Malaysiakini BERITA

'Maruah Melayu bila tak miskin, berdikari, tak jejas kaum lain'

Martin Vengadesan

Diterbitkan  |  Dikemaskini

Kongres Maruah Melayu yang berlangsung pada hujung minggu lalu mendapat maklum balas beberapa pemimpin dan aktivis Melayu progresif yang telah lama cuba memperjuangkan isu-isu kemiskinan di kalangan masyarakat itu.

Bagaimanapun, mereka mengakui usaha memperjuangkan isu kemiskinan sering kali berhadapan kekangan apabila berhadapan retorik berasaskan kaum.

"Masalahnya adalah kita mempunyai sistem elitis yang melekat di dalam sistem demokrasi kita.

"Kedudukan politik datang dengan faedah yang sangat besar, dari segi gaji, kuasa dan pengaruh untuk memberikan kontrak-kontrak yang besar.

"Ini menghapuskan semua sempadan perkauman," kata Siti Nor Hamid Tuah kepada Malaysiakini.

Siti Nor ialah anak kepada allahyarham Hamid Tuah, seorang aktivis petani yang memimpin gerakan membuka tanah kepada orang Melayu yang tidak bertanah di luar bandar.

Hamid juga pernah dipenjara beberapa kali pada 1960an kerana memperjuangkan hak pemilikan tanah di kalangan orang Melayu di luar bandar.

"Bapa saya seorang yang sangat mempercayai tentang maruah orang-orang Melayu di kampung.

"Dia beri semangat jiwa merdeka agar berusaha dan tidak meminta-minta.

"Selepas kemerdekaan daripada British, dia melihat ada golongan elit baru yang terbentuk melalui pemimpin Perikatan.

"Petani Melayu masih mempunyai banyak masalah dengan isu seperti pemilikan tanah dan pengairan pertanian. Ramai yang cuba meminta campur tangan bapa saya dalam perkara tersebut.

"Tetapi setiap kali dia cuba membantu, dia akan ditangkap," kata Siti Nor (gambar, bawah).

Hamid Tuah dan 500 penduduk-penduduk Melayu miskin meneroka tanah hutan di Teluk Gong pada tahun 1960-an.

Kemudian pada 1967 pendudukan tanah itu dikatakan melanggar undang-undang dan pihak berkuasa telah menghantar pasukan keselamatan untuk menahan petani dan memusnahkan tanaman mereka.

Seterusnya, Hamid dan empat orang pengikutnya ditangkap pada 4 Januari 1969, serta mereka ditahan di kem tahanan Muar dan Batu Gajah selama dua tahun.

Bagaimanapun, terdapat beberapa detik kejayaan gerakan meneroka tanah di kalangan petani Melayu miskin yang dipimpin Hamid Tuah pada ketika itu. 

Antaranya pada 1950 di mana 100 orang kampung berjaya mendapatkan tanah mereka sendiri di kawasan yang kini dikenali sebagai Johan Setia.

Gerakan itu juga turut melibatkan pelencongan sungai yang berjaya membantu petani di Tanjung Karang pada 1961 mengatasi masalah kemusnahan tanaman yang dialami mereka.

Tuntut hak Melayu tak jejas kaum lain

Kata Siti Nor, walaupun usaha bapanya adalah untuk mengangkat maruah orang Melayu yang tidak bertanah waktu itu, namun Hamid Tuah tidak melihat kemiskinan melalui perspektif perkauman.

"Ketika itu, kaum Cina sudah ada perkampungan-perkampungan baru mereka sendiri, dan kebanyakan kaum India pula jadi penoreh.

"Jadi, isu itu mungkin sudah diasingkan namun masalah kemiskinan masih dihadapi oleh semua kaum.

"Selepas kemerdekaan, semua orang yang berada di kampung cuba untuk menentang golongan elit (yang memerintah) ini, tetapi kemudiannya mereka dituduh sebagai golongan penentang dan penyokong gerakan komunis," katanya.

"Bapa saya mahu melegakan dan mengurangkan masalah kemiskinan dalam kalangan orang Melayu tetapi bukannya dengan menjejaskan hak kaum-kaum lain.

"Dia juga tidak menyertai mana-mana parti politik walaupun usahanya sering disokong oleh (gabungan pembangkang ketika itu, Parti Rakyat Malaya dan Parti Buruh) Barisan Sosialis.

