Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Apa kata orang muda tentang hak baru mereka untuk mengundi?

LAPORAN KHAS | Pada Julai 2019, Parlimen meluluskan pindaan Perlembagaan Persekutuan bagi menurunkan had umur minimum mengundi dan menjadi calon pilihan raya daripada 21 ke 18 tahun, selain pendaftaran pengundi yang akan dilakukan secara automatik.

Ini bermakna landskap politik Malaysia akan berubah pada pilihan raya umum (PRU) akan datang, dengan penyertaan jutaan pengundi baru terdiri daripada orang muda.

Oleh itu, parti-parti politik berlumba-lumba untuk menarik perhatian pengundi muda tersebut.

Pihak pembangkang percaya pindaan perlembagaan itu memberikan kelebihan buat mereka kerana ia membuka ruang untuk memanfaatkan rasa tidak puas hati golongan terbabit terhadap parti pemerintah.

Di pihak kerajaan, biarpun mengakui pindaan itu mungkin tidak menyebelahi PH, mereka berpendapat ia adalah terbaik demi kepentingan negara.

Bagaimanapun, adakah parti-parti politik itu faham jangkaan golongan muda dan kebimbangan mereka? Adakah polisi dan agenda parti-parti politik bertepatan dengan apa yang golongan muda perlukan?

Malaysiakini menemu bual 29 pelajar berusia antara 14 hingga 18 tahun bagi memahami pandangan mereka terhadap hak mengundi dan penyertaan golongan muda dalam politik, serta bagaimana mereka menangani maklumat politik.

Turut ditanya ialah isu-isu sosial yang menarik perhatian mereka dan apakah perubahan yang dimahukan dalam isu-isu tersebut.

Mereka terdiri daripada pelajar sekolah menengah kebangsaan (SMK), sekolah jenis menengah kebangsaan (SMJK), sekolah persendirian Cina, sekolah agama dan sekolah antarabangsa. Sesetengah responden sedang bekerja secara sementara, manakala sebahagian lagi belajar dalam program prauniversiti.

Golongan muda bukan monolitik

Lebih separuh daripada mereka yang ditemu bual meluahkan rasa teruja untuk mengundi dalam PRU akan datang.

Bagi Nura Hanesa Haslimi, 16, dia percaya langkah menurunkan umur layak mengundi adalah polisi pilihan raya yang lebih adil untuk golongan muda.

“Orang tua boleh mengundi meskipun mereka tak dapat pendidikan politik macam kami. Rasa tak adil pula apabila kami perlu menunggu sebegitu lama (untuk mengundi).

“Macam mana kalau kerajaan menjadi korup dalam tempoh kami menunggu untuk (mencapai umur) layak mengundi?” katanya.

  • Apa yang dipinda dalam Undi 18?

 Atas faktor kerjaya orang tuanya, Nura pernah tinggal di beberapa bandar raya di Indonesia,England dan Scotland. Dia kini pelajar tingkatan empat sebuah sekolah kebangsaan di Kuala Lumpur.

Sebagai ahli kelab debat sekolah, dia sering membincangkan pelbagai topik secara mendalam. Sesekali nenek dan datuk Nura ada berbincang isu politik dengannya. Semasa PRU14, katanya, dia mengikuti perkembangan beberapa parti dan tokoh politik di Twitter.

Berdasarkan pemerhatiannya, orang muda lebih berani menyuarakan pendapat di media sosial, malah kadangkala perkongsian mereka menjadi tular.

Jelas Nura, media sosial menjadi wadah melontarkan pandangan buat golongan muda memandangkan mereka “tidak mampu berbuat apa-apa tentang sesuatu isu” (kerana belum layak mengundi).

Jika pindaan perlembagaan itu tidak dicadangkan dan diterima, katanya, mereka perlu menunggu selama satu ke dua penggal lagi sebelum layak mengundi.

Bagi Aadithya Naidu Montana Krishnan pula, dia percaya langkah menurunkan umur mengundi dan menjadi calon mampu membuatkan ahli politik mendengar tuntutan golongan muda.

