Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K’jaan cadang beli tanah di Kg Baru, perlukan RM10 bilion

Kerajaan persekutuan sedang mencari jalan untuk membeli tanah-tanah sedia ada di Kampung Baru bagi tujuan penempatan Melayu di Kuala Lumpur.

Menteri Wilayah, Khalid Samad berkata pembelian tanah tersebut bagi memastikan pembangunan semula yang lebih teratur dan menyeluruh di kawasan segi tiga emas itu.

Kata Khalid langkah itu dapat mengelakkan pembangunan secara "runcit" apabila pemilik tanah menjualnya kepada pemaju secara langsung.

Ia juga, katanya lagi, dapat mengelakkan pemaju menjual hartanah Kampung Baru kepada bukan Melayu, bagi mengekalkan kawasan itu sebagai tanah rizab Melayu.

"Sekiranya semua orang mahu tunai, dan tiada siapa yang mahu pangsapuri (sebagai pertukaran untuk tanah mereka) ini merupakan senario terburuk yang mungkin (perlukan) antara RM6-10 bilion," kata Khalid dalam sidang medianya di Putrajaya, hari ini.

 

Bagaimanapun, Khalid berkata kerajaan juga sedang mengkaji formula di mana pemilik tanah akan mendapat pembayaran campuran seperti wang tunai dan hartanah, contohnya.

Mengenai cara mendapatkan dana, Khalid berkata Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) berkemungkinan akan mengeluarkan bon perbandaran atau sukuk.

Bagaimanapun, kata Khalid semua itu bergantung kepada rundingan dengan pemilik tanah dan jenis pembayaran yang mereka mahu untuk tanah mereka.

Namun, Khalid berkata usaha tersebut amat penting bagi kawasan Melayu untuk dibangunkan.

 

"Sesuatu yang amat memalukan untuk ditunjuk kepada pelancong asing bahawa ini adalah kawasan Melayu (di tengah-tengah bandaraya), macam kampung setinggan sedangkan tanah (di sini) cukup bernilai dan pemiliknya semua patut dianggap sebagai jutawan tetapi tidak dapat memanfaatkan nilai hartanah tersebut," katanya.

Khalid berkata setakat ini 80 peratus pemilik bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan dan yakin semua yang terlibat akan bekerjasama dengan kerajaan.

Khalid berkata pembangunan Kampung Baru merupakan indikator prestasi peribadi sepanjang menjadi barisan kabinet Pakatan Harapan (PH).

Lihat Komen
ADS