknya, hari ini.

Menurut mufti itu, walaupun sebahagian apa yang diperkatakan oleh pendakwah berkenaan adalah betul tetapi ia menimbulkan persepsi lain.

“Kalau baca betul-betul, bukan suruh dia (Dr Zakir) halau keluar. Dalam konteks itu, kita faham, taklah seteruk yang mereka kata...

“Agama ajar kita buat baik pada semua orang termasuk non-Muslim. Quran suruh kita buat baik pd non-Muslim, membela hak-hak mereka,” katanya.

Mohd Asri juga mengingatkan bahawa setiap negara mempunyai majoriti kaum tertentu dan sistem sendiri.

“Isu jawi umpamanya, orang kata ini isu soal warisan negara. Dia bercakap mewakili kaum dia.

“Kita berjiran dgn Thailand. Apa bahasa di sekolah mereka? Org melayu di Thai pun tak boleh cakap Melayu, tapi cakap Thai. Apa nak dikata? Itu negara Thai - Thailand. Tanah Thai.

“Saya bukan perkauman. Tapi rasionalnya, tapi kalau orang kata kerana orang Melayu dominan, kita mesti tindas org lain, kita lawan. kita tentang penindasan,” katanya.

Semalam, Zakir mendakwa kenyataannya yang menyentuh tentang masyarakat Cina di Malaysia sebagai "tetamu" telah diambil di luar konteks.

Walaupun tidak menafikan petikan kata-kata yang dikaitkan denganya, Zakir berkata kenyataan itu bertujuan memberikan konteks sejarah tentang penyebaran Islam di wilayah ini, serta migrasi orang Cina dan India ke Malaysia.

Zakir berkata, kata-kata itu tidak boleh dianggap sebagai seruan agar masyarakat Cina di Malaysia keluar dari negara ini.

Kenyataan itu dibuat dalam satu syarahan di Kota Bharu, Kelantan pada 8 Ogos lalu.

Dalam program itu, beliau juga didakwa membuat dakwaan berkenaan sejumlah penganut Hindu di Malaysia yang memilih untuk menyokong Perdana Menteri India, Narendra Modi, berbanding Dr Mahathir Mohamad.

Zakir juga berkata kenyataan itu disalah petik, dan menjelaskan beliau merujuk secara khusus terhadap mereka yang menyokong permohonan India untuk mengekstradisinya.

Bagaimanapun Mohd Asri mempertahankan kenyataan Zakir berhubung isu "tetamu" dan mendakwa ia tidak seperti yang digembar-gemburkan pelbagai pihak ketika ini.

"Tapi bukannya ucapan beliau itu, kalau tengok betul-betul bukan dia suruh halau keluar, dalam konteks itu yang kita faham tidaklah seteruk yang mereka faham.

"Yang kata Melayu pendatang lebih teruk, tapi tak ada orang suruh dia keluar," katanya.

Dalam pada itu Mufti Perlis itu berkata beliau sedia mengkritik pendakwah bebas dan tetap tidak bersetuju dengan ungkapan yang digunakan Zakir sehingga mencetuskan kontroversi.

Walaupun Zakir mendakwa kenyataan dipetik di luar konteks, namun bagi Mohd Asri adalah lebih baik beliau tidak menyebutnya langsung.

"Saya bersedia kritik Zakir. Saya kata saya tak setuju dengan ungkapan dia tu walaupun dipetik luar konteks, tapi tak payah cakap lah benda itu," tambahnya.

Lihat Komen
ADS