“Saya rasa kesan terbesar Undi 18 terhadap politik Malaysia ialah demografi sasaran pengundi baru yang harus anda (ahli politik) beri perhatian,” katanya yang baru menamatkan pengajian dari sebuah sekolah antarabangsa pada Jun lalu.

Katanya, selain beberapa menteri seperti Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Belia dan Sukan) dan Yeo Bee Yin (Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim), dia mendapati bahawa “ramai ahli politik Malaysia berumur dalam kategori 45 ke 50 tahun. Mereka tak anggap isu-isu belia sebagai isu utama”.

Sementara itu, bagi Katelyn Felicia Pereira, golongan muda tak seharusnya dipandang sebagai golongan monolitik yang dianggap mempunyai aspirasi dan kecenderungan yang sama.

Lepasan sebuah sekolah antarabangsa itu menekankan bahawa golongan muda yang berusia antara 18 ke 21 tahun mewakili golongan yang berbeza.

Berbeza daripada golongan berusia 21 tahun yang selalunya terdiri daripada mereka yang sedang belajar di institusi pengajian tinggi (IPT) atau baru mula bekerja, Katelyn menyifatkan golongan 18 tahun sebagai “mewakili suara kanak-kanak”. Baginya, kedua-dua kumpulan hidup dalam persekitaran yang sama sekali berbeza.

 Selain itu, dia turut menyuarakan kebimbangan bahawa kebanyakan pihak yang memegang kuasa terdiri daripada golongan yang lebih berusia, dan hal itu mungkin menyebabkan mereka tidak mengutamakan golongan muda semasa membuat sesuatu keputusan.

Bagaimanapun, tambahnya, “kita masih tak cukup wakil golongan muda di peringkat pembuat keputusan untuk membuat perubahan. [...] Sukar bagi kami untuk berkongsi idea dengan generasi lebih tua sedangkan mereka tak mahu mendengar suara kami”.

Sehingga kini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) belum mengeluarkan statistik berhubung pengundi muda di negara ini. Berdasarkan data Jabatan Perangkaan, terdapat kira-kira 2 juta belia berumur di antara 18 ke 21 tahun di negara ini, sementara terdapat kira-kira setengah juta lagi akan mencapai usia 18 tahun setiap tahun.

Jika PRU15 diadakan pada 2023, pengerusi SPR, Azhar Azizan Harun menjangkakan akan ada kira-kira 3.8 juga pengundi baru berusia 18 tahun ke atas.

Jika ditambahkan dengan lebih 4 juta rakyat Malaysia yang masih belum mendaftar sebagai pengundi sebelum ini, terdapat 7.8 juta pengundi baru (yang berpotensi) akan turut serta dalam PRU akan datang, iaitu 34 peratus daripada keseluruhan jumlah pengundi.

Dalam kata lain, tiga daripada 10 pengundi ialah pengundi baru.

Meskipun begitu, sesetengah pengundi dirundung kebimbangan terhadap hak yang diberikan kepada mereka. Golongan terbabit berasa ragu-ragu sama ada mereka benar-benar sudah bersedia untuk mengundi atau pun tidak.

Daripada 29 yang ditemu bual, 10 daripadanya berkongsi pendirian sebegitu.

Natasha Presenna Nambiar berasakan usia 18 tahun masih belum cukup matang untuk mengundi. Kata pelajar tingkatan enam dari sebuah SMK di Cheras itu, dia bimbang akan membuat pilihan yang silap.

“Saya takut akan pilih pemimpin yang salah, (lalu) perkara buruk akan terjadi. Mula-mula, mereka tampil macam orang baik, (tapi) bila dah dipilih menjadi pemimpin, saya bimbang mereka akan menjadi pembohong,” katanya.

  Sebahagian penyokong Undi 18 berpendapat, memandangkan 18 tahun ialah usia layak untuk berkahwin, memiliki lesen memandu dan bekerja, maka mereka juga berhak diberikan hak untuk mengundi dan menjadi calon pilihan raya.

