Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pemimpin PKR Sabah ingatkan 'Salleh Samurai terakhir Najib'
Diterbitkan:  Oct 8, 2019 10:21 AM
Dikemaskini: 3:14 AM

Timbalan Pengerusi PKR Sabah, Mustafa Sakmud menyatakan kebimbangan terhadap isu penyertaan bekas menteri kanan Umno, Salleh Said Keruak ke parti itu.

Menyifatkan isu itu sebagai 'keahlian pintu belakang', Mustafa mengingatkan bahawa Salleh merupakan penyokong kuat bekas perdana menteri, Najib Razak yang membawa kepada kekalahan BN pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

Kata Mustafa, penyertaan Salleh ke PKR akan memberi kesan cukup parah dan menjadi liabiliti kepada PKR yang dikenali sebagai penggerak reformasi.

"Salleh yang merupakan penyokong kuat Najib sebelum PRU14 telah menjadi liabiliti dan menyebabkan kekalahan memalukan kerajaan BN.

"Kes 1MDB sedang dibicarakan dan kita tidak mahu parti terkait seolah-olah menyokong kes ini.

"Beliau sendiri sebagai mantan Menteri Komunikasi kalah di parlimen Kota Belud di tangan pengundi-pengundi terutama generasi muda yang muak dengan peranan utamanya sebagai The Last Samurai for Najib," kata Mustafa dalam kenyataannya.

Ahad lalu, Salleh berkata tindakannya memohon untuk menyertai salah satu parti PH itu adalah berdasarkan keyakinan mampu menyumbang kepada negara.

Salleh berkata beliau mahu membantu PKR membawa amalan politik progresif dan berbilang kaum, terutama di Sabah.

Presiden PKR Anwar Ibrahim berkata Biro Politik parti itu masih belum mempertimbangkan permohonan Salleh.

Bagaimanapun, Pengerusi PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal dilapor berkata parti itu tiada masalah dan terbuka menerima bekas menteri komunikasi dan multimedia itu.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata selaku Ketua Cabang Kota Belud dan Timbalan Pengerusi PKR Sabah beliau merasai kebimbangan pimpinan dan ahli-ahli parti seluruh negeri.

"Pengalaman dalam membina semula Kota Belud dengan membawa politik nilai yang bertembung dengan budaya politik wang yang mengakar di bawah pimpinan lama memang sukar untuk dilupakan.

"Perjuangan reformasi yang kita angkat diperlekeh dan wang menjadi taruhan utama untuk mempertahankan kuasa.

"Saya boleh memaafkan tetapi amat sukar untuk melupakan sejarah pemimpin yang sentiasa menafikan potensi-potensi pimpinan terutama di kalangan generasi muda. Saya boleh berjiwa besar tapi tidak akan berkompromi dengan prinsip perjuangan," katanya.

Justeru beliau berharap kepimpinan PKR terutama Anwar dapat membuat penilaian dan pertimbangan yang adil.

"Kami sayangkan parti yang kami dukung sejak 20 tahun dan mahukan agar laluan (Anwar) untuk menjadi PM ke-8 dipermudahkan.

"Jangan persiakan harapan rakyat yang ingin melihat politik perubahan berlaku. 

"Ramai lagi Pejuang-pejuang yang tidak didendang atau unsung hero perlu diberi perhatian daripada menambah liabiliti kepada parti," katanya.

Lihat Komen
ADS