Terjemahan Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kenyataannya bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim seorang homoseksual adalah "wajar" dan menegaskan bahawa beliau mempunyai "tanggungjawab sosial dan moral" untuk berbuat demikian.

Beliau menyatakan demikian dalam kenyataan balasnya terhadap saman malu yang difailkan oleh Anwar terhadapnya. Bekas timbalan perdana menteri itu mendakwa, beliau telah difitnah melalui kenyataan yang dibuat oleh Dr Mahathir di satu majlis awam anjuran Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) tahun lalu.

Dalam kenyataan pembelaannya setebal 37 muka surat yang difailkan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, beliau menegaskan, tuduhan "gay" itu adalah tepat berdasarkan fakta-fakta, termasuk penghakiman bersalah terhadap bekas penulis teks ucapan Anwar, Dr Munawar Anees dan adik angkatnya, Sukma Darmawan Sasmitaat Madja berhubung kesalahan meliwat yang melibatkan bekas Timbalan Perdana Menteri itu.

Mahathir juga menjelaskan, beliau mempunyai tanggungjawab moral dan sosial untuk membuat kenyataan itu kerana Anwar masih menyimpan cita-cita untuk menjadi Perdana Menteri negara ini.

Dokumen pembelaan Mahathir itu difailkan oleh peguamnya, V.K Linggam. Bekas Perdana Menteri itu juga mendakwa tindakan undang-undang yang diambil oleh Anwar itu adalah satu penyalahgunaan proses mahkamah.

Mahathir juga mendakwa Anwar tidak layak menganggotai kabinet Malaysia kerana terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.

Tuntutan mohon maaf

Pada Januari tahun ini Anwar memfailkan saman malunya dengan menuntut gantirugi yang tidak dinyatakan jumlahnya dan memohon perintah mahkamah menghalang Mahathir mengulangi tuduhan tersebut.

Sebelum mengambil tindakan mahkamah itu, Anwar telah menghantar surat tuntutan, menuntut Mahathir memohon maaf secara terbuka dan membayar gantirugi RM100 juta kerana membuat kenyataan yang memalukan dirinya.

Dalam pembelaannya itu Mahathir juga menyatakan, keputusan penghakiman bersalah terhadap Munawar (kanan) dan Sukma (kiri) berhubung kesalahan meliwat masih kekal, oleh itu fakta-fakta kes berkenaan membuktikan Anwar terlibat dalam aktiviti tidak bermoral.

Katanya lagi, walaupun Mahkamah Persekutuan telah melepaskan Anwar dari kesalahan meliwat tetapi mahkamah tertinggi negara ini telah mendapati "wujudnya bukti mengesahkan Anwar dan Sukma terbabit dalam aktiviti homoseksual".

Mahathir berkata, berdasarkan kes-kes tersebut, beliau mempunyai alasan yang wajar untuk mempercayai Anwar adalah seorang homoseksual pada ketika itu. Berita asal