"Tetapi malangnya ramai pemimpin berhaluan kiri yang cuba untuk membentuk pakatan bukan perkauman dipenjarakan," katanya.

Selepas mengetuai pergerakan rakyat di Telok Gong dan dipenjarakan, bapanya juga menjadi tumpuan utama pihak berkuasa ketika peristiwa bantahan petani dan demonstrasi mahasiswa mengenai isu kemiskinan di Baling pada 1974.

Demonstrasi tersebut membawa kepada penahanan ISA ramai aktivis dan pemimpin pembangkang, termasuklah presiden Abim ketika itu Anwar Ibrahim serta Dr Syed Husin Ali yang pada waktu penangkapan merupakan seorang pensyarah di Universiti Malaya.

"Hamid tuah tidak memfokuskan kepada perkauman. Dia hanya mahukan pengikutnya keluar dari arus kemiskinan untuk menjadi berani, bebas, bergantung kepada diri sendiri dan mempunyai kesedaran diri.

"Inilah maruah Melayu," katanya.

"Jika pemimpin Pakatan Harapan hanya mahu menggantikan kerajaan tetapi meneruskan sikap ekonomi neo-liberal Barisan Nasional, maka tiada perubahan akan berlaku kepada golongan miskin, sama ada Melayu ataupun kaum lain," jelasnya lagi.

Analisis kelas diperlukan

Ahli parlimen Setiawangsa, Nik Nazmi Nik Ahmad turut bersetuju bahawa perlu ada perubahan tentang bagaimana masalah kemiskinan ditangani di Malaysia.

"Kita perlu mengakui bahawa sentiasa ada kebimbangan di dalam masyarakat Melayu walaupun hampir semua jawatan penting politik dipegang oleh kaum kita.

"Ini dapat kita lihat dalam demonstrasi anti-Icerd dan Kongres Maruah Melayu yang mencerminkan rasa tidak senang orang Melayu," katanya kepada Malaysiakini.

Nik Nazmi juga berkata rakyat biasa terjejas dengan isu ekonomi melibatkan kos sara hidup.

"Banyak daripada kebimbangan itu direka tapi tentu lah tidak semuanya.

"Ada sesetengah rasa tidak puas hati ini melibatkan hal kos sara hidup. Rakyat biasa yang merasai tekanan ekonomi," katanya.

Masalahnya sekarang, jelas Nik Nazmi orang Melayu miskin tidak mencabar golongan atasannya di atas masalah ekonomi yang ditanggungnya tetapi mencari kaum lain untuk disalahkan.

"Golongan miskin Melayu ini sering mencari pihak yang ingin disalahkan dalam komuniti lain dan tidak mencabar golongan elit yang berada di dalam komuniti mereka sendiri.

"Di negara-negara lain, kemiskinan ditangani sebagai masalah kelas (ekonomi), tetapi di sini kita selalu melihatnya daripada perspektif kaum," katanya.

Menurut Nik Nazmi lagi, jurang ketidakadilan ekonomi benar-benar berlaku.

"Jika kita melihat kepada Tabung Haji, 70 peratus akaun (penyimpan memiliki simpanan yang) sangat sedikit dengan nilai beberapa ribu ringgit di dalamnya (bagi setiap satu akaun) tetapi satu akaun besar memiliki (smpanan) RM190 juta.

"Ini mencerminkan situasi yang berlaku semasa pemerintahan BN di mana sesetengah kelas elit Melayu berjaya dan berkembang, tetapi rakyat biasa tidak mendapat faedah," katanya.

Nik Nazmi mengakui PKR sebagai parti terbesar di parlimen dan satu-satunya parti berbagai kaum pimpinan orang Melayu mempunyai peranan yang unik.

"Kita sepatutnya memfokuskan kepada ekonomi rakyat biasa. Kita juga memenangi pilihan raya pada tahun lalu kerana ekonomi, bukan saja isu 1MDB. Pembentangan belanjawan pada tahun ini perlu menunjukkan kita menangani kebimbangan akar umbi yang bertungkus-lumus untuk hidup.

"Benar, naratif PKR sebagai parti pelbagai kaum tidak cukup ditekuni oleh akar umbi. Kami masih mencari jalan terbaik untuk mentadbir. Kita perlu bercakap dengan satu suara.

