Malaysiakini
BERITA

Siswa UM gesa naib canselor letak jawatan, dakwa ‘rasis’

Diterbitkan
Dikemaskini 8 Okt 2019, 5:25 pagi

Kersatuan Mahasiswa Universiti Malaya (UM) menggesa naib canselor universiti itu Dr Abdul Rahim Hashim meletakkan jawatan.

Naib yang dipertuanya Yap Wen Qing mendakwa Abdul Rahim mengeluarkan kenyataan berbaur perkauman dalam Kongres Maruah Melayu (KMM) di Shah Alam semalam.

“Justeru, kami menuntut semua pemimpin politik yang mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman semasa Kongres Maruah Melayu meminta maaf kepada semua warga Malaysia.

“Kami juga menggesa naib canselor UM meletakkan jawatan atas sifat perkauman dia dan kegagalannya dalam menguruskan kampus!” katanya.

Menurut Yap, Abdul Rahim dalam ucapannya berkata dominasi politik Melayu telah hilang selepas perubahan kerajaan dan hak istimewa orang Melayu dipersoal.

Menurut Yap lagi, pentadbir universiti itu juga memberi peringatan supaya kontrak sosial tidak dicabar.

Sementara itu, Yap juga menuntut permohonan maaf dari semua pemimpin politik yang mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman semasa KMM berlangsung semalam.

Malaysiakini telah menghubungi pegawai Abdul Rahim dan sedang menunggu maklum balasnya.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.