Kerajaan belum membuat keputusan muktamad samaada menubuhkan badan bebas atau Ombudsman bagi menggantikan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC).

"Kita sedang mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak, jadi tidak ada apa-apa keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan setakat ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kem Tun Razak di Bukit Gedong, di Pulau Pinang.

Menurutnya kerajaan akan membuat kenyataan apabila keputusan muktamad dibuat kelak.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz semalam bahawa kerajaan sedang merangka penubuhan ombudsman bagi menangani dan menyiasat segala tuduhan membabitkan semua pihak, termasuk menteri, tanpa terhad kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) semata-mata.

Menurut laporan Bernama, Nazri berkata penubuhan badan itu dibuat setelah rancangan mewujudkan IPCMC mendapat tentangan banyak pihak memandangkan aduan kes salah laku turut berlaku dalam sektor awam lain.

Beliau berkata penubuhan badan bebas itu, yang membolehkan kerajaan bersikap adil terhadap rakyat, sedang dikaji daripada pelbagai aspek dan akan dilaksanakan secara berpusat supaya sistem penyampaian kerajaan lebih cekap.

Nazri berkata Peguam Negara sedang meneliti penubuhan badan itu, termasuk memberi nasihat kepada kerajaan, kerana ia melibatkan undang-undang.

Najib berkata kerajaan menerima pelbagai cadangan mengenai cara menangani perkara itu dan tidak semestinya cadangan ombudsman diterima.

"Mungkin ada cara dan kaedah yang lebih baik lagi atau mungkin ada cara institusi yang lebih baik untuk mencapai hasrat dan objektif menentukan pentadbiran yang lebih cekap dan berintegriti," katanya.

Oleh itu cadangan ombudsman itu belum mendapat kata putus kerajaan lagi, katanya.