Shahidan rombak exco Perlis 13 April ini
Ahli majlis mesyuarat kerajaan (exco) negeri Perlis akan dirombak pada 13 April ini, kemungkinan besar membabitkan tambahan seorang ahli exco lagi.
Ahli majlis mesyuarat kerajaan (exco) negeri Perlis akan dirombak pada 13 April ini, kemungkinan besar membabitkan tambahan seorang ahli exco lagi.
Ketika ini kerajaan negeri Perlis mempunyai enam anggota exco. Rombakan itu juga dijangka membabitkan sedikit perubahan dalam barisan exco sedia ada.
Menteri Besar Perlis Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, ia merupakan rombakan tahunan dan pelantikan mereka adalah berdasarkan prestasi kerana kerajaan negeri memerlukan exco yang lebih dinamik.
"Memang ada cadangan untuk exco tambahan, bagaimanapun perkara itu masih belum mendapat kelulusan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat mingguan exco di pejabatnya di Kangar hari ini.
Menurut laporan Bernama, ketika ini, enam exco Perlis ialah Datuk Abu Bakar Ismail (Agama Islam), Datuk Zahidi Zainul Abidin (Pelaburan dan Perdagangan, Sains, Teknologi, Inovasi, Kepenggunaan dan Industri Asas Tani), Oui Ah Lan (Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan), Azihani Ali (Perumahan dan Kerajaan Tempatan), Azam Rashid (Tanah, Perhutanan dan Alam Sekitar) dan Khairi Hasan (Pembangunan Luar Bandar dan Pertanian).
Sementara itu sumber-sumber memberitahu, jika diluluskan oleh Perdana Menteri, potfolio yang dipegang oleh Zahidi (kiri) mungkin akan dikurangkan kerana ketika ini tanggungjawb beliau terlalu banyak membabitkan pelaburan dan perdagangan, sains, teknologi, inovasi, kepenggunaan dan industri asas tani.
Shahidan juga memaklumkan bahawa Perlis akan menjadi negeri model bagi penubuhan Jawatankuasa Penyelaras Rukun Tetangga (RT) yang akan dilaksanakan mulai 1 Mei depan, untuk memerangi jenayah khususnya gejala dadah di kalangan rakyat negeri ini.
"Kita akan dapat melihat apa yang akan berlaku dalam tempoh enam bulan dan cuti akan diberikan kepada mereka yang berkawal malam sebelumnya," kata beliau.
Menurut Shahidan, jawatankuasa berkenaan akan mengaplikasi konsep bilik gerakan yang digunapakai Perdana Menteri Malaysia kedua iaitu Tun Abdul Razak Hussein untuk memerangi ancaman komunis.
Beliau berkata sebanyak 272 Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) akan mengetuai kawalan di seluruh negeri Perlis dan berharap semua rakyat akan terlibat tanpa mengira fahaman politik.