"Saya percaya kita tidak boleh berpaling daripada semangat manifesto Pakatan Harapan. Kita tidak boleh mengenepikannya sebagai mana yang kelihatan sedang dilakukan oleh sesetengah pihak," katanya.

Intimidasi terhadap golongan progresif Melayu

Nik Nazmi juga menjelaskan terdapat banyak gangguan dan manipulasi oleh pihak yang menyokong naratif golongan berhaluan kanan.

"Twitter sedikit liberal, tetapi di Facebook anda akan dicaci dan diejek oleh lasar siber. Kerana cacian kasar inilah, ramai yang enggan bersuara.

"Pada masa sama, ini juga boleh dijadikan pengajaran buat golongan liberal. Kita tidak boleh hanya membiarkannya begitu saja. Kita perlukan lebih ihsan dan sikap saling memahami supaya negara kita tidak terjebak ke kancah situasi 'kami melawan mereka'," katanya.

Anggota Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil pula berpendapat penganjur KMM cuba untuk mencipta naratif baru dan memperkukuh beberapa elemen politik.

"Kegagalan majlis ini - mungkin buruk buat sesetengah pihak - tetapi ia bagus untuk Malaysia, memandangkan Dr Mahathir mengulangi pendiriannya bahawa orang Melayu perlu bekerja dengan lebih keras apabila diberikan peluang yang betul.

"Ini adalah satu kenyataan yang adil dan merupakan petunjuk jelas bahawa pendiriannya (Dr Mahathir) tidak pernah berubah walaupun penganjur dan beberapa kumpulan mengharapkan dia melakukan sebaliknya.

"Beberapa kebimbangan yang dibangkitkan adalah wajar, sementara yang lain dikaitkan dengan rasa tidak terjamin elit politik tertentu yang dipancarkan kepada orang ramai; faktanya terdapat siswa universiti yang perlu didatangkan ke stadium dengan bas serta diberikan makanan dan baju t mendedahkan betapa tersusunnya perkara ini," katanya.

Fahmi berkata partinya mesti mempertahankan prinsip mereka, terutamanya dalam memperjuangkan keadilan sosial dan menjuarai agenda rakyat merentasi bangsa dan agama di Semenanjung, Sabah dan Sarawak.

Politik aliran sederhana mesti mengukuhkan kedudukannya dalam melawan naratif golongan berhaluan kanan, katanya lagi.

Kepimpinan mesti inklusif

Bekas presiden Parti Rakyat Malaysia, Dr Rohana Ariffin pula kecewa dengan sikap tidak bertanggungjawab pemimpin yang menghadiri Kongres Maruah Melayu.

"Sebagai pemimpin, mereka seharusnya menyemai nilai inklusif dan bukannya meminggirkan bangsa lain yang telah lama berada di sini selama bergenerasi.

"Legasi apakah yang mahu kita tinggalkan buat generasi akan datang?

"Eloklah kita mengelakkan daripada menggalakkan secara langsung atau tidak langsung kebencian yang terkandung di dalam ucapan dan perhimpunan yang boleh menyemai kebencian serta seterusnya akan terus memecah belahkan rakyat.

"Dan menciptakan kebencian dan syak wasangka di kalangan anak muda semua bangsa," katanya.

Rohana (gambar, atas) mempersoalkan masalah kemiskinan dalam kalangan kaum Melayu yang perlu ditangani sebagai isu struktur sistem ekonomi politik dan bukan isu perkauman.

"Kapitalisme dan neo-kapitalisme akan terus menciptakan golongan kaya dan miskin. 

"Ketidaksamaan ini sama ada antara sesama bangsa itu sendiri ataupun secara perbandingan dengan bangsa lain juga akan berterusan.

"Tetapi perlu diingat dalam bangsa lain juga terdapat ramai yang miskin, terutamanya di kalangan orang India," katanya.

Menurutnya lagi, kerajaan wajar merangka dasar membantu orang miskin yang tidak berdasarkan perspektif kaum dan agama.

"Cara terbaik untuk mengurangkan kemiskinan adalah jika polisi dan pendidikan yang wajar benar-benar diteliti kerajaan tanpa prasangka kaum dan agama.

"Perkara itu akan membantu orang miskin daripada semua bangsa," kata Rohana lagi.

[Baca berita asal]