Kerajaan tidak akan mengkaji semula harga minyak walaupun ratusan lagi demonstrasi diadakan di seluruh negara, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz.

Bercakap dalam sidang akhbar di lobi Parlimen hari ini, Nazri juga memberi amaran pihak berkuasa tidak akan bertolak ansur lagi dengan demonstrasi jalanan selepas ini.

"Kami tidak peduli apa orang akan kata selepas ini, kami perlu menguatkuasakan undang-undang. Lebih baik tidak mempunyai undang-undang kalau tidak mahu menggunakannya," tegas beliau.

Nazri mengulas tindakan polis menyuraikan protes membantah kenaikan harga minyak di luar menara kembar Petronas semalam di mana 22 orang telah ditahan polis.

Protes tersebut diketua oleh Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC). Pagi tadi sekali lagi kongres tersebut mengetuai kira-kira 500 penunjuk perasaan berarak dari bangunan Parliamen ke ibupejabat Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dim Jalan Raja Laut di ibunegara.

Sebelum ini parti pembangkang dan badan-badan bukan kerajaan (NOG) merancang mengadakan protes di seluruh negara pada setiap hujung minggu hingga kerajaan menurunkan semula harga bahan api itu.

"Walaupun kamu berdemonstrasi 100 kali, kerajaan tetap tidak akan menurunkan harga bahan petroleum itu. Kamu boleh berdemonstrasi selama manapun, kerajan tidak akan mengubah keputusan yang telah dibuat," kata Nazri.

Menurut beliau, polis telah diarahkan untuk menghalang sebarang demonstrasi dan bertindak cepat menamatkan protes hujung minggu itu.

Katanya, protes yang diketuai oleh PAS setiap hari Jumaat di masjid KLCC itu telah menimbulkan rasa takut di kalangan orang bukan Islam dan menyebabkan kesesakan lalu lintas.

"Sudah sampai masanya protes itu dihentikan, mereka jangan anggap kerajaan membenarkan tunjuk perasaan diadakan setiap minggu. Pihak polis telah banyak bertolak ansur " tekannya.