Malaysiakini BERITA

PH hanya akan kuasai Dewan Negara pada hujung 2020

Martin Vengadesan

Diterbitkan

Di sebalik beberapa kekosongan berikutan beberapa senator akan menghabiskan penggal mereka tidak lama lagi, Pakatan Harapan (PH) akan menguasai Dewan Negara pada November 2020.

Dewan Negara merangkumi 70 ahli lantikan.

Secara lazimnya, Dewan Negara dianggotai oleh 70 ahli. Ketika ini PH mempunyai 26 senator, manakala gabungan BN yang sebelum ini mempunyai 27 orang dengan sekutu terbarunya, PAS mempunyai empat kerusi.

Seramai 11 senator lagi mewakili parti yang tidak berpihak atau kumpulan minat khusus. Terdapat tiga kekosongan bagi kumpulan itu dalam masa terdekat ini.

Sumber kerajaan memberitahu Malaysiakini bahawa aktivis hak asasi manusia Ivy Josiah bakal dilantik sebagai Ahli Dewan Negara pada Oktober ini.

Josiah yang merupakan setiausaha agung, Persatuan promosi hak asasi manusia (ProHAM) adalah antara seorang yang dikatakan bakal diangkat sebagai senator selepas tiga senator menghabiskan penggal mereka pada 6 Oktober ini.

"Satu penghormatan buat saya jika terpilih," kata Ivy ketika dihubungi Malaysiakini.

 

"Ada keperluan supaya lebih ramai perwakilan wanita di Dewan Negara.

"Sebenarnya, Dewan Negara memerlukan perwakilan pelbagai kumpulan dengan kepakaran untuk meningkatkan mutu perdebatan dan cadangan yang dikemukana," katanya.

Ivy merupakan bekas pengarah eksekutif di Pertubuhan Bantuan Wanita (WAO) dan juga pernah berkhidmat dengan Suruhanjaya Diraja untuk meningkatkan Operasi dan Pengurusan Polis Diraja Malaysia.

Beliau juga menerima darjah Ahli Mahkota Wilayah (AMW) pada awal tahun ini.

Seorang jurucakap daripada Jabatan Perdana Menteri enggan memberi komen mengenai kemungkinan lantikan itu.

Tiga ahli Dewan Negara yang bakal menamatkan perkhidmatan mereka itu adalah Khairuddin Es Samad, Megat Zulkarnain Omardin dan Yahya Mat Ghani. Penggal kedua ketiga-tiga mereka akan berakhir pada bulan depan.

Semua mereka itu mewakili parti Umno. Khairuddin bagaimanapun kini telah menyertai Bersatu.

Jawatan keempat, dikhaskan kepada individu kurang upaya, turut menjadi kosong selepas Senator K Bathmavathi bakal tamat tempoh pada 18 Oktober.

Justeru, pelantikan baru kali ini tidak akan mengubah keseimbangan kuasa di Dewan Negara.

Namun, pada tahun 2020, seramai tujuh senator lagi bakal tamat tempoh mereka termasuk Speaker Dewan Negara SA Vigneswaran. Daripada jumlah itu, enam wakil adalah daripada BN.

Ini bermakna bahawa PH hanya akan menguasai Dewan Negara pada November 2020.

Semua rang undang-undang lazimnya mesti diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara (Senat) sebelum dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong untuk perkenaan baginda.

Sekiranya Dewan Negara menolak rang undang-undang yang diluluskan oleh Dewan Rakyat, ia hanya boleh melambatkan laluan RUU dengan maksimum setahun sebelum ia dihantar kepada Seri Paduka.