Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
1MDB-IPIC: Walau risiko hilang RM40b, k'jaan hantar perunding kurang bersedia

Pada 2016, warga Malaysia mengetahui bahawa 1MDB dalam pertikaian dengan syarikat Abu Dhabi International Petroleum Investment Company (IPIC) - yang pada mulanya bertujuan membantu syarikat milik kerajaan yang menanggung hutang itu.

IPIC menuntut kembali AS$1 bilion yang diberikan kepada 1MDB sebagai bantuan apabila syarikat itu gagal membayar pinjaman AS$975 juta kepada Deutsche Bank.

Penyelamatan 1MDB oleh IPIC melalui 'binding term sheet' dimulakan pada Mei 2015. Pada Ogos tahun itu, "amaran" mula kedengaran di Abu Dhabi apabila bekas pengerusi IPIC Khadem al Qubassi dan CEO Aabar Investments PJS Mohamed Badawy Al-Husseiny - subsidiari IPIC - dipecat.

Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ) dalam saman sivilnya menamakan Khadem dan Mohamed sebagai individu yang bersubahat dengan ahli perniagaan Low Taek Jho, lebih dikenali sebagai Jho Low, dalam dakwaan penyelewengan dana 1MDB yang disifatkan sebagai kes kleptokrasi terbesar di dunia.

Dengan dana yang hilang dalam 1MDB semakin sukar ditebus, Khadem dan Mohamed menggunakan sumber IPIC untuk menutupnya. Awal tahun ini, Khadem dan Mohamed masing-masing dihukum penjara 15 dan 10 tahun di Abu Dhabi.

Selain mendapatkan semula AS$1 bilion (AS$1.2 bilion termasuk faedah), IPIC tidak mahu mempunyai apa-apa kaitan lagi dengan 1MDB.

Ia termasuklah bon 1MDB bernilai AS$3.5 bilion yang pada mulanya dijamin IPIC (dengan syarat kerajaan menanggung liabilitinya). Dengan bayaran kupon (bayaran faedah tahunan), jumlah itu meningkat kepada AS$4.8 bilion.

Ia menjadikan jumlah tuntutan IPIC terhadap 1MDB lebih daripada AS$6 bilion (RM25.035 bilion).

Pada masa sama, 1MDB mendakwa ia telah membayar kira-kira AS$3.51 bilion (RM14.645 bilion) kepada subsidiari IPIC, Aabar Investments PJS, tetapi IPIC mendakwa ia tak pernah menerimanya.

Secara keseluruhan, negara berisiko hilang RM40 bilion ekoran perkara ini.

Berdasarkan dokumen DOJ, kita tahu wang dibayar kepada satu lagi syarikat bernama hampir sama yang didaftarkan di British Virgin Islands - Aabar Investments PJS (BVI) - tetapi tiada sebarang kaitan dengan IPIC.

Sementara IPIC secara rasmi tiada kaitan dengan syarikat itu, dua pegawainya Khadem dan Mohamed merupakan pengarah kepada entiti yang menerima wang 1MDB itu.

Pada April 2017, diumumkan bahawa 1MDB telah mencapai penyelesaian dengan IPIC. Beberapa pihak mengatakan penyelesaian itu berat sebelah.

Menurut penyelesaian itu, kerajaan Malaysia setuju membayar AS$1.2 bilion kepada IPIC, serta menanggung liabiliti untuk bon berjumlah AS$4.8 bilion dan bayaran koupon.

Untuk Malaysia pula, IPIC setuju untuk mengadakan perbincangan "jujur" (in good faith) berkenaan AS$3.51 bilion yang telah dibayar kepada "pihak tertentu", atau lebih spesifik, Aabar BVI.

Sehingga kini, IPIC - kini sebagai Mubadala Investment Company - tidak membayar walau satu sen kepada Malaysia.

Dalam perbicaraan kes 1MDB terhadap Najib Razak, didedahkan bahawa bekas perdana menteri itu menghantar pegawai khasnya Amhari Effendi Nazaruddin untuk membincangkan penyelesaian dengan IPIC walaupun dia tidak memahami sepenuhnya perkara itu.

Kenyataan saksi ketika pemeriksaan balas

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Muhammad Shafee Abdullah, Amhari yang menjadi saksi kelapan pendakwaan berkata dia tidak memahami isu itu.

