Isu babi: K'jaan negeri didakwa tidak sedia tapak ladang
Seorang ahli parlimen MCA hari ini mendakwa kerajaan negeri tidak menyediakan tapak untuk ladang ternakan babi seperti yang diputuskan oleh kabinet pada tahun 2003.
Seorang ahli parlimen MCA hari ini mendakwa kerajaan negeri tidak menyediakan tapak untuk ladang ternakan babi seperti yang diputuskan oleh kabinet pada tahun 2003.
Ahli Parlimen Serdang, Datuk Yap Pian Hong berkata, keadaan ini menyebabkan kira-kira 700 ladang ternakan babi di seluruh negara menghadapi kemungkinan ditutup.
"Kini penternak berada dalam kebimbangan kerana tempoh untuk mereka menternak di kawasan baru hanya tinggal beberapa bulan lagi kerana tarikh tamat ialah pada akhir Disember ini.
"Masalah sekarang ialah kerajaan negeri tidak berminat atau tidak berusaha mencari kawasan ternakan babi yang baru," katanya ketika berucap dalam sidang Parlimen hari ini.
Sehubungan dengan itu, Yap berkata, kerajaan Pusat perlu melanjutkan tempoh kepada penternak babi berpindah ke kawasan baru seperti yang diputuskan pada 2003.
"Saya rasa masalah yang berlaku ialah kegagalan kerajaan negeri menyediakan pusat ternakan yang baru kepada mereka," katanya.
Menurutnya, kerajaan perlu membuat satu keputusan yang segera mengenai perkara itu supaya penternak babi di seluruh negara dapat mengambil tindakan susulan.
Sementara itu Ahli Parlimen Bukit Bintang, Fong Kui Lun berkata, tindakan kerajaan negeri itu boleh memberi kesan yang besar kepada industri ternakan babi di negara ini.
Katanya, tindakan itu menyebabkan periuk nasi penternak terbabit terjejas dan ini memberi kesan yang besar kepada kehidupan mereka.
"Industri ternakan ini menghasilkan pendapatan tahunan sebanyak RM1 bilion dan turut dieksport ke Singapura dan beberapa negara lain," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.
Fong berkata, tidak ada sebab kerajaan perlu memindahkan pusat ternakan babi jika mereka mematuhi syarat ternakan yang ditetapkan oleh kerajaan tempatan.
Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menimbang semula keputusan untuk menutup ladang babi jika mereka tidak memindahkan operasi ke kawasan baru selepas akhir tahun ini.

