Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

ULASAN l Baru-baru ini, Kementerian Kewangan menerima satu cadangan dari Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) supaya kerajaan meneliti semula had umur persaraan untuk dinaikkan dari 60 tahun kepada 65 tahun.

Saya ingin mengingatkan kepada semua bahawa isu ini satu cadangan yang hadir dari MTUC dan kerajaan melalui Kementerian Kewangan dan Kementerian Sumber Manusia hanya meneliti secara lebih halus dengan cadangan ini; bukannya telah bersetuju dan terus meningkatkan had umur persaraan. Ini harus saya tekankan dengan segera bagi mengelakkan salah faham pembaca.

Saya percaya sektor pekerjaan di Malaysia memerlukan sumbangan daripada golongan belia. Belia hari ini adalah generasi yang memulakan perniagaan start-up, mahir dalam teknologi terkini, tidak lagi bergantung kepada kaedah dan pentadbiran yang konvensional serta telah didedahkan dengan ilmu yang kontemporari.

Saya juga faham bahawa mereka yang telah bekerja dan menabur bakti selama lebih 30 hingga 40 tahun mempunyai pengalaman, kepakaran dan arif dalam selok belok pekerjaan.

Semestinya, pengetahuan mereka yang telah mencecah sekitar umur persaraan ini harus dipelajari dengan lebih tekun oleh anak muda.

Tetapi, adakah cadangan meningkatkan had umur persaraan sebenarnya membantu kelangsungan sektor pekerjaan di Malaysia?

Keutamaan dalam kehidupan dan organisasi

Setiap generasi dalam semua lapisan umur mempunyai keutamaan yang berbeza dalam kehidupan. Golongan pelajar mempunyai keutamaan untuk meraih ilmu di insititusi pendidikan dan menamatkan pengajian mereka.

Bagi golongan graduan, inilah tempoh masa untuk mereka berlumba-lumba bekerja bagi mendapatkan gaji yang lebih baik, meningkatkan skil dalam syarikat dan organisasi serta merebut peluang mendapat jawatan yang lebih tinggi.

Maka, persaingan sesama graduan ini akan menyumbang kepada produktiviti yang terbaik kepada organisasi. Ini keutamaan anak muda!

Apabila seseorang itu telah membanting tulang selama lebih 30 hingga 40 tahun, keutamaan mereka telah berubah. Mereka telah mendapat gaji yang lebih baik dan jawatan yang jauh lebih stabil.

Namun, apabila telah lanjut usia, mereka akan berhadapan dengan isu kesihatan, masalah beradaptasi dengan teknologi dan kemahiran yang lebih terkini dan organisasi juga akan mengalami masalah jurang generasi dalam peringkat problem solving, sesi brain storming dan kurangnya inovasi dalam pentadbiran.

Maka, cadangan untuk meningkatkan had umur persaraan dari 60 kepada 65 tahun adalah satu langkah berundur atau ke belakang yang seharusnya dijadikan pertimbangan serius kementerian yang terlibat.

Malah, ada dalam kalangan pembaca juga banyak mencadangkan supaya had umur persaraan tidak sepatutnya dinaikkan, tetapi diturunkan!

Peluang pekerjaan kepada belia

Sebagai Menteri Belia dan Sukan, sudah tentu isu belia dalam sektor pekerjaan dijadikan sebagai indeks prestasi saya sendiri.

Saya sendiri banyak mendengar keluhan dan permintaan daripada golongan belia supaya kerajaan lebih prihatin dan berusaha menyediakan peluang pekerjaan kepada anak muda.

Amatlah menyedihkan apabila anak muda yang gigih menunaikan tanggungjawab sebagai pelajar di institusi pendidikan tidak mampu mendapat tempat dalam sektor pekerjaan.

Sudah tentu ada banyak faktor mengapa pengangguran graduan berlaku tetapi cadangan meningkatkan umur persaraan ini juga akan menyempitkan lagi ruang pekerjaan kepada anak muda yang sudah sedia ada sukar.

Apabila umur persaraan dinaikkan, akan ada lambakan pekerja yang akan menetap di dalam organisasi selama tempoh 5 tahun tambahan.

Maka, sampai bilakah anak muda harus menunggu supaya sesetengah jawatan dikosongkan? Kita juga harus mengambil kira persaingan besar dan sengit oleh graduan kepada jawatan kosong yang kecil jumlahnya.

Dalam Laporan Tahunan Bank Negara Malaysia 2016, kadar pengangguran belia di Malaysia mencecah 10.7 peratus. Malangnya, apabila saya rujuk pula Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia mendapati bahawa angka pengangguran belia meningkat kepada 10.9 peratus pula.

Ini adalah situasi ekonomi yang memerlukan pelbagai dasar dan polisi yang boleh membantu menurunkan angka tersebut. Saya juga percaya angka 10.9% ini tidak akan menurun jika cadangan MTUC diterima pakai.

Analisis dan pertikaian cadangan MTUC

Tidaklah dinafikan bahawa antara sebab mengapa MTUC mencadangkan kenaikan had umur persaraan adalah kerana pesara tidak mempunyai simpanan yang cukup bagi menampung keperluan serta ingin memastikan kelangsungan kehidupan pekerja dengan lebih lama.

Namun, tidak usahlah mencadangkan kenaikan umur persaraan kerana ini hanya akan menghukum satu generasi belia yang baru mahu memulakan kehidupan sendiri.

Banyak lagi langkah lagi yang boleh dicadangkan seperti kenaikan pemberian elaun kos sara hidup yang juga telah dicadangkan MTUC, semakan semula terhadap kadar gaji pekerja, pendedahan kepada langkah bijak pelaburan dan mengurus kewangan peribadi.

Saya juga percaya kesedaran untuk mengurus kewangan harus hadir dan diterapkan kepada orang muda supaya mereka dapat menimba manfaat ketika umur persaraan kelak.

Apabila berita mengenai cadangan MTUC ini diketahui umum, hampir semua reaksi yang diberikan oleh rakyat adalah tidak bersetuju.

Saya percaya bahawa dasar yang mengangkat golongan pekerja dan pesara amat penting untuk dikaji dan diberi perhatian.

Namun, kerajaan tidak boleh berkompromi dengan nasib dan masa hadapan belia yang menjadi tunjang kepada pembangunan negara.

Hidup belia, maka hiduplah sesebuah negara. Dasar yang mengangkat nasib belia akan memberi kesejahteraan kepada generasi Malaysia yang akan datang.


SYED SADDIQ SYED ABDUL RAHMAN merupakan menteri belia dan sukan.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS