Paling Popular
Terkini

Bekas Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein mengalu-alukan siasatan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) terhadap beberapa perjanjian pertukaran tanah melibatkan Kementerian Pertahanan.

"Buatlah, saya tidak ada apa-apa untuk disembunyikan," katanya kepada media ketika ditemui di lobi Parlimen hari ini.

Bagaimanapun, beliau menggesa PAC yang dikuasai Pakatan Harapan agar tidak bersikap selektif dalam siasatannya.

"Mereka perlu bersikap adil untuk menyiasat pertukaran tanah, dari awal dan pada masa Mahathir menjadi perdana menteri (dari tahun 1981)," katanya.

Sebelum ini, Menteri Pertahanan Mohamad Sabu mendedahkan tawaran pertukaran tanah melibatkan Kementerian Pertahanan telah menyebabkan kerugian dan ketirisan lebih RM500 juta.

Malaysiakini difahamkan kerugian dan ketirisan berlaku melalui 16 projek sejak tahun 1997.

Bekas ketua audit negara, Ambrin Buang yang mengetuai Jawatankuasa Siasatan Khas Isu-Isu Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Negara di Kementerian Kewangan akan bertemu anggota PAC petang ini.

Mengesahkan perkara itu, timbalan pengerusi PAC Wong Kah Woh menolak kebimbangan mengenai siasatan terpilih seperti dibangkitkan Hishammuddin.

"Kami percaya bahawa Amrin, dalam taklimatnya dengan PAC, akan memberikan kami semua butiran pertukaran tanah dari A hingga Z.

"Ia bukan hanya pertukaran tanah di Paloh dan Sembrong, tetapi juga tanah dan kem tentera lain," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS