Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Mustahil untuk latih saksi atau wujud pakatan, kata Rahman Dahlan
Diterbitkan:  Oct 3, 2019 4:37 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Bekas menteri BN, Abdul Rahman Dahlan berkata, usaha untuk menentukan keputusan pendengaran Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) adalah mustahil.

Ini susulan kenyataan bekas ketua eksekutif 1MDB Shahrol Azral Ibrahim Halmi yang memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Selasa lalu, bahawa Rahman adalah antara pemimpin BN yang memberi taklimat kepadanya sebelum disoal oleh PAC.

“Anggota-anggota pembangkang dalam PAC biasanya akan menyoal siasat saksi-saksi dalam pendengaran-pendengaran PAC dan mereka hanya akan berhenti setelah tiada lagi soalan yang hendak ditanya, dan inilah yang sepatutnya berlaku!

“Oleh yang demikian, tiada siapa pun yang boleh menjangka atau menentukan keputusan pendengaran PAC, kerana tiada siapa pun boleh mengurus dan menjangka apakah yang akan ditanya oleh ahli-ahli parlimen pembangkang dalam pendengaran PAC.

“Ia mustahil!” kata Rahman dalam satu catatan di Facebook dari Masjidil Haram, Makkah, hari ini.

Shahrol Azral ketika memberi keterangannya mendakwa dia dilatih oleh ahli perniagaan yang menjadi buruan Low Taek Jho atau Jho Low yang juga mengatur agar dia bertemu dengan anggota BN dalam PAC sebelum prosiding mengenai firma dana milik negara itu pada 2010.

Beliau berkata antara yang memberi taklimat kepadanya, termasuk Rahman, yang memberitahunya soalan yang akan ditanya oleh PAC.

Bekas CEO 1MDB itu juga memberitahu soalan yang dibincangkan dengan Rahman sebenarnya adalah yang ditanya ketika beliau memberi keterangan kepada PAC.

Rahman walau bagaimanapun mempersoalkan sama ada saksi sebenarnya telah dilatih atau wujudnya pakatan.

“Kenapakah anggota-anggota PAC (dari BN dan pembangkang) sebulat suara telah bersetuju meletakkan tanggungjawab kelemahan pengurusan 1MDB, di atas bahu pihak pengurusan syarikat yang mana bekas ketua pegawai eksekutif Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi merupakan sebahagian daripadanya?

“Apa-apa pun, kes ini masih berlangsung di mahkamah dan kita harus menunggu soalan balas terhadap saksi tersebut sebelum kita membuat apa-apa kesimpulan,” katanya.

Pada tahun 2016, anggota PAC pembangkang ketika itu, Tony Pua mendakwa bahawa pengerusi PAC Hasan Ariffin telah memadam beberapa bahagian penting dari laporan jawatankuasa 1MDB yang dibentangkan di Parlimen.

Hasan, yang menjadi pengerusi PAC pada tahun 2015, mengakui memadamkan dua ayat dari laporan itu, tetapi berkata, ayat-ayat berkenaan tidak penting.

Kedua-dua ayat itu adalah mengenai pengesahan Bank Negara bahawa Good Star Limited dimiliki oleh Low.

Good Star telah digunakan untuk menyelewengkan dana 1MDB sebanyak AS$1.03 bilion.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS