Kerajaan Malaysia mengambil keputusan menghentikan pembinaan jambatan baru bagi menggantikan Tambak Johor setelah mengambil kira suara dan sentimen rakyat terutama berkenaan bekalan pasir dan ruang udara.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu kenyataan mengumumkan, kerajaan juga membuat keputusan untuk memberhentikan semua rundingan bersabit dengan jambatan tersebut.

Sebelum ini Malaysia bercadang untuk meneruskan pembinaan jambatan itu di bahagian perairan Malaysia walaupun Singapura enggan berkerjasama. Jambatan yang dipanggil " Jambatan Indah" itu diperlukan untuk menggantikan Tambak Johor yang sesak.

Singapura mengemukakan pelbagai syarat dan alasan untuk menyokong cadangan pembinaan jambatan baru itu termasuk meminta kebenaran menggunakan ruang udara negara ini untuk latihan penerbangan dan bekalan pasir.

Menurut laporan Bernama, Singapura pada mulanya mahu Tambak Johor dikekalkan dengan alasan ia mempunyai nilai sejarah dan tidak percaya projek itu memberikan manfaat kepadanya.

Apabila Malaysia secara unilateral meneruskan projek itu di kawasannya, Singapura memberi amaran bahawa pembinaan jambatan itu boleh mendatangkan "implikasi serius", tanpa menjelaskan lebih lanjut.

Sistem ekologi

Bagi Malaysia, jambatan itu dapat mengurangkan kesesakan lalulintas di Tambak Johor yang akan menguntungkan pengguna kedua-dua negara selain meningkatkan kualiti air di Selat Tebrau yang terhalang alirannya sejak adanya Tambak Johor, sekaligus memulihkan sistem ekologi di perairan itu.

Malaysia meneruskan pembinaan projek itu dengan harapan rundingan antara kedua-dua kerajaan akan mencapai persetujuan Singapura untuk menyambung jambatan itu di bahagiannya.

Bagaimanapun, Menteri Luar Kedua Singapura Raymond Lim memberitahu Parlimen republik itu awal bulan ini bahawa negara itu tidak dapat menerima bahawa Malaysia berhak membuat keputusan sendiri membina separuh daripada jambatan itu.

Dalam rundingan kedua-dua kerajaan, Singapura, telah meminta antara lainnya supaya Malaysia membenarkan pesawat pejuangnya menggunakan ruang udara Malaysia dan ia dibekalkan pasir sebagai balasan.

Permintaan Singapura itu dikritik rakyat Malaysia, terutamanya penduduk Johor yang menganggapnya sebagai keterlaluan, yang jika dituruti boleh diibaratkan menggadaikan kedaulatan negara.