Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tak salah hadiri kongres, tapi jangan lupa isu dalam UM, kata KMUM
Diterbitkan:  Oct 8, 2019 6:05 PM
Dikemaskini: 10:08 AM

Kesatuan Mahasiswa Universiti Malaya (KMUM) menjelaskan mereka tidak keberatan apabila naib canselor universiti itu, Dr Abdul Rahim, menghadiri dan berucap di Kongres Maruah Melayu (KMM) di Shah Alam pada hujung minggu lalu.

Kata KMUM, pendirian itu adalah selaras dengan sikap mereka yang meraikan prinsip kebebasan berpersatuan dan berhimpun.

Bagaimanapun kata KMUM, pada masa sama Abdul Rahim wajar menggunakan pengalamannya sebagai tokoh korporat terkemuka di negara ini di Universit Malaya (UM).

Kata kesatuan tersebut, Abdul Rahim perlu memberikan perhatian sangat serius kepada masalah yang dihadapi di universiti tersebut.

"Dalam kesempatan turun bagi menghadiri kongres seperti itu, kami juga mencadangkan beliau turut memberi perhatian yang maksimum terhadap isu-isu kebajikan mahasiswa.

"(Misalnya) meningkatkan kualiti infrastruktur, menyelesaikan isu bas ulang-alik di UM, krisis penempatan pelajar senior sambil meningkatkan pendapatan universiti," kata KMUM dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Terdahulu, Abdul Rahim yang juga bekas pegawai kanan Petronas selama 32 tahun, menghadiri kongres anjuran beberapa pertubuhan dan institusi pengajian tinggi itu di Stadium Malawati, Shah Alam.

Rasmi hanya di akaun Facebook

Dilihat sebagai himpunan untuk pejuang Melayu, beliau juga menyampaikan ucapan kepada kira-kira 5,000 orang yang hadir di kongres tersebut.

Untuk rekod Abdul Rahim ialah pengerusi jawatankuasa penganjuran kongres tersebut.

Ia mendorong Naib Yang Dipertua KMUM, Yap Wen Qing, menuntut Abdul Rahim meminta maaf dan meletakkan jawatan kerana mengeluarkan kenyataan yang dianggap rasis.

Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik, pula menyarankan agar KMUM bertemu dengan Abdul Rahim jika mereka tidak berpuas hati dengan naib canselor tersebut.

“Mereka boleh suarakan rasa tidak puas hati terus kepada naib canselor (Abdul Rahim) dan saya percaya beliau seorang yang berfikiran terbuka dan akan mendengar apa yang pelajar mahu suarakan,” katanya.

Kata KMUM kenyataan yang dikeluarkan kepada Abdul Rahim hari ini adalah ikhlas demi kesejahteraan mahasiswa UM dan masalah mereka dijadikan keutamaan semua pihak, terutamanya naib canselor.

Dalam kenyataan sama, KMUM memberitahu pendirian rasmi mereka hanya dianggap sah jika ia disiarkan di wadah yang sebenar iaitu akaun Facebook Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya 2019.

Kenyataan tersebut dikeluarkan sehari selepas Yap meminta Abdul Rahim melepaskan jawatannya di UM.

"Pihak KMUM ingin mengingatkan bahawa semua kenyataan rasmi yang dikeluarkan adalah hanya melalui Laman Faceboook Rasmi Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Malaya 2019," katanya.

Lihat Komen
ADS