mk-logo
Berita
'Komplot belakang tabir': Sumber dakwa pemimpin PH kerjasama dengan Hisham

Awal minggu ini, Pakatan Harapan (PH) membuat kenyataan mengejutkan - mendakwa Hishammuddin Hussein mengadakan komplot untuk menubuhkan kerajaan baru tanpa DAP dan Amanah.

Beberapa jam sebelum kenyataan itu, Presiden PKR Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat turut membayangkan yang Hishammuddin bergerak di belakang tabir, dan pada masa sama menggesa anggota parlimen BN agar tidak takut dengan ugutan pendakwaan.

Bekas naib presiden Umno itu telah menafikan dakwaan itu, serta dakwaan beliau ingin menghalang Anwar daripada menggantikan Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri.

Bagaimanapun sumber mendakwa sebaliknya, dan mendedahkan Hishammuddin bekerjasama dengan pihak dalam PH untuk itu.

Malaysiakini berhubung dengan sejumlah sumber dari kedua-dua pihak politik, dan tiga nama muncul - Anggota Parlimen Larut Hamzah Zainuddin dan Menteri Pembangunan Usahawan Redzuan Yusof dari Bersatu, dan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali dari PKR.

Sebelum ini Hishammuddin didakwa memudahkan Hamzah untuk keluar Umno dan menyertai Bersatu Februari lalu. Beliau menafikan dakwaan itu.

Menurut seorang sumber kanan dalam Bersatu, mereka berdua kini berusaha untuk memastikan Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri selama satu penggal penuh, dan bukannya menyerahkan kuasa kepada Anwar seperti yang dipersetujui di kalangan parti komponen PH.

"Ada tawar-menawar sedang berlaku," katanya kepada Malaysiakini.

"Ia untuk mengekalkan Mahathir sehingga tamat penggal dan sebagai pertukarannya 'kekebalan' kepada beberapa orang yang sedang atau akan berdepan pendakwaan, kecuali Najib Razak dan Ahmad Zahid Hamidi," kata sumber itu lagi.

Setakat ini, tiada pendakwaan dijatuhkan terhadap Hamzah atau Hishammuddin.

Hishammuddin sebelum ini dikaitkan dengan kontroversi pertukaran tanah Kementerian Pertahanan ketika pentadbiran BN namun beliau menafikan dakwaan itu.

Sementara itu, seorang sumber dalam PKR mendakwa Hishammuddin, Hamzah, Redzuan dan Azmin bertemu baru-baru ini untuk membincangkan rancangan mengekalkan Mahathir sebagai perdana menteri.

Keempat-empat mereka kini dikatakan sedang mendapatkan sokongan anggota parlimen. Pada masa ini, tidak jelas jika ada pemimpin PAS yang terlibat.

Redzuan Yusof

Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebelum ini menyuarakan sokongan kepada gesaan agar Mahathir mengekalkan jawatannya. Parti itu menguasai 18 kerusi Parlimen.

"Anggota parlimen daripada PKR dan Umno didekati (mereka). Kami telah mengesahkan dengan kedua-dua pihak sebelum bangkitkan isu ini. Mereka yang dedahkan perkara ini kepada kami adalah mereka yang tidak menandatangani (akuan bersumpah untuk sokong Mahathir)," kata sumber itu.

Bagaimanapun sumber itu mendakwa Hishammuddin hanya mendapat sokongan segelintir anggota parlimen Umno, manakala Azmin disokong kurang daripada 18 anggota parlimen PKR.

'Usaha peribadi Hishammuddin'

Anggota Parlimen Padang Rengas Nazri Abdul Aziz ketika dihubungi berkata, jika Hishammuddin membuat apa-apa rundingan, ia adalah "usaha peribadi" dan bukan daripada parti.

"Itu masalah dia, usahanya sendiri. Bagi saya, apa saja yang diputuskan kepimpinan parti saya sokong, tetapi majlis tertinggi yang membuat keputusan," katanya.

