Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
10 ribu lampu jalan kampung siap dipasang tahun depan

Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan memasang 10,000 unit lampu jalan kampung (LJK) jenis light emitting diode (LED) di kampung-kampung di Semenanjung Malaysia bermula tahun ini dan dijangka siap tahun depan.

Menterinya Rina Mohd Harun berkata pemasangan lampu LED itu menggunakan dana incentive based regulation (IBR) kementeriannya bagi tahun 2019 dan 2020 yang akan memanfaatkan penduduk kampung yang memerlukan penggantian lampu jalan sedia ada.

"Inisiatif LJK ini merupakan kerjasama antara KPLB dengan Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (Mestecc), yang pemasangan unit-unit lampu ini akan digerakkan oleh kumpulan Tenaga Nasional Berhad (TNB).

"Kita fokus kepada pemasangan LJK di kampung-kampung di seluruh negeri di semenanjung dahulu mengikut keperluan kampung-kampung itu sendiri. Untuk Sabah dan Sarawak, kita akan menggunakan peruntukan KPLB," katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian pemasangan LJK di Kampung Rinching Hilir di Hulu Langat hari ini.

Turut hadir Menteri Mestecc, Yeo Bee Yin.

Rina berkata dari segi operasi dan penyelenggaraan, kerajaan dijangka membelanjakan RM83 juta setahun bagi memastikan lampu-lampu yang dipasang itu sentiasa menerangi kawasan kampung.

Sementara itu, Yeo berkata Mestecc tidak menerima sebarang permohonan bertulis daripada kilang memproses nadir bumi Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas) mengenai permohonan fasiliti pelupusan kekal (PDF) bagi sisa water leached purification (WLP) di Pahang seperti dilaporkan.

Bernama hari ini melaporkan kilang memproses nadir bumi Lynas setakat ini tiada mengemukakan permohonan rasmi secara spesifik lokasi PDF bagi residu WLP yang dikatakan akan dibangunkan di Pahang.

Ketika ditanya oleh pemberita mengenai isu pembaharuan permit operasi Lynas untuk tempoh enam bulan lagi, Yeo berkata Mestecc akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi memastikan mereka mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan kerajaan.

"Untuk isu Lynas, Mestecc akan meneruskan pemantauan secara rapi bagi memastikan mereka terus mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan selepas pembaharuan lesen," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS