Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tiada istilah terlambat: Daim dapat PhD pada umur 81
Diterbitkan:  Oct 12, 2019 9:47 PM
Dikemaskini: 1:47 PM

Bekas menteri kewangan dan bekas pengerusi Majlis Penasihat Kerajaan Dr Daim Zainuddin yang dianugerahkan PhD dalam bidang Sastera dan Sains Sosial hari ini membuktikan bahawa tiada yang terlambat bagi seseorang mencapai cita-citanya.

Daim yang telah mencapai usia 81 tahun itu menerima skrol PhDnya daripada Canselor Universiti Malaya Sultan Nazrin Shah pada Istiadat Konvokesyen ke-58 universiti itu di Dewan Tunku Canselor, di Kuala Lumpur hari ini

Tiga anak lelaki dan dua anak perempuan, enam orang cucu dan seorang cicit Daim turut hadir di majlis itu untuk sama-sama meraikan kejayaannya.

Daim memberitahu media beliau memulakan pengajian untuk PhD pada 2008 tetapi terpaksa berehat lima tahun ekoran masalah kesihatan. Bila beliau kembali untuk menyambung pengajian, beliau dilantik sebagai penasihat dalam kerajaan baharu Pakatan Harapan.

Sekalipun berdepan jadual ketat, Daim berjaya menyelesaikan tesisnya berjudul “Pelaksanaan Dasar Ekonomi Baharu: Kejayaan dan Kegagalan”.

Ditanya tentang apa yang menyebabkannya menyambung pengajian, Daim berkata beliau sering dipanggil menyampaikan ceramah di mana beliau perlu melakukan penyelidikan awal dan ini mendorongnya terus menyelidik dan menulis tesis untuk PhDnya.

“Ilmu itu kuasa dan ilmu itu mestilah digunakan untuk kebaikan. Bila kita punya ilmu kita boleh gunakannya untuk memberikan pendapat kita mengenai perkara tertentu demi faedah orang-orang di sekeliling kita,” kata beliau.

“Terdapat banyak kejayaan dan kegagalan, yang penting kita belajar daripada kegagalan kita dan tidak mengulanginya, dan bila kejayaan dicapai kita harus pergunakannya untuk kelebihan kita,” kata beliau.

Daim menambah Malaysia adalah antara negara yang melahirkan ramai bilangan rakyat yang mempunyai ijazah universiti, tetapi hari ini masih ramai yang belum mendapat kerja.

“Anda mesti menimbulkan persoalan, apakah kita melahirkan siswazah yang betul ketika menghadapi pasaran kerja yang mencabar hari ini? Kerana, pendidikan adalah satu hal, tetapi pendidikan yang betul untuk rakyat kita bagi menyelesaikan masalah itu perlu juga dipertimbangkan,” kata beliau.

Konvokesyen hari ini menyaksikan 6,562 orang menerima ijazah pasca siswazah dan siswazah dan juga diploma.

- Bernama

Lihat Komen
ADS