Nazri berkata beliau secara peribadi menyokong Anwar untuk menjadi perdana menteri atas dasar persahabatan dan anggota parlimen Port Dickson itu sebagai "ahli politik luar biasa".

Ketika menjadi setiausaha agung BN, Nazri pernah mengikrarkan sokongan Umno untuk Anwar sebagai perdana menteri, walaupun parti itu tidak menjadi sebahagian daripada kerajaan.

Pada Rabu lalu, Naib Presiden Umno Ismail Sabri juga menjarakkan parti itu daripada dakwaan rancangan Hishammuddin.

Pada 2008, Hamzah mendakwa Anwar pada 1998 pernah menggangu isterinya.

Anwar kemudian memfailkan saman fitnah kepada Hamzah, tetapi membatalkannya pada 2013 apabila kedua-dua pihak mencapai penyelesaian secara baik dan peribadi.

Selain itu, timbul spekulasi antara sebab Hamzah membuat keputusan untuk keluar Umno adalah usaha pihak dalam parti itu untuk dekat dengan Anwar.

Hamzah Zainuddin

Pertemuan ketika Kongres Maruah Melayu

Menurut sumber Bersatu, Hamzah dan Zainuddin ada bertemu dengan perdana menteri itu pada bulan lalu, sekitar waktu penganjuran Kongres Maruah Melayu.

Hamzah dikatakan memainkan peranan utama dalam penganjuran kongres itu. Namun ketua eksekutif sekretariatnya Prof Zainal Kling mendakwa anggota parlimen Larut itu hanya berperanan memastikan kehadiran Mahathir.

Tidak lama kemudian, Hishammuddin menulis artikel - yang diterbitkan beberapa media termasuk Malaysiakini - untuk menggesa perpaduan Melayu melangkaui politik tetapi dengan tidak mengabaikan kaum lain.

Dalam artikel di New Straits Times (NST) sehari kemudian, Redzuan berkata beliau ada berbincang dengan Hishammuddin tentang keperluan mewujudkan "Bangsa Malaysia" yang dipimpin orang Melayu.

"Untuk menyatukan Bangsa Malaysia, Melayu dulu perlu bersatu. Selepas itu, persoalannya ialah siapa yang akan memimpin Bangsa Malaysia.

Adakah Cina, India, Melayu, atau Orang Asli? Bagi saya, Melayu sebagai kaum majoriti mesti memimpin Bangsa Malaysia.

"Saya bawa idea ini kepada Hishammuddin baru-baru ini dan dia setuju," kata Redzuan seperti dipetik.

Ditanya tentang perkara itu di Parlimen semalam, Redzuan sekali lagi menyatakan perlunya orang Melayu bersatu di bawah satu gagasan dan untuk memimpin Bangsa Malaysia.

Tetapi apabila diminta menjelaskan sama ada penubuhan kerajaan baru juga sebahagian daripada perbincangannya dengan Hishammuddin, beliau seperti mengabaikan soalan itu dan hanya berkata: "Ini pandangan peribadi saya, ada keperluan untuk kita memikirkan kembali, untuk membentuk masa depan Malaysia".

Ketika bercakap dengan Malaysiakini, Redzuan menafikan ada bermesyuarat dengan Hishammuddin Hamzah dan Azmin, untuk membincangkan perpaduan Melayu mahupun mengekalkan Mahathir sebagai perdana menteri.

Kombinasi Azmin-Hishammuddin

Berkenaan Azmin, memang sudah lama wujud spekulasi bahawa Mahathir dan kalangan terdekatnya lebih suka beliau menggantikannya sebagai perdana menteri, bukan Anwar.

Kedua-dua sumber dalam Umno dan PKR mendakwa ada rancangan untuk Azmin dan Hishammuddin memimpin negara selepas Mahathir berundur.

Hishammuddin bagaimanapun menafikan perkara itu.

"Dia (Mahathir) tidak pernah berkata demikian kepada saya," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau juga berkata "tiada pertemuan seumpama itu" dengan Hamzah, Redzuan atau Azmin, berkenaan perpaduan Melayu atau mengekalkan Mahathir sebagai perdana menteri.

Penasihat media perdana menteri A Kadir Jasin ketika dihubungi, berkata beliau tidak tahu tentang apa-apa pertemuan Mahathir dengan Hishammuddin.

Bagaimanapun beliau berkata sesiapa saja boleh berjumpa dengan perdana menteri.

"Mana-mana rakyat ada hak untuk berjumpa perdana menteri, tanpa mengira kecenderungan politik, kerana dia perdana menteri Malaysia, bukan perdana menteri mana-mana parti," katanya.

Ini bukan kali pertama Hishammuddin didakwa terlibat dalam komplot politik membabitkan Mahathir.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Disiplin Umno Mohamed Apandi Ali mendakwa Hishammuddin disiasat, dipercayai berhubung pertemuannya dengan Mahathir.

Bagaimanapun  Hishammuddin dan beberapa pemimpin Umno lain menafikan ada siasatan seumpama itu.

GPS tak peduli siapa pegang kuasa

Maklumat yang dikumpul daripada sumber-sumber Malaysiakini menunjukkan walaupun semua anggota parlimen Bersatu (27), BN (40), dan PAS (18) bersatu dengan 18 anggota parlimen PKR yang menyokong Azmin, dan juga tiga anggota parliman Gabungan Bersatu Sabah dan dua anggota parlimen Bebas, jumlahnya hanya 108 kerusi parlimen.

Jumlah itu kurang empat kerusi daripada 112 kerusi yang diperlukan untuk menubuhkan kerajaan.

Untuk menjamin kejayaan usaha itu, arkiteknya memerlukan sokongan anggota parlimen daripada Warisan di Sabah atau GPS di Sarawak. Warisan ada sembilan kerusi parlimen manakala GPS ada 18.

Setiausaha Agung GPS Alexander Nanta Linggi memberitahu Malaysiakini, setakat pengetahuannya, tiada anggota parlimen dari gabungan itu yang didekati untuk menyokong Mahathir menghabiskan penggal ini.

"Tetapi jika mereka bercakap secara individu, saya tidak tahu," katanya.

Katanya, GPS tidak kisah siapa yang menjadi perdana menteri, atau sama ada Mahathir memegang jawatan itu untuk sepenggal penuh.

"Sama ada Mahathir atau anwar, kami tidak terlalu peduli. Kami mahu kerajaan, tanpa mengira siapa pemimpinnya, untuk mentabdir negara dengan baik dan berpegang kepada manifesto PH," katanya lagi.

GPS juga memiliki sekutu yang tidak termasuk dalam gabungan itu, iaitu Parti Bersatu Sarawak. Parti itu sebahagian daripada kerajaan negeri dan mempunyai seorang anggota parlimen.

Sementara itu, Anggota Parlimen Labuan Rozman Isli - yang melompat dari Umno ke Warisan tahun lalu - berkata beliau tidak didekati mana-mana pihak dalam isu itu.

Langkah Bersatu untuk mengembangkan sayapnya di Sabah, yang bertentangan dengan persefahaman yang dicapai dengan Warisan sebelumnya, boleh menjadi batu penghalang dalam memenangi sokongan anggota parlimen parti itu yang dipimpin Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal.

Warisan juga bersekutu dengan Upko, yang memiliki satu anggota parlimen.

Malaysiakini telah meminta komen daripada pejabat Azmin dan Hamzah tetapi belum menerima maklum balas.

Walaupun kedua-dua Mahathir dan Anwar sering menegaskan peralihan kuasa antara mereka akan berjalan seperti yang dijanjikan, dakwaan komplot - dan tindak balas terhadap plot itu - membangkitkan persoalan, adakah negara akan menyaksikan episod 1998 berulang?

Laporan tambahan oleh Fion Yap, Geraldine Tong dan Kow Gah Chie.

Lihat Komen
ADS