Singapura tidak anggap satu kemenangan
Singapura tidak menganggap keputusan Malaysia memberhentikan pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor sebagai satu kemenangan.
Singapura tidak menganggap keputusan Malaysia memberhentikan pembinaan jambatan baru menggantikan Tambak Johor sebagai satu kemenangan.
Menteri Luarnya, George Yeo berkata, ini bukan soal menang atau kalah, tetapi soal kepentingan bersama dan masa depan kedua-dua negara.
"Tidak, tidak. Ini tidak ada kaitan dengan kemenangan atau kekalahan. Semua yang kita lakukan adalah untuk kepentingan bersama.
"Kita bekerjasama dalam banyak perkara. Hubungan ekonomi kita kukuh, hubungan antara rakyat juga baik, dan dalam Asean dan dalam pelbagai projek serantau, kita bekerjasama rapat," kata Yeo.
Yeo yang mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semalam berhubung pembatalan projek jambatan itu berkata, beliau terkejut dengan keputusan itu kerana rundingan antara kedua-dua pihak telah sampai ke peringkat teknikal.
"Saya agak terkejut juga kerana kita sedang berunding dan mencapai kemajuan," kata Yeo dalam satu kenyataannya yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Singapura hari ini.
Bagaimanapun katanya, Singapura menghormati keputusan itu dan yakin hubungan baik antara kedua-dua negara akan berterusan.
Hubungan baik
"Kerjasama kita meliputi banyak bidang. Saya pula mempunyai hubungan yang baik dengan Syed Hamid, dan saya berharap kami dapat sama-sama menggalakkan hubungan baik antara kedua-dua negara," katanya.
Menurut laporan Bernama, Yeo diberitahu oleh Syed Hamid mengenai keputusan kerajaan Malaysia itu menerusi telefon pada kira-kira jam 1 tengah hari semalam.
"Syed Hamid telefon dan memberitahu saya mengenai keputusan itu dan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi akan membuat pengumuman tidak lama lagi. Beliau hendak memberitahu saya awal-awal lagi. Saya ucapkan terima kasih kepada beliau," tambahnya.
Beliau berkata, Syed Hamid tidak memberikan sebarang butiran, tetapi sekadar menjelaskan bahawa ia berkaitan pertimbangan politik dalaman Malaysia.
"Mereka tidak memberikan banyak butiran tetapi saya yakin kita akan memperolehinya dalam beberapa hari lagi," kata Yeo.
Abdullah semalam mengumumkan keputusan menghentikan projek itu dibuat dengan mengambil kira pendapat dan sentimen rakyat, khususnya berhubung isu bekalan pasir kepada Singapura dan membenarkan pesawat pejuang republik itu menggunakan ruang udara Malaysia.
Abdullah turut mengumumkan kerajaan akan menamatkan rundingan dengan Singapura berhubung isu jambatan itu dan menjelaskan Malaysia juga mengambil kira aspek implikasi perundangan projek itu.

