Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cubaan protes naib canselor UM hari kedua gagal

Seorang lagi mahasiswa Universiti Malaya (UM) cuba melakukan protes atas pentas graduasi bagi menyatakan perasaan tidak puas hati kepada naib canselor (NC)  pusat pengajian tinggi itu.

Bagaimanapun, tidak seperti Wong Yan Ke semalam, usaha itu tidak berjaya selepas dikesan polis bantuan.

Graduan ijazah perakaunan Edan Kon Hua En berkata pihak berkuasa menyekat beliau semasa beratur memasuki Dewan Tunku Canselor (DTC) pada pukul 8 pagi untuk istiadat konvokesyen.

“Sebelum memasuki dewan saya membawa plakad dan menangkap sekeping foto. Dalam barisan ke dalam DTC, saya disekat oleh polis bantuan dan diasingkan.

“Mereka bertanya isu protes Wong dan sama ada saya akan tunjuk perasaan.

“Saya tidak menjawab. Selepas seketika, plakad saya dirampas,” kata bekas Pengerusi Persatuan Belia Baru Universiti Malaya (Umany) kepada Malaysiakini.

Selepas itu, Kon berkata dia bertukar fikiran dan menjamin tidak akan menunjuk perasaan di atas pentas.

“Selepas ditanya oleh polis bantuan, saya bertukar fikiran dan menjamin tidak akan melakukan ini. Bagi saya naik ke atas pentas dah cukup..

“Saya menjamin tiada laungan dan membuka plakad, saya bertanya sama ada boleh bertolak ansur untuk saya mendapat skrol ijazah.

“Tetapi selepas polis bantuan bertanya, maka pihak pengurusan berkata akan berjumpa dengannya selepas konvokesyen berakhir,” katanya.

Wong Yan Ke dan plakad protesnya semalam 

Kon mendakwa kebebasan bersuaranya telah disekat. UM ketika dihubungi enggan mengulas isu itu.

Semalam, Wong melakukan protes berani dengan melaungkan slogan menolak kepimpinan naib canselor universitinya Abdul Rahim Hashim sejurus selepas menerima skrol ijazah.

Plakard yang dipegang Wong tertera gesaan supaya naib canselor itu meletakkan jawatan dengan mendakwa Abdul Rahman menjadi boneka kepada ahli politik, mencabul kebebasan akademik dan gagal menyelesaikan masalah kewangan universiti.

Abdul Rahim dilaporkan berkata dominasi politik Melayu telah hilang selepas perubahan kerajaan dan hak istimewa orang Melayu dipersoal di Kongres Maruah Melayu.

Pentadbir universiti itu juga memberi peringatan supaya kontrak sosial tidak dicabar.

Dalam sidang media kemudiannya, Kon berkata dia hanya dibebaskan oleh polis bantuan pada pukul sebelas pagi, setelah konvokesyen berakhir.

“Mereka beritahu pengurusan UM akan berjumpa dengan saya. Namun sehingga kini tiada sebarang maklum balas daripada pihak universiti, dan tiada satu sebab yang konkrit diberikan,” katanya petang tadi.

Wong pula berkata, dia menerima panggilan telefon daripada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfields setelah laporan polis oleh universiti, dan akan melapor diri di balai polis pada pukul dua petang esok.

Berkenaan kemungkinan ijazahnya ditarik balik, Wong berkata perbuatan itu tidak rasional dan dia akan membuat bantahan jika ia berlaku.

Malah Rahim yang sepatutnya meminta maaf kerana memulakan isu itu dan mencemarkan nama baik UM, katanya lagi.

Lihat Komen
ADS