Amhari Efendi

Shafee: Ketika isu ini 'meletup', anda dihantar (ke Abu Dhabi) untuk berunding dengan IPIC?

Amhari: Secara jujur, Yang Arif, saya tidak faham sepenuhnya isu IPIC dan saya hanya mengikut arahan, saya tidak mempunyai maklumat penuh mengenai IPIC.

Shafee: Saya tanya soalan mudah. Anda dihantar untuk berunding dengan IPIC, bukan tentang sejauh mana yang anda tahu.

Amhari: Saya dihantar berunding untuk membawa Malaysia dan Abu Dhabi keluar daripada mahkamah arbitrasi antarabangsa.

Dengan hampir RM40 bilion yang terlibat, Amhari dihantar untuk berunding seorang diri. Dia mendakwa ia adalah arahan Najib.

"Saya tanya dia (Najib) apakah maklumat tambahan untuk saya laksanakan tugas ini. Najib kata dapatkan maklumat daripada Jho Low.

"Saya dihubungi Jho Low dan dia menjelaskan perincian perjalanan saya dan bila saya perlu bertolak.

"Selepas memberi taklimat berkenaan inti pati (perkara itu), saya mengesahkan kepada Najib yang saya perlu ke sana pada masa itu...Amat penting untuk saya dapatkan restunya dan dia setuju," kata Amhari.

Pada masa itu bekas Menteri Kewangan II Johari Abdul Ghani menjarakkan diri daripada penyelesaian itu kerana lebih cenderung ke arah arbitrasi antarabangsa. Perkara ini tidak diketahui umum pada masa itu.

Johari Abdul Ghani

"Saya tak terlibat dalam rundingan. Ia dilakukan oleh pengurusan dan lembaga 1MDB dengan pegawai Pejabat Perdana Menteri," katanya ketika itu.

Johari kemudian menafikan dia menentang Najib.

Apa-apa pun, arbitrasi itu berakhir dengan satu penyelesaian (consent judgemnet). Bagaimanapun dengan 1MDB perlu menanggung berbilion ringgit, kejayaannya kekal menjadi tanda tanya.

Susulan kekalahan BN pada PRU 2018, kerajaan baru kini mencabar penyelesaian dengan IPIC.

Dalam pernyataan bertulisnya, Amhari turut mengjelaskan perananannya dalam penyelesaian tersebut.

Berikut ialah petikan pernyataan bertulis Amhari yang berkaitan:

Pada 2016 saya tidak ingat bulan berapa, saya telah dipanggil oleh Najib ke rumahnya di Jalan Langgak Duta pada sebelah malam.

Setiba di situ, saya telah berjumpa Najib di sofa di ruang tamu. Najib mengarahkan saya untuk berjumpa CEO Mubadala, Khaldoon Mubarak di Abu Dhabi, UAE, sebagai pemudah cara agar kerajaan Malaysia dan Abu Dhabi tidak membawa isu pembayaran IPIC ke Mahkamah Antarabangsa.

Ini kerana dalam masa terdekat pihak Abu Dhabi mahu membawa isu 'binding term sheet' antara IPIC dan 2MDB ke Mahkamah Arbitrasi Antarabangsa.

Najib menerangkan jika Malaysia ke Mahkamah Antarabangsa kerana gagal membayar hutang bon yang dijamin IPIC, ia akan mengeruhkan hubungan dua hala kedua-dua negara dan mempunyai risiko politik kepada pilihan raya akan datang, kerana pada masa itu cerita dana 1MDB lasih lagi tidak lenyap dan diperkatakan di seluruh dunia.

Najib berkata saya perlu pergi untuk mengesahkan dengan pihak Abu Dhabi bahawa kedua-dua negara setuju untuk menyelesaikan masalah ini tanpa ke Mahkamah Antarabangsa.

Ia merupakan salah satu gerak kerja sulit oleh Najib kepada saya kerana pada masa itu isu hutang 1MDB terhadap IPIC hangat diperkatakan...

Sejurus selepas pertemuan dengan Najib dan apabila saya sampai ke rumah, saya telah mendapat mesej BBM (blackberry messenger) daripada Jho (Jho Low) memberitahu bahawa saya perlu ke Abu Dhabi untuk berjumpa Khaldoon, dan Khaldoon menjangkakan seseorang dari Malaysia akan menghubunginya.

