Pak Lah tidak ghairah tonjol nama
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau tidak akan mengemukan wawasan atau ikon baru semata-mata kerana mahu menonjokkan namanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau tidak akan mengemukan wawasan atau ikon baru semata-mata kerana mahu menonjokkan namanya.
Sebaliknya beliau komited terhadap Wawasan 2020 yang diilhamkan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.
Abdullah berkata tiada sebab baginya untuk membawa wawasan baru hanya semata-mata mahu menonjolkan namanya.
Wawasan 2020 dimulakan semasa Dr Mahathir masih dalam kerajaan dan ketika itu saya ialah anggota kabinet", katanya pada wawancara khas Di Sebalik Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) yang disiarkan RTM malam tadi.
Beliau ditemuramah oleh Datuk Johan Jaafar.
Abdullah membuat kenyataan itu ketika ditanya mengapa beliau meneruskan Wawasan 2020 yang merupakan ikon Dr Mahathir dan tidak memilih ikon baru yang boleh dikaitkan dengannya.
"Kita dah 15 tahun berusaha dalam pelbagai cara untuk mencapai matlamat itu. Tinggal setengah jalan lagi. Jadi tiada sebab mengapa saya ... setengah jalan... nak bawa vision baru pula hanya nak masukkan nama saya.
"Sedangkan saya dah komited dengan perjuangan untuk memartabatkan bangsa dan negara menjadikan mereka maju pada 2020. Itu komitmen saya," kata Abdullah.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata Dr Mahathir juga berkongsi komitmen untuk mencapai hasrat itu apabila melancarkan wawasan tersebut.
Jumaat lepas, Abdullah membentangkan usul RMK-9 di Dewan Rakyat dengan peruntukan pembangunan sebanyak RM200 bilion bagi tempoh 2006 hingga 2010, RM30 bilion lebih berbanding peruntukan RMK-8.
Abdullah berkata RMK-9 berbeza daripada Rancangan-rancangan Malaysia terdahulu kerana ia bukan sekadar sebuah pelan malah sebahagian daripada Misi Nasional, misi yang melibatkan semua rakyat yang boleh melahirkan satu semangat dan kekuatan untuk mencapai cita-cita tersebut.
Survival bangsa
Menurutnya beliau melihat RMK-9 dirancang secara menyeluruh dan bukan dirancang sekadar mengikut sektor-sektor tertentu sahaja.
"Berdasarkan pengalaman saya yang dah lama sebagai anggota kerajaan, buku-buku atau rancangan-rancangan Malaysia dahulu lebih mengandungi bab-bab seperti ekonomi, pembangunan tenaga, kebajikan dan kewangan.
"Jadi yang ini kita tak buat bab sebegitu, Kalau bab sebegitu, ia hanya akan menjadi seperti rancangan biasa sahaja... satu bab...satu bab...satu bab..., kalau orang nak tengok, dia tengok terus ke bab ekonomi, dia tak tengok yang lain...tak tengok sektor-sektor yang lain," katanya.
Abdullah berkata beliau memberi penekanan bukan dari segi bab dan sektor tetapi pada teras, strategi dan tindakan dalam mencapai misi tersebut secara keseluruhan.
Perdana Menteri berkata negara mempunyai dana yang mencukupi untuk membiayai pelan rancangan lima tahun sebanyak RM200 bilion itu dan menambah kata bahawa ada tambahan lagi duit daripada sektor swasta.
Beliau berkata dasar hemah berbelanja kerajaan akan diteruskan.
Abdullah juga menyentuh mengenai pentingnya modal insan kerana mereka merupakan pembawa misi yang semestinya terdiri daripada orang yang kuat dari segi ilmu pengetahuan, jasmani dan moral.
Abdullah berkata pada akhir RMK-9, kerajaan akan menilai mana-mana kekurangan dan kelemahan rancangan itu untuk diperbaiki dalam RMK-10 dan RMK-11, dua lagi fasa dalam Misi Nasional sebelum negara merealisasi matlamat untuk menjadi negara maju.
Katanya survival bangsa hanya akan terjamin apabila rakyat serta negara mempunyai kekuatan.
Beliau berkata survival bangsa lebih penting daripada survival kepentingan diri kerana apabila semua memikirkan survival bangsa maka ia untuk tujuan yang sama.
"Kalau kita ada dalam kepompong, tak boleh. Kita tak boleh nak merancang, berfikir dan menentukan hanya dalam persekitaran kita, seolah-olah dunia luar tidak ada apa benda bagi kita.
"Seolah kita tak ada kepentingan langsung, kita hanya seronok, seronok dengan kampung kita sahaja. Tak mau jadi macam itu," katanya.
Perdana Menteri berkata faktor-faktor cabaran luar sudah diambil kira, setakat yang boleh, dalam merangka RMK-9 serta Misi Nasional itu.

