Menteri Luar Datuk Seri Syed Hamid Albar mengakui wujud banyak kerumitan dalam rundingan dua hala dengan Singapura yang meliputi pelbagai isu tertunggak termasuk pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor.

Bagaimanapun katanya, kedua-dua pihak bersedia meneruskan rundingan itu bagi mengatasi segala masalah berkenaan.

"Kedua-dua negara tidak bersedia mengorbankan hak masing-masing dalam apa cara sekalipun."

" Tetapi kedua-dua negara juga bersedia mencari penyelesaian kepada masalah yang berbangkit menerusi rundingan yang sedang berjalan supaya persetujuan yang dicapai akan memberi faedah kepada rakyat kedua-dua negara," kata Syed Hamid di lobi Parlimen semalam.

Menurut laporan Bernama, beliau juga mengulangi pendirian kerajaan tidak akan mengorbankan kepentingan negara dalam rundingan dengan Singapura itu.

Kerajaan, katanya, sentiasa mengambilkira pandangan dan sensitiviti rakyat yang mahukan kerajaan mengutamakan kepentingan dan integriti negara semasa menjalankan rundingan itu.

"Kedua-dua negara perlu bersedia mengorbankan beban sejarah, jika mahu melihat rundingan itu mencapai kejayaan agar rakyat generasi akan datang kedua-dua negara mendapat manfaat daripada kejayaan rundingan tersebut," katanya.

Terdahulu, beliau menghadiri sesi taklimat kepada Menteri, Timbalan Menteri dan Penyokong Kerajaan berhubung isu rundingan pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Taklimat itu berlangsung di bangunan Parlimen selama lebih sejam.

Mengulas taklimat yang diberikan itu, Syed Hamid berkata ia bertujuan menjelaskan kepada wakil rakyat dan orang ramai pendirian kerajaan selain memberi perkembangan terkini mengenai rundingan itu berikutan wujudnya spekulasi seolah-olah berlaku ketegangan.

"Kita juga perlukan maklumat balas daripada wakil rakyat supaya kita lebih bersedia dalam rundingan seterusnya sehingga mencapai kejayaan," katanya.

Beliau menambah taklimat yang diberikan hari ini menunjukkan sikap keterbukaan Perdana Menteri yang "membuka pintu" kepada wakil rakyat menyuarakan pandangan mereka.

Katanya lagi, sudah menjadi amalan apabila berlaku sesuatu isu yang menarik minat rakyat, kerajaan akan mengadakan forum bagi menjelaskan isu tersebut.

"Wakil-wakil rakyat telah melahirkan kebimbangan yang berasas terhadap rundingan tersebut dan pandangan mereka mencerminkan perkara-perkara yang rakyat ingin tahu.

"Oleh kerana itu, kerajaan perlu menjelaskan kedudukan isu itu kerana jika mereka hanya tahu separuh sahaja maka mereka akan membuat komen yang separuh tepat sehingga boleh menimbulkan masalah dan salah faham," katanya.

Syed Hamid menambah jika spekulasi dan kontroversi menyelubungi rundingan pembinaan jambatan itu tidak dijelaskan, ia boleh menyebabkan rundingan yang sedang berjalan menjadi tegang.