Berniaga di kawasan Chow Kit memang lumayan namun dilema dan risikonya juga sangat besar. Itulah yang menghantui lebih 50 penjaja di kawasan tumpuan ramai itu sejak sekian lama.

Para peniaga kecil di Jalan Haji Hussin, kawasan Chow Kit ini setiap hari berhadapn dengan tindakan penguatkuasaan dari Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), dikawalselia oleh Persatuan Peniaga Kecil Bumiputera Wilayah Persekutuan (PPKBWP) dan terpaksa membayar yuran harian kepada Umno Cawangan Kampung Haji Hussin.

Mereka terpaksa menerima hakikat ini kerana ketiga-tiga badan itu berkuasa penuh di situ. DBKL berperanan mengeluarkan lesen, PPKBWP pula memilih peniaga dan Umno mengutip bayaran RM1 sehari dari peniaga di kawasan terbabit.

Selain itu para peniaga juga mendakwa berlaku penyelewengan lot berniaga seperti perbuatan menyewakan tapak niaga kepada peniaga Indonesia.

Tinjauan malaysiakini mendapati ada kira-kira 50 peniaga kecil yang berniaga di Jalan Hussin mulai jam tujuh pagi sehingga jam 2 pagi. Di antara barangan jualan ialah jam, pakaian, kasut, gerai makan, penjual ubat dan barangan permainan kanak-kanak.

"Siapakah yang berkuasa ke atas penjaja di kawasan Chow Kit ini? Mengapa penjaja rakyat tempatan tidak diberi lesen sedangkan warga asing terutama Indonesia bebas berniaga?" kata seorang peniaga, Ruziah Ismail (bawah-kiri)ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, baru-baru ini penguatkuasa DBKL membuat operasi merampas barangan penjaja haram di sekitar Chow Kit tetapi yang menimbulkan persoalan ialah mengapa hanya peniaga tertentu yang menjadi mangsa.

Peniaga warga asing

Katanya, alasan DBKL bahawa penjaja yang dirampas barangan kerana berniaga tanpa lesen dan menghalang lalu lintas tidak boleh diterima.

"Hampir semua penjaja di sini menghalang lalu lintas kerana mereka berniaga di depan hotel dan di tepi jalan utama yang menghubungkan pasar dan flat penduduk.

"Mengapa DBKL tidak bertindak ke atas peniaga yang melanggar peraturan seperti membina gerai melebih had yang dibenarkan dalam lesen perniagaan mereka dan berniaga melebihi tempoh masa yang dibenarkan," katanya.

Seorang lagi peniaga, Ramos Temihi (bawah-kanan) berkata, para peniaga sentiasa berdepan dengan kemungkinan barangan mereka dirampas oleh pihak penguatkuasa DBKL.

"Apa yang menimbulkan pertanyaan ialah penguatkuasaan yang dibuat oleh DBKL tidak menyeluruh iaitu hanya membabitkan peniaga tertentu sahaja. Saya mendapat tahu peniaga di hadapan Hotel Brisdale dan Hotel City Villa tidak pernah disaman.

"Adakah mereka peniaga tulen dan mempunyai lesen? Adakah penguatkuasaan DBKL menjalankan pemeriksaan terhadap lesen perniagaan mereka?" katanya lagi.

Beliau juga mendakwa telah berkali-kali memohon permit perniagaan dari DBKL tetapi ditolak atas alasan lesen baru tidak dikeluarkan lagi.

Peniaga ubat tradisional, Saiful Bahari mendakwa ada pihak tertentu yang membolot kawasan perniagaan dengan memperolehi banyak lesen dan kemudiannya disewakan kepada peniaga lain.

Katanya, pihak terbabit mengalibabakan lesen perniagaan untuk mendapatkan keuntungan mudah kerana satu lot disewa antara RM300 dan RM500 sebulan terutama kepada warga asing.

Beliau berkata, perkara ini menyebabkan kawasan Chow Kit ini dikuasai oleh peniaga warga Indonesia terutama suku Aceh dan Minangkabau.