Debat RMK9 membuang masa, kata PAS
PAS berpendapat perdebatan mengenai Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dalam program Debat Perdana RTM suatu yang tidak berfaedah kepada rakyat.
Malah ia dilihat sebagai suatu yang membuang masa sahaja kerana RMK9 telahpun dibentangkan dan akan dilaksankan.
PAS berpendapat perdebatan mengenai Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dalam program Debat Perdana RTM suatu yang tidak berfaedah kepada rakyat.
Malah ia dilihat sebagai suatu yang membuang masa sahaja kerana RMK9 telahpun dibentangkan dan akan dilaksankan.
Exco Agama Kerajaan Kelantan, Hassan Muhamad berkata, memang waajar Menteri Besar Kelantan, Datuk Seri Nik Aziz Nik Mat menolak pelawaan RTM untuk berdebat dengan Datuk Annuar Musa itu kerana ia tidak memberi sebarang faedah kepada sesiapapun.
Katanya, RMK9 sudah dibentangkan dalam Parlimen dan hasil daripada debat tersebut tidak akan mengubah kandungan RMK9.
"Jadi kita beranggapan debat mengenai perkara itu sebagai tiada gunanya melainkan sekadar membuang masa dan tenaga rakyat.
"Orang Umno memang mahu berdebat kerana mereka tidak ada kerja lain melainkan mahu menggambarkan kerajaan negeri Kelantan seolah-olah tidak membuat kerja sebagai modal politik mereka," katanya ketika diminta mengulas mengapa Nik Aziz enggan berdebat dengan Annuar mengenai RMK9.
Nik Aziz semalam mengumumkan keputusannya menolak pelawaan Menteri Penerangan, Datuk Zainuddin untuk menemukan beliau dengan Pengerusi Perhubungan Umno Kelantan, Datuk Annuar Musa dalam program Debat Perdana di RTM1.
Beliau menjelaskan, perdebatan itu tidak akan membawa sebarang makna sebaliknya Nik Aziz mempelawa pemimpin kerajaan dan Umno berceramah bersamanya di pentas terbuka bagi mengupas tajuk "Dasar dan Akidah Sebuah negara Islam".
Sementara itu beberapa pemimpin Umno Kelantan kecewa dengan sikap Nik Aziz yang enggan bersemuka dengan Annuar mengenai RMK9.
Ketua Puteri Umno Kelantan, Nik Noriza Salleh berkata, sebagai pemimpin sebuah kerajaan negeri, Nik Aziz tidak boleh takut untuk berdepan dengan rakyat.
"Jika apa yang dibuatnya selama ini betul, beliau perlu tampil ke depan bagi menghadapi apa juga masalah rakyat," katanya.
Nik Noriza berkata, keengganan Nik Aziz merupakan hak peribadinya tetapi sebagai seorang pemimpin, beliau perlu memenuhi kehendak rakyat.
Ketua Puteri Umno Bahagian Kuala Kerai, Rohana Awang pula berkata, keengganan Nik Aziz itu kerana beliau takut rahsianya terbongkar di kalangan rakyat Kelantan.
Katanya, ini kerana selama ini Nik Aziz mendakwa pembangunan di Kelantan dibuat oleh PAS yang dipimpinnya sejak 16 tahun lalu.
"Dia berani sesama sendiri sahaja kepada orang luar dia takut," katanya lagi.

