Sekali air bah sekali pasir berubah. Itulah yang berlaku di Universiti Putra Malaysia (UPM) kerana kini peranannya diubah kembali kepada asal iaitu menumpu dan memajukan sektor pertanian negara.

Ini diumumkan oleh Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapha Mohamed di Jeli semalam. Katanya UPM diubah kembali peranan bagi memberi tumpuan yang lebih besar dalam membangunkan sektor pertanian di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9).

Katanya, ia selaras dengan dasar kerajaan pusat yang memberi tumpuan lebih besar terhadap sektor itu dalam RMK-9.

" Program-program pertanian di UPM akan dimantapkan," katanya.

Peranan UPM sebagai universiti yang mengkhusus pada bidang pertanian diperluaskan mencakupi pelabgai bidang lain pada era Tun Dr. Mahathir Mohamad. Malah nama asalhnya, Universiti Pertanian Malaysia diubah menjadi Universiti Purtra Malaysia bagi mengikis imej bidang pertanian yang ada padanya.

Menurut laporan Bernama, Mustapa yang juga anggota Parlimen Jeli berkata lebih ramai pelajar-pelajar Melayu digalakkan mengambil jurusan pengajian pertanian pada masa hadapan.

Beliau berkata ini penting kerana dalam tempoh RMK-9, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM10 bilion untuk memajukan sektor pertanian bagi mencukupkan 90 peratus keperluan bahan makanan negara menjelang akhir RMK-9.

Katanya kini bidang pertanian skopnya lebih luas, membabitkan pelbagai bidang terutama perniagaan pertanian yang berpotensi berkembang pada masa hadapan dan ia mampu memberi faedah besar kepada penduduk di luar bandar yang bergantung hidup kepada bidang berkenaan.

Ini merupakan keputusan besar bagi UPM yang dibuat oleh Mustapha dalam tempoh seminggu ini. Minggu lalu beliau mengumumkan program aeroangkasa akan dikekalkan di universiti itu setelah cadangan memindahkannya ke Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dibatalkan.