PM: Saya pun perlu ditegur
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengecam segelintir kakitangan kerajaan yang cuba menunjukkan kuasa dengan melengah-lengahkan pelaksanaan projek pembangunan.
Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengecam segelintir kakitangan kerajaan yang cuba menunjukkan kuasa dengan melengah-lengahkan pelaksanaan projek pembangunan.
Sambil menyifatkan kakitangan berkenaan sebagai 'little Napolean', beliau berkata mereka ini, antara lainnya gemar menyalahguna kuasa.
"Tak perlulah tunjuk kuasa dengan melengah-lengahkan sesuatu. Ada yang tahan fail, ada yang tahan keputusan," katanya ketika berucap pada perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di Putrajaya pagi ini.
"Kita tak nak ada 'little Napoleon' dalam perkhidmatan awam, yang menunjukkan kuasa umpamanya, hanya sebagai satu pengajaran kepada seseorang," katanya.
Abdullah, yang juga Menteri Kewangan, berkata walaupun bilangannya kecil, kerajaan tidak mahu melihat kumpulan yang kecil ini menimbulkan masalah kepada orang ramai.
'Kerana nila setitik...'
"Kerajaan tidak mahu disebabkan nila setitik, rosak susu sebelanga," katanya.
Perdana Menteri juga mengulangi saranannya kepada kakitangan kerajaan supaya membantu dan bukannya menggagalkan pelaksanaan semjua projek pembangunan yang dibiayai sama ada oleh kerajaan atau swasta.
Menurut laporan Bernama beliau berkata segala masalah, aduan dan teguran yang dibuat oleh orang ramai berhubung pelaksanaan sesuatu projek pembangunan perlu diteliti dengan baik.
"Jangan apabila ada orang tegur kita, kita anggap orang itu banyak cakap dan kita perlu ajar dia dengan tunjuk kuasa kita pula.
"Jangan ada orang yang tidak boleh ditegur. Saya sendiri pun perlu ditegur," kata Abdullah.