Bagaimanapun, pandangan itu tidak dipersetujui oleh Muhammad Syufaiq Silmi yang berpendapat hak berkahwin hanya terpakai untuk sesetengah individu (yang memilih berkahwin awal), sedangkan mengundi ialah tanggungjawab kolektif yang melibatkan kepentingan awam.

“Saya percaya setiap orang ada hak untuk mengundi, tapi haruslah dengan pemikiran rasional. Mengundi ini tanggungjawab kolektif setiap orang.

“Jadi kalau kamu belum bersedia, kamu tak sepatutnya mengundi.

Pentingnya pendidikan pengundi

Justeru, bagi pelajar program prauniversiti di sebuah kolej swasta itu, kerajaan perlulah terlebih dahulu memupuk pendidikan terhadap golongan muda, “supaya kami mampu menjadi rakyat yang matang pada usia 18 tahun, terdedah dengan dunia sebenar, bukan hanya berada di bawah ketika ibu-bapa … ketika itu barulah kami bersedia untuk mengundi”.

Kebanyakan pelajar yang ditemu bual turut berkongsi pandangan bahawa pendidikan merupakan langkah paling penting dalam pelaksanaan Undi 18.

Pada Jun lalu, Kementerian Pendidikan melaksanakan pendidikan mengenai pilihan raya di sekolah melalui kerjasama dengan SPR untuk mendidik pelajar tentang berkenaan.

Sementara itu, sejak 2017, Akademi Pilihan Raya (APR) di bawah SPR, melakukan lawatan ke universiti-universiti awam untuk memberikan kesedaran tentang demokrasi serta proses pilihan raya.

Dahulu, pelajar sekolah menengah pernah diwajibkan mengambil subjek Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.

Bagaimanapun, apabila kerajaan menerapkan silibus Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) baru pada 2017, subjek berkenaan sudah tidak ada lagi dalam senarai subjek.

Nura menggambarkan subjek pendidikan sivik yang diambilnya ketika sekolah menengah sebagai subjek yang “tak berfaedah”.

“Saya tak faham kenapa orang-orang tua fikir jika mereka memberitahu saya tentang nilai-nilai moral, maka semua pelajar akan ikut.

“Kamu belajar benda-benda itu sejak kamu kecil (kanak-kanak),” katanya.

Daripada semua yang ditemu bual, hanya Syufaiq yang memperakui kebaikan subjek berkenaan.

Melalui pendidikan sivik, katanya, dia dapat memahami bagaimana kerajaan berfungsi, biarpun menurutnya, cikgu yang mengajarnya bersikap berat sebelah.

“Cikgu yang ajar saya sivik ialah penyokong kerajaan lama. Jadi apa pun yang dia cakap, dia memuji kerajaan lama.

“Boleh nampak yang dia berat sebelah terhadap satu pihak dalam sistem politik,” katanya.

Ketika belajar di sebuah kolej universiti tempatan kemudiannya, kata Syufaiq, dia dan rakan sekelasnya ditugaskan untuk membuat perbandingan antara sistem politik yang berbeza mengikut negara oleh pensyarah subjek Bahasa Inggerisnya.

Menurunya, hal itu membantunya belajar berfikiran kritis dan berdikari.

Selain sekolah kerajaan, beberapa sekolah persendirian Cina turut menyediakan pendidikan sivik dan pengajian sains sosial untuk meningkatkan kesedaran sivik serta rasa tanggungjawab dalam kalangan golongan muda.

Aden Tan Shen Yeh merupakan pelajar aliran sains di sebuah sekolah persendirian Cina di Klang.

Sekolahnya memperkenalkan subjek sains sosial sejak 1980, dan kini semua pelajar senior di sekolah itu diwajibkan untuk mengambil subjek tersebut.

Mereka selalu membincangkan isu kepentingan awam di kelas, seperti perkahwinan sama jantina, memansuhkan hukuman mati mandatori dan eutanasia (amalan memutuskan nyawa pesakit bagi mengurangkan penderitannnya).

Dari situlah, kata Tan, dia berminat mengikuti perkembangan isu semasa dengan teliti dan membentuk pemahaman sendiri dalam hal berkaitan politik dan kemasyarakatan.

Begitupun, katanya, dia masih bersikap pesimis terhadap hak mengundi yang baru diberikan kepada golongan muda.

“Secara jujur, walaupun pada usia 17 tahun saya dah banyak baca tentang hal-hal sebegini, tapi masih banyak yang kabur,” katanya.

Dia berpendapat, pengundi yang matang sepatutnya mempunyai pemahaman tentang konsep asas demokrasi, sejarah sebuah negara dan sebagainya, bagi memilih calon yang layak.

“Kita kena faham konsep politik demokrasi dan mekanisme di belakangnya.

“Kemudian, kita bandingkan parti-parti ini dengan objektif mereka, dan kenal pasti parti mana yang dapat menyelesaikan masalah dengan berkesan,” katanya.

Melangkaui pendidikan di sekolah

Selain pendidikan di sekolah, keluarga turut memainkan peranan dalam pendidikan politik.

Natasha mengakui bahawa sikap acuh tidak acuhnya terhadap politik disebabkan persekitaran negatif keluarganya yang kerap berbincang soal politik.

“Saya tak selesa apabila saya dengar mak dan ayah saya komen pasal politik. Mereka sentiasa marah-marah, saya tak suka persekitaran begitu.

“Setidak-tidaknya, ahli-ahli politik mencuba sedaya upaya mereka untuk menjalankan tugas mereka. Tak perlulah (mengkritik) terlalu kasar,” katanya.

Sikap ‘tidak minat politik’ ini didapati bukan hanya menjadi perkara biasa dalam kalangan golongan muda, tetapi juga golongan dewasa.

Apabila diminta menyenaraikan tanggapan mereka terhadap politik, hampir separuh responden memberikan jawapan berbaur negatif, termasuklah menjawab dengan istilah seperti: penipu, kes liwat, rasuah, ketidakadilan, kotor, tak teratur, dan bermasalah.

Sementara itu, lebih separuh daripada responden memberitahu mereka mempunyai kawan yang tidak pun kenal dengan timbalan perdana menteri, inikan pula untuk mentahui isu-isu semasa.

Menurut Pravhilan Gunasekaran, seorang pelajar tingkatan lima di sebuah sekolah kebangsaan, di dalam kelasnya yang seramai 25 orang, hanya dia sahaja yang berminat dengan politik.

Mujurlah, kata Pravhilan, dia masih ada beberapa rakan sekolah daripada pelbagai kaum yang berkongsi minat dengannya.

Pravhilan yang merupakan ketua pengawas sekolah dan menyertai pasukan kadet polis berkata, dia berkongsi pandangannya dengan kawan-kawan - termasuklah dalam isu tulisan Jawi - dengan kawan-kawan Melayu.

“Ia bukan soal perkauman, kami hanya berkongsi pandangan kami,” katanya.

Bagi Adithya pula, ramai orang yang tidak mempunyai pemahaman tentang politik sedangkan politik ada di mana-mana.

“Kamu kata kamu benci politik, tapi dalam kumpulan kawan kamu pun ada politik. Kawan ini bercakap tentang kawan itu. Itu masih politik dan ‘kotor’.

“Yang membezakan itu hanyalah, politik yang sering diperkatakan orang itu (politik peringkat negara) mempunyai kesan terhadap setiap daripada kita,” katanya lagi.

Jika kebanyakan keluarga enggan membincangkan soal politik dengan anak-anak mereka, Syufaiq berkata, keluarganya agak “abnormal”.

Menurutnya, sejak kecil, ayah dia - yang merupakan seorang diplomat - menggalakkannya mendedahkan diri dengan pelbagai isu awam yang terjadi di negara ini.

“Bagi saya, saya baca dan tonton semua jenis media: The Star, Malaysiakini, Utusan … Dalam sesuatu isu itu, saya dapat lihat jika satu-satu media itu bersikap berat sebelah,” katanya sambil menambah kebanyakan ibu bapa rakan sekelasnya percaya kepada BN.

Katanya, kebanyakan ibu bapa sentiasa mengelakkan anak-anak mereka daripada terdedah dengan politik dan isu dunia sebenar.

“Ibu bapa sokong satu parti walaupun parti itu salah, mereka (tetap) kata ia betul. Mereka sokong secara membuta. Mereka pilih media mereka (untuk dipercayai).

“Tapi di akhirnya, kami masih kawan. Saya terima mereka seadanya, dan mereka juga terima saya seadanya,” katanya lagi. 

 Minat Pravhilan dalam politik turut dipengaruhi oleh keluarganya, terutama ibu saudara yang merupakan seorang wartawan politik. Malah, tambahnya, dia bercadang untuk mengikut jejak langkah ibu saudaranya itu.

Katanya, tahun lalu, dia mengikut ibu saudaranya ke satu perhimpunan pilihan raya bagi merasai sendiri pengalaman sebenar, dan dia juga berjaga hingga 4 pagi bagi mengetahui keputusan PRU14.

“Saya sukakan cabaran. Saya pergi lihat sendiri apa yang berlaku ketika rusuhan di kuil di Subang. Ayah saya pun menggalakkan saya untuk menghadiri beberapa perhimpunan kempen pilihan raya”, katanya.

Satu hal menarik yang dikongsikan Pravhilan, dia merupakan individu yang bertanggungjawb memujuk dan mendesak ibunya untuk mengundi dalam PRU lalu. Itu adalah kali pertama ibunya mengundi.

Bagi Katelyn Felicia Pereira, ibu bapanya menyokong parti politik yang berbeza, dan kedua-duanya jarang bercakap soal politik di rumah.

Menurutnya, ayahnya merupakan anggota parti politik yang terlibat aktif dalam usaha membantu golongan memerlukan seperti kumpulan berpendapatan rendah, wanita mangsa dera, dan kanak-kanak kurang bernasib baik yang tidak mampu untuk ke sekolah.

Dipengaruhi oleh ayahnya, Katelyn juga menaruh minat terhadap isu-isu tertentu, seperti kebajikan haiwan, komuniti LGBT, hak-hak wanita, dan juga isu-isu alam sekitar.

Muhammad Akif Najmi - yang hadir ke sesi temu bual bersama Pravhilan - berkongsi cita-citanya untuk menjadi ahli politik yang diputuskan baru beberapa bulan lalu.

Sebelum itu, cita-citanya ialah untuk menjadi askar, tetapi lawatannya ke Parlimen mengubah fikirannya.

Secara kebetulan, dalam lawatan itu dia dan kumpulannya dapat menyaksikan anggota parlimen berdebat dalam RUU Undi 18.

“Apabila mereka berdebat tentang pindaan itu, mereka bertanya pendirian PAS. Saya suka situasi macam tu, apabila anggota Parlimen meminta pandangan yang berbeza.

“Ada banyak pendapat diberikan semasa debat Undi 18 itu. Saya tak dapat nak gambarkan semuanya sekali, terlalu banyak maklumat saya dapat hari itu,” katanya.

Sejak lawatan itu, Akif yang merupakan ketua pengawas di sekolahnya, mula membaca dari pelbagai portal berita, termasuklah agensi media asing seperti BBC dan CNN untuk mempelajari bagaimana proses politik di Malaysia dan di negara-negara lain.

Seperti Aadthiya, minat mendalamnya terhadap hal ehwal politik tempatan dan antarabangsa tercetus selepas dia menyertai persidangan Model United Nation (MUN) ketika berusia 14 tahun.

MUN merupakan aktiviti akademik dan simulasi bersifat pendidikan, apabila pelajar boleh belajar tentang diplomasi, hubungan antarabangsa, dan tentang PBB.

Dalam siri persidangan yang selalunya dijalankan oleh kelab MUN sekolah atau kolej itu, pelajar memainkan peranan sebagai wakil PBB.

Peserta persidangan MUN belajar tentang ucapan, debat, pemikiran kritis, kepemimpinan, kerja berpasukan, dan banyak lagi kemahiran lain.

“Sebagai contoh, jika topiknya ialah tentang Syria dan Yaman, dan saya mewakili AS dalam Majlis Keselamatan. Objektif saya dalam PBB adalah untuk mendapatkan keputusan yang memberi keuntungan buat Arab Saudi sebab kami (AS dan Arab Saudi) merupakan rakan sekutu.

“Melalui simulasi itu, saya mula faham bagaimana politik berfungsi. Bukan hanya politik tempatan, tapi juga politik antarabangsa,” kata Akif.

 Isu golongan muda tak wajar diabaikan

Daripada temu bual bersama golongan muda itu, kesaksamaan dan pendidikan merupakan dua perkataan tepat untuk menggambarkan apa yang mereka mahukan daripada kerajaan.

Aadithya kini bekerja sebagai pelatih industri di pejabat Anggota Parlimen Klang, Charles Santiago. Dia menegaskan ahli politik perlulah memandang isu golongan muda secara serius.

Katanya, hanya beberapa ahli politik yang sanggup melihat isu-isu seperti gaji permulaan dan gaji minuman untuk golongan muda.

“Kamu tak boleh tamatkan perbincangan, dan hanya kata rakyat malas dan tak sanggup bekerja. Tak banyak peluang untuk orang muda mencapai hidup yang senang di negara ini,” katanya.

Gaji minimum yang ditetapkan oleh kerajaan PH ialah RM1,100 namun ia lebih rendah daripada RM1,500 seperti yang dijanjikan dalam manifesto mereka menjelang PRU14.

Tambahan pula, data dari Bank Negara menunjukkan gaji lepasan universiti sudah tepu sejak 2007, dengan lebih separuh daripadanya menerima gaji lebih rendah daripada RM2,200 setiap bulan sejak 2015.

Aadithya turut menegaskan bahawa ahli politik sepatutnya melibatkan golongan muda dalam politik dan pembinaan negara, selain memastikan polisi yang memberi manfaat kepada golongan muda.

Sementara itu, Syufaiq lebih bimbang tentang hak keistimewaan Melayu, LGBT dan komuniti sosial.

Meskipun ramai daripada kawannya percaya akan keistimewaan kaum dan politik perkauman, dia mempunyai pandangan berbeza.

“Saya rasa hak keistimewaan Melayu memusnahkan komuniti Melayu. Saya tahu orang Melayu ketinggalan dalam ekonomi ketika era kemerdekaan. Tetapi kini, yang menghalang kita (daripada maju) ialah diri kita sendiri.

“Bagi saya, kita - tiga kaum (utama) - hidup bersama di negara ini. Ada masanya, kita kena berkongsi. Kamu tak boleh benarkan satu kaum sahaja yang memegang kuasa terbesar dalam negara,” katanya.

Sebagai orang Melayu, Syufaiq berharap untuk melihat dasar kesaksamaan perkauman. Bagaimanapun, sebagai seorang Muslim, dia tidak menyokong komuniti LGBT.

“Negara kita ialah negara Islam dan majoritinya Muslim, saya rasa mereka (LGBT) sepatutnya tidak terlalu menonjol, dan kerajaan kita pun juga sangat bertolak-ansur.

“Saya lihat ramai LGBT di luar sana. Bukannya kita pergi kepada mereka pun, caci-maki mereka bahawa mereka salah … kita (masih) boleh hidup aman dengan mereka,” katanya.

 Berbeza pula bagi Nabihah Adnin Abdullah, seorang pelajar di sebuah sekolah agama di Kajang, yang menyuarakan kebimbangannya terhadap hak komuniti LGBT.

Sebagai seorang Muslim, katanya, dia tidak boleh menyokong gaya hidup LGBT secara terbuka. Namun dari sudut kemanusiaan pula, dia berasakan bahawa orang ramai patut mengiktiraf kewujudan golongan itu dan menerima mereka.

“Bukanlah nak kata kita ini bersubahat, tapi kita perlu faham mereka. Mereka pun rakyat Malaysia, kan? Kita kena iktiraf kewujudan mereka,” katanya.

Kebanyakan daripada yang ditemu bual turut menyuarakan kebimbangan golongan muda bukan bumiputera terhadap sistem kuota dan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) memandangkan hal itu mengehadkan peluang mereka bagi mendapatkan pendidikan tinggi.

Responden dari sekolah kebangsaan turut mengkritik kualiti pendidikan di sekolah.

Kontroversi baru-baru ini melibatkan silibus sejarah dan tulisan Jawi turut membuatkan pelajar-pelajar meluat, seperti Tan yang berharap agar isu tersebut boleh diselesaikan secara akademik dan bukannya dipolitikkan.

“Ahli-ahli politik bergaduh pasal isu ini, makin lama makin teruk. Saya harap mereka boleh selesaikannya dan hormati kebenaran pendidikan dan sejarah.

“Mereka tak sepatutnya menyebelahi mana-mana pihak dan harus melihat isu ini secara objektif, supaya masyarakat tidak berpecah-belah dalam bergerak ke hadapan,” katanya.

Tan turut menekankan bahawa setiap kaum memainkan peranan dalam menyumbang kepada pembangunan dan kemajuan negara.

“Kita patut memberi layanan sama rata kepada semua dan tidak lagi mengguna pakai konsep bumiputera dan bukan bumiputera untuk membeza-bezakan sesama kita.

“Saya juga berharap pemimpin yang dipilih tidak bersikap mementingkan diri dan hanya mahu mengejar kepentingan peribadi. Saya harap mereka ambil pendirian tegas dan menyelesaikan isu-isu berkaitan pendidikan,” katanya.

Tidak seperti kebanyakan responden, Tan tidak bersetuju dengan langkah menurunkan umur mengundi menjadi 18 tahun.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan pindaan perlembagaan telah diluluskan, sebagai rakyat Malaysia yang telah diberikan hak untuk mengundi, katanya, dia tetap akan melunaskan tanggungjawab itu.

“Jujurnya, kalau diikutkan, hati saya kuat untuk tidak mahu mengundi.

“Daripada apa yang saya lihat sekarang, parti-parti (politik) ini sanggup melakukan apa-apa sahaja untuk menjatuhkan pesaing mereka.

“Mereka sekarang hanya membanding-bandingkan tentang siapa yang lebih teruk (prestasinya),” katanya yang menambah dia akan mengundi dengan tujuan untuk mengurangkan kesan negatif terhadap Malaysia.

Selain itu, susulan kelulusan RUU itu, Tan turut membangkitkan sama ada politik dan parti politik wajar dibenarkan masuk ke sekolah-sekolah.

“Mereka kata politik dilarang di sekolah-sekolah. Kalau begitu, maksudnya ruang untuk membincangkan politik (di sekolah) adalah terhad.

“Tanpa perbincangan, kita tak melihat sesuatu isu itu secara mendalam, tetapi hanya di permukaan sahaja,” katanya.

Satu lagi isu penting ialah bagaimana untuk menyeimbangkan antara hubungan politik, parti politik dan sekolah.

Kebanyakan responden berkongsi bahawa di sekolah, isu politik dan hal ehwal semasa jarang-jarang dibincangkan, mungkin disebabkan kurangnya silibus berkaitan dan situasi tegang dalam sistem pendidikan sekarang.

Ketika menjayakan temu bual dengan pelajar-pelajar terlibat, kebanyakan sekolah enggan menerima permintaan temu bual berkenaan atau meminta surat kebenaran daripada Kementerian Pendidikan.

Malah, sesetengah sekolah meminta nama sekolah tidak dinyatakan selepas temu bual selesai dijalankan.

Dengan lulusnya Undi 18, kita juga perlu melihat cara untuk menyediakan ruang bebas dan selamat untuk pengundi-pengundi muda membincangkan soal politik secara kritis, sama ada di rumah, di sekolah, mahupun media sosial.

Ini penting memandangkan penghakiman umum dan buli siber semakin menjadi-jadi kini. 


CHEW TZE YU ialah wartawan pelatih di Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS