Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan patut kaji semula dasar ekonomi gagal tangani kemiskinan - Pakar

Dasar-dasar ekonomi negara yang gagal menangani kadar kemiskinan negara memang perlu dikaji semula memandangkan masalah kenaikan kos sara hidup di Malaysia ini adalah serius, kata pakar ekonomi Prof Nazari Ismail dari Universiti Malaya.

Bagaimanapun, Nazari berpendapat rakyat tidak sewajarnya menuding jari terhadap kerajaan sahaja kerana masyarakat juga harus mengubah gaya hidup yang gemar berbelanja.

“Kerajaan banyak membuat skim membasmi kemiskinan tetapi oleh kerana sistem kewangan tidak berubah malah tahap berhutang di dalam masyarakat terus meningkat.

“Maka masalah kenaikan kos sara hidup semakin serius dan juga masalah kemiskinan.

“Oleh itu, kita tak boleh salahkan kerajaan sahaja kerana punca utama ialah sistem kewangan kita dan juga sikap masyarakat yang `consumerist' (sangat suka berbelanja) dan tidak mengukur baju di badan sendiri dan oleh itu suka berhutang dengan bank,” katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Pada 7 September, Presiden PKR Anwar Ibrahim menggesa supaya kerajaan terutamanya Menteri Hal Ekonomi Mohamed Azmin Ali dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk mengkaji semula dan mengenal pasti dasar-dasar ekonomi yang gagal menangani masalah kemiskinan.

Ia susulan dapatan Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB, Philip Alston mengenai kadar kemiskinan negara pada bulan lalu.

Alston berkata kadar kemiskinan sebenar di Malaysia adalah kira-kira 15 peratus dan menyifatkan kadar kemiskinan negara sebanyak 0.4 peratus pada 2016 adalah tidak realistik kerana meletakkan penanda aras yang rendah.

Nazari berkata, faktor utama merupakan sistem kewangan negara yang berpaksikan kepada industri perbankan.

“Apabila bank membuat pinjaman, jumlah wang di dalam sistem kewangan bertambah dan ini mengurangkan nilai mata wang.

“Pada masa yang sama oleh kerana banyak organisasi bersaing dengan cara berhutang, tekanan untuk menurunkan kos membuat upah tidak naik.

“Ini menyebabkan pendapatan menjadi tidak mencukupi dan membuat ramai jatuh miskin,” katanya.

Tambahnya, kerajaan juga banyak berhutang dan sukar menaikkan gaji kakitangan awam.

Selain daripada sistem kewangan negara, antara faktor lain katanya, merupakan kurangnya sikap saling membantu terhadap golongan miskin dalam masyarakat yang menyebabkan jurang perbezaan antara kaya dan miskin amat besar.

“Untuk menyelesaikan masalah dalam jangka panjang memerlukan perubahan sikap masyarakat supaya kurang berhutang kepada sistem perbankan, dan juga suka bantu membantu dan bersedekah,” katanya. 

Lihat Komen
ADS