Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Bina lot rumah di Kg Bharu untuk seimbang penduduk Melayu di KL'

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad berkata usaha kerajaan untuk membina lot rumah mampu milik di Kampung Baru adalah untuk menyeimbangkan pembangunan penduduk Melayu di Kuala Lumpur.

“(Usaha) kerajaan bukan untuk keuntungan semata-mata malah ini adalah untuk seimbangkan pembangunan penduduk Melayu di kawasan Kuala Lumpur.

“Ia juga bagi menentukan orang Melayu di Kampung Baru tidak ketinggalan, di sekeliling kawasan yang sudah berkembang,” katanya pada sidang media selepas hadir majlis dialog Town Hall bersama pemilik tanah Kampung Baru, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Khalid, sebanyak 800 unit telah dibina yang dapat menempatkan 5,000 penduduk di Kampung Baru.

Jelasnya, harga dan model rumah tersebut akan dibentangkan pada 21 September kelak.

Selain itu, Khalid berkata status tanah perumahan mampu milik di Kampung Baru itu akan tetap menjadi Tanah Rizab Melayu.

“Ramai berhujah berkata pembelian tanah ini seperti menjual harta Melayu dan mempermainkan sentimen perkauman, ingin saya nyatakan, selepas pembelian ia tetap menjadi tanah (rizab) Melayu.

“Jika mereka (orang Melayu) mahu menyewakan kepada bukan Melayu itu hak mereka, tetapi tanah tetap milik orang Melayu dan itu juga adalah syarat pembelian rumah mampu milik tersebut,” katanya.

Terdahulu, kerajaan persekutuan sedang mencari jalan untuk membeli tanah sedia ada di Kampung Baru bagi pembangunan semula yang lebih teratur dan menyeluruh di kawasan segi tiga emas ibu negara itu.

Jelas Khalid, pembelian tanah sedia ada di Kampung Baru tidak akan mewujudkan isu kontroversi seperti yang berlaku di Taman Rimba Kiara.

“Maka itu, kita kumpul pemilik dan ini bukan soal penjualan tanah lapang seperti di Taman Rimba Kiara dan penjualan juga adalah dari pemilik bergeran.

“Pendaftaran juga dilakukan secara talian dan ianya satu proses yang dilakukan oleh kerajaan secara telus,” katanya.

Pada April 2017, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan perintah pembangunan bagi projek mega di atas lot seluas 4.8 hektar daripada 10.1 hektar Taman Rimba Kiara yang melibatkan pembinaan satu blok 350 unit rumah mampu milik untuk komuniti rumah panjang Bukit Kiara, dan 8 blok kondominium mewah 50 tingkat.

Khalid berpendapat projek pembangunan itu wajar diteruskan apabila pembangunan bagi tanah lot seluas 4.8 hektar itu mahu dikurangkan kepada 3.2 hektar selepas mengambil kira bantahan daripada penduduk setempat.

Bagaimanapun, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Hannah Yeoh berkata isu projek pembangunan di Taman Rimba Kiara perlu diteliti Peguam Negara sebelum ia dibawa untuk diputuskan di Kabinet malah mengemukakan beberapa cadangan bagi projek tersebut.

Lynas perlu ada solusi jangka masa panjang

Dalam perkembangan lain, Khalid ketika mengulas operasi kilang nadir bumi Lynas di Gebeng berkata syarikat itu perlu menyelesaikan tapak kekal pembuangan sisanya.

“Lynas kita dah perbaharui lesen, jadi mereka perlu cepat mencari solusi iaitu tempat pembuangan tetap bagi sisa radioaktif tersebut.

“Saya juga ada bercakap dengan Menteri Besar Pahang (Wan Rosdy Wan Ismail) dan beliau sendiri membenarkan penggalian tanah (di negeri itu) bagi pembuangan sisa (radioaktif) tersebut,” katanya.

Untuk rekod, kabinet pada 14 Ogos lalu membuat keputusan untuk melanjutkan lesen operasi kilang Lynas di Gebeng, Pahang selama enam bulan lagi.

Lesen syarikat itu sepatutnya tamat tempohnya pada 2 September ini.

Keputusan melanjutkan lesen selama enam bulan lagi itu diberikan dengan syarat Lynas perlu mengemukakan rancangan pembinaan kemudahan operasi memproses sisa radioaktif, dipanggil 'cracking and leaching', di luar negara agar proses itu dapat dikeluarkan dari Malaysia.

Bagaimanapun Lynas diberikan tempoh empat tahun untuk berbuat demikian.

Lynas juga perlu mengenal pasti tapak spesifik untuk kemudahan pelupusan kekal (PDF) dan mengemukakan kebenaran bertulis daripada kerajaan negeri untuk penggunaan tapak itu

Pagi tadi di Kuantan, kumpulan NGO dan penduduk mengadakan bantahan terhadap Lynas menuntut penutupan operasi kilang nadir bumi itu.

Lihat Komen
ADS