Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mahu isu seorang mekanik, Alias Othman,41, yang didakwa mati dalam tahanan polis di Balai Polis Binjai, Kota Bharu diselesaikan segera.

Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N. Siva Subramaniam berkata, beliau dimaklumkan semua penyiasatan dan dokumen mengenai perkara itu telah disiapkan.

"Kita sedang menunggu laporan bedah siasat dari Hospital Raja Perempuan Zainab II di Kota Bharu untuk mengetahui kedudukan sebenar mengenai kematian Alias."

"Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Abdul Rahim Hanafi memberi jaminan untuk mengambil tindakan segera mengenai perkara itu," kata Siva selepas mengadakan lawatan ke Kota Bharu hari ini.

Siva berkata, beliau telah mengadakan perbincangan dengan pihak polis, hospital dan keluarga mangsa serta melawat Masjid Pengkalan Datu, Kota Bharu untuk mendapatkan gambaran sebenar mengenai kejadian itu.

Katanya, Hospital Kota Bharu lambat menyiapkan laporan bedah siasat kematian Alias kerana mereka kekurangan pakar dalam bidang berkenaan.

Bagaimanapun, katanya pihaknya berharap laporan tersebut dapat disiapkan sebelum akhir bulan ini.

"Saya menasihatkan keluarga mangsa bersabar sementara menunggu hasil laporan bedah siasat siap," katanya lagi.

Alias ditahan oleh sepasukan polis dari Balai Polis Binjai kerana membuat kecoh dan mengganggu jemaah masjid di Pengkalan Datu. Ketika dalam tahanan Alias dikatakan dibawa ke hospital untuk menjalani pemeriksaan kesihatan

Abdul Rahim berkata, Alias meninggal dunia di Hospital Raja Perempuan Zainab II semasa mangsa dibawa untuk membuat pemeriksaan kesihatan.

Berikutan itu, keluarga mangsa termasuk abang iparnya, Che Husin Che Ahmad, 50, membuat laporan polis di Balai Polis Kota Bharu kerana mencurigai punca kematian mangsa.