Low juga kata dia akan hantar emel talking points perjumpaan saya dengan Khaldoon dalam masa terdekat.

Saya telah diberi alamat emel Khaldoon oleh Low untuk memaklumkan hajat Malaysia untuk berbincang mengenai perbicaraan Mahkamah Antarabangsa.

Najib tahu masalah tentang bayaran hutang IPUC ini dan begitu juga Jho Low. Mereka berdua terlibat secara langsung dalam memastikan saya berunding dengan Khalddon.

Sekarang ini baru saya faham bahawa tindakan ini adalah sebagai langkah damage control.

Dalam tempoh satu atau dua minggu dari perbincagan antara saya dan Najib itu, saya telah bertolak ke Abu Dhabi seorang diri dan berjumpa Khaldoon di pejabat Mubadala.

Saya diterima dengan baik dan menggunakan apa yang saya ingat dari talking points yang diberi Low.

Khaldoon memberitahu saya bahawa sebelum ini mereka telah dijanjikan "bermacam-macam" oleh Malaysia tetapi tidak dikotakan.

Mereka mahu lihat satu perjanjian baru, jika dimeterai, yang betul dan bayaran berkala kepada mereka. Pada ketika itu saya tidak faham apa yang dimaksudkan dengan 'bermacam-macam janji'.

Sekarang ini baru saya tahu ia kemungkinan besar merujuk kepada penjanjian BTS (binding term sheet) yang telah ditandangani terlebih dulu tetapi tidak dipenuhi sepenuhnya.

Pada pertemuan itu hanya saya dan Khaldoon sahaja yang membincangkan hali ini di pejabatnya.

Hasil daripada pertemuan tersebut, kami setuju bahawa Khaldoon dan saya akan menjadi pemudah cara bagi kedua-dua negara secara backchannel untuk tidak ke Mahkamah Antarabangsa, jika perjanjian dapat dipersetujui dan Malaysia membuat bayaran yang seterusnya.

Ini adalah satu tugas khas yang sulit yang saya buat sendiri atas arahan Najib dan Jho Low.

Perbincangan perjanjian untuk keluar daripada timbang tara ini diuruskan seterusnya oleh 1MDB dengan IPIC serta peguam-peguam mereka.

Dari semasa ke semasa, saya ada menerima status daripada kedua-dua belah pihak. Bagaimanapun Jho Low akan sentiasa memberi rumusan dan cadangan penyelesaian kedua-dua belah pihak secara keseluruhannya.

Saya dhubungi Khaldoon dan peguam utama IPIC iaitu Martin Edelman yang saya panggil sebagai Marty dari masa ke masa, untuk menjelaskan lagi kedudukan mereka.

Perjanjian ini yang sepatutnya ditandatangani sebelum penghujung 2016 akhirnya gagal dicapai kerana kedua-dua pihak tidak dapat bersetuju atas beberapa klausa.

Pada akhir perjanjian ini perlu ditandatangani, Najib telah menelefon saya beberapa kali untuk meminta saya merumuskan perbincangan terkini antara kedua-dua belah pihak. Ini bertujuan untuk beliau memikirkan apa tindakan lanjut yang perlu dibuat.

Saya dimaklumkan secara rasmi bahawa rundingan dihentikan semasa saya sedang bercuti hujung tahun di luar negara oleh Khaldoon sendiri melalui telefon.

Bagaimanapun, pada kira-kira April 2017, saya menerima emel dan juga panggilan telefon daripada Marty memaklumkan bahawa rundingan sedang berjalan.

Ini mengejutkan saya kerana saya beranggapan rundingan sebelum ini telah gagal dan dihentikan seperti yang diberitahu oleh Khaldoon.

Saya berpendapat sudah pasti ada individu-individu lain (saluran baru) yang membantu meneruskan rundingan ini termasuk Low.

Saya juga kemudiannya dihubungi oleh CEO 1MDB ketika itu, Arul Kanda dan diberi status terkini runidngan tersebut.

Selepas saya mengetahui rundingan ini, Low mengarahkan saya untuk memudah cara rundingan ini dengan persetujuan Najib.

Akhirnya IPIC dan 1MDB berjaya menandatangani pernjanjian settlement agreement ini pada pertengahan 2017.


Laporan tambahan oleh HIDIR REDUAN ABDUL RASHID & HARIZ MOHD

Lihat Komen
ADS