Terjemahan Kerajaan digesa terus menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) kerana aduan salahlaku yang berlaku di kalangan anggota pasukan keselamatan itu lebih serius berbanding aduan yang dibuat terhadap agensi-agensi awam lain.

Pertubuhan bukan kerajaan, Jawatankuasa Hak Asasi Manusia dan Pemantau Polis (PWHRC) berkata, cadangan penubuhan IPCMC tidak patut dibatalkan walaupun sebuah badan bebas atau ombudsman ditubuhkan untuk mengawalselia semua agensi kerajaan.

"Kami menyokong penubuhan ombudsman itu tetapi IPCMC tetap diperlukan untuk menyoalsiasat salahlaku serius seperti kematian dalam tahanan dan sebagainya" kata penasihat undang-undang pertubuhan itu, P Uthayakumar dalam satu kenyataan hari ini.

"Aduan salah laku terhadap agensi lain seperti jabatan kastm, imigresen dan Jabatan Pengankutan Jalan hanya melibatkan wang sedangkan aduan terhadap polis membabitkan kehilangan nyawa dan anggota tubuh

Uthayakumar memberi amaran, tanggapan masyarakat bahawa Malaysia adalah negara polis akan semakin kuat jika kerajaan tunduk pada tekanan polis yang tidak mahu IPCMC ditubuhkan.

Beliau membuat kenyataan itu sebagai reaksi kepada pengumuman Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Abdul Aziz tentang cadangan kerajaan menubuhkan ombudsman bagi menerima dan menyiasat aduan orang awam terhadap agensi-agensi kerajaan.

Menurut Nazri, tidak semua aduan orang ramai ditujukan kepada polis sahaja, oleh itu tidak adil jika ditubuhkan badan khas untuk menyiasat aduan terhadap,polis semata-mata.

Kata menteri itu, urusan penubuhan dan terma-terma operasi badan bebas berkenaan akan dikendalikan oleh pejabat Peguam Negara.

Cadangan penubuhan IPCMC diutarakan Suruhanjaya Diraja Polis yang ditubuhkan tahun lalu bagi menyiasat kes bogel dalam lokap dan ketuk ketampi.

Suruhanjaya itu turut dianggotai oleh bekas Ketua Haklim Negara, Tun Mohamed Dzaiddin Abdullah dan bekas Ketua Polis Negara, Tun Hanif Omar.

Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi telah menyatakan sokongannya terhadap cadangan penubuhan IPCMC itu tetapi pihak polis dan beberapa tokoh politik membantah cadangan tersebut.

Uthayakumar menegaskan jika kerajaan gagal menubuhkan IPCMC, PWHRC terpaksa mengambil tindakan undang-undang terhadap Perdana Menteri dan kerajaan demi kepentingan umum. Berita asal