PM nafi projek RMK9 dibolot kroni
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan dakwaan kononnya 80 peratus daripada keseluruhan projek RMK9 sudah diberikan kepada konco-konconya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi menafikan dakwaan kononnya 80 peratus daripada keseluruhan projek RMK9 sudah diberikan kepada konco-konconya.
"Saya terkejut. Baru sebulan umum RMK9, takkan dah boleh bolot projek," katanya. Dakwaan tersebut disirakan dalam sebuah akhbar parti pembangkang baru-baru ini.
Semasa membentangkan RMK9 pada 31 Mac Abdullah mengumumkan peruntukan pembangunan sebanyak RM200 bilion untuk tempoh lima hingga 2010.
Abdullah sebaliknya menegaskan beberapa tindakan akan dilakukan bagi memastikan projek di bawah RMK9 dan bajetnya dilaksankan dengan sebaik mungkin untuk kepentingan seluruh rakyat, bukan bagi faedah kumpulan tertentu sahaja.
Umpamanya, projek membasmi kemiskinan dalam RMK9 akan diberi penekanan dan dipastikan memberi nilai impak kepada rakyat.
Tegas beliau, tidak memadai jika sekadar membelanjakan peruntukan yang disediakan sahaja sedangkan ia tidak memberi kesan kepada rakyat. Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melawat Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah di Putrajaya.
Kemiskinan tegar
Menurut laporan Bernama, Abdullah mahu pelaksanaan projek membasmi kemiskinan dan kemiskinan tegar dilakukan secara kos efektif dan mencapai matlamatnya, dengan kumpulan sasaran mendapat nikmat untuk meningkatkan keupayaan mereka.
"Sebagai contoh, adalah tidak elok jika peruntukan RM100,000 tetapi RM60,000 dibelanjakan sebagai kos pentadbiran dan baki RM40,000 baru digunakan untuk melaksanakan sesuatu projek membasmi kemiskinan," katanya.
Katanya, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah akan menjadi penyelaras bagi projek dan program membasmi kemiskinan termasuk kemiskinan tegar.
"Bagaimanapun, jika projek basmi kemiskinan itu berkait dengan pertanian maka Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani pula akan menjadi penyelaras projek," katanya.
Abdullah berkata Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) akan turut memantau bukan sahaja daripada segi wang yang dikeluarkan dan dibelanjakan tetapi juga meliputi nilai impak projek membasmi kemiskinan itu.
"Kita tak boleh sekadar kata peruntukan dah belanja 50 peratus, dah cukup," katanya.
Menjawab soalan, Abdullah berkata had perbelanjaan pentadbiran bagi sesuatu projek bergantung kepada keadaan.
"Mungkin ada projek yang peruntukan pentadbirannya tinggi kerana terpaksa menggunakan helikopter untuk membawa bahan binaan sebuah sekolah di kawasan pedalaman. Dalam situasi itu, tak apa tapi yang lain tak wajar," katanya.
Beliau juga mengarahkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) menyediakan pelan rancangan pelaksanaan projek membasmi kemiskinan itu agar pelaksanaannya oleh agensi-agensi kerajaan menjadi teratur.

