Umno rombak perhubungan negeri dan biro
Majlis Tertinggi (MT) Umno membuat beberapa rombakan kecil dalam badan perhubungan Umno negeri dan bironya selaras dengan perubahan dalam kabinet baru-baru ini.
Majlis Tertinggi (MT) Umno membuat beberapa rombakan kecil dalam badan perhubungan Umno negeri dan bironya selaras dengan perubahan dalam kabinet baru-baru ini.
Pengerusi Badan Perhubungan Umno Wilayah Persekutuan Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor yang juga Menteri Pelancongan dilantik sebagai Pengerusi Biro Perhubungan Perkerja Umno yang baru ditubuhkan.
Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang mempengerusi mesyuarat MT malam tadi berkata tempat Tengku Adnan sebagai pengerusi badan perhubungan pula akan diisi oleh Datuk Zulhasnan Rafique (kanan) yang juga Menteri Wilayah Persekutuan. Datuk Zulhasnan sebelum ini adalah timbalan pengerusi badan perhubungan itu.
Majlis Tertinggi Umno juga bersetuju melantik bekas Menteri Penerangan Datuk Seri Abdul Kadir Sheikh Fadzir sebagai Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kedah dan anggota Biro Perhubungan Umno Malaysia, kata Perdana Menteri dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut malam tadi.
Abdullah berkata Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mustapa Mohamed (bawah-kiri)dilantik sebagai Timbalan Pengerusi Biro Pendidikan Umno, yang dipegang bersama dengan Menteri Pelajaran Datuk Hishammuddin Tun Hussein. Pengerusi Biro itu adalah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau berkata semua pelantikan itu berkuatkuasa serta merta.
Menurut laporan Bernama, pada mesyuarat itu Perdana Menteri turut memberi penerangan tentang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan pendekatan yang akan diambil oleh kerajaan untuk melaksanakannya.
"Semua pihak bersetuju, menerima dan mengakui ini adalah satu rancangan yang baik dan perlu dilaksanakan dengan penuh dedikasi. Masing-masing bersetuju ia adalah visi penting yang mesti dilaksanakan dan digerakkan bagi mencapai matlamat akhir iaitu Wawasan 2020," kata Abdullah.
Menurut beliau, setiap ahli MT sudah mengetahui tentang tugas masing-masing dan akan melaksanakan apa sahaja yang dirancang dalam RMK-9 agar ia berjalan dengan baik dan mencapai objektifnya.
Selain itu menurutnya MT juga bersetuju bahawa sambutan ulang tahun Umno akan diadakan pada 11 Mei ini di Johor Baharu.
Perdana Menteri berkata segala persediaan akan diadakan oleh Umno Johor.

