Malaysiakini
BERITA

Dua Adun antara 10 didakwa lagi berkaitan LTTE

Diterbitkan
Dikemaskini 31 Okt 2019, 9:43 pagi

Adun Gadek G Saminathan dan Adun Seremban Jaya P Gunasekaran adalah antara sepuluh lelaki yang hari ini didakwa lagi di beberapa Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur yang berasingan berhubung kaitan mereka dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Elam atau LTTE yang kini tidak lagi beroperasi.

Pada 29 Oktober lalu, semua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di beberapa negeri. Hari ini semua 10 lelaki itu sekali lagi dibawa ke tiga Mahkamah Sesyen berasingan, bagi menghadapi pertuduhan tambahan.

Ahli DAP, V Suresh Kumar, 43, dan peniaga B Subramaniam, 57, pula pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen menjadikan semua yang didakwa, 12 orang.

Di hadapan Hakim Rozina Ayob, Saminathan, 34, pemandu teksi V Balamurugan, 37, penghantar surat S Teeran, 38, dan peniaga besi buruk A Kalaimughilan, 28, masing-masing didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan LTTE.

Mahkamah 8

Mereka didakwa menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama berlainan. Saminathan didakwa menggunakan nama ‘Gsami Nanthan Siva', Balamurugan atas nama 'Balamuurungan Veerasamy', Teeran dengan nama 'Tamil Kannamah' dan Kalaimughilan dengan nama 'Kalai Mugilan’.

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8(M) Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, di Kuala Lumpur pada 7 Okt dan 8 Okt 2019 pada masa berlainan iaitu 9 pagi, 10 pagi dan 9.30 malam.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Teeran turut didakwa atas pertuduhan memiliki item berkaitan dengan kumpulan LTTE di kawasan letak kereta B2, Mandarin Pacific Hotel, Jalan Sultan di Kuala Lumpur, pada 11.40 pagi 10 Okt lepas mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Kalaimughilan juga menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dengan cara menggunakan aplikasi media sosial YouTube pada 10 pagi 2 Jun 2014 di lokasi sama.

Dia turut didakwa dengan pengetahuan telah memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam satu majlis di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan No 2, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap di Kuala Lumpur pada 8 malam hingga 11. 30 malam, 17 Mac 2014.

Kedua-dua pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan.

Pada 29 Okt lepas, kesemua mereka didakwa di Mahkamah Sesyen di beberapa negeri berkaitan kumpulan LTTE.

Saminathan didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka atas pertuduhan memberi sokongan kepada kumpulan itu dalam satu majlis di Dewan Kasturi Ayer Keroh, Jalan Utama, Taman Ayer Keroh Heights di sini pada 8.30 malam hingga 10.50 malam, 28 Nov, 2018.

Di Kuala Kangsar, Perak, Balamurugan, menghadapi pertuduhan memberi sokongan kepada LTTE dalam majlis di Dewan Majlis Perbandaran Kuala Kangsar Cawangan Sungai Siput (Utara) antara 6.30 petang sehingga 11.45 malam, 28 Dis, 2014.

Kalaimughilan, 28, dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan memiliki item-item berkaitan dengan kumpulan LTTE di sebuah rumah di Jalan Anggerik 5D, Bukit Sentosa, Rawang dan di dalam sebuah kereta di tempat sama, pada 9.30 pagi dan 12.35 tengah hari, 10 Okt lepas.

Teeran, didakwa di Segamat, Johor atas kesalahan sama di alamat 10M, Jalan Genuang, Kampung Paya Pulai kira-kira 6.30 petang, 10 Okt lepas.

Mahkamah 9

Di mahkamah sesyen berasingan, Adun Seremban Jaya P Gunasekaran dan pengutip besi buruk A Kalaimughilan dihadapkan sekali lagi ke Mahkamah Sesyen bagi menghadapi pertuduhan tambahan berkaitan kumpulan pengganas LTTE.

Pada 29 Okt lepas, Gunasekaran, 60, didakwa di Mahkamah Sesyen Melaka manakala Kalaimughilan, 28, dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang, di Kuala Lumpur.

Sementara itu ahli DAP, V Suresh Kumar, 43, dan peniaga B. Subramaniam, 57, pula pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Sesyen berhubung kumpulan LTTE.

Tiada pengakuan direkodkan daripada keempat-empat tertuduh yang hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Gunasekaran, Suresh Kumar dan Subramaniam masing-masing didakwa dengan pengetahuan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi sosial Facebook atas nama berlainan.

Gunasekaran didakwa menggunakan nama "DAP Guna Palanisamy ", Subramaniam atas nama "US Subra Subramaniam" dan Suresh Kumar dengan nama "RocketSuresh DAP".

Mereka dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8 (M) Counter Terrorism Cawangan Khas Bukit Aman, di sini pada 7 Okt dan 11 Okt 2019 pada masa berlainan iaitu 2 petang, 5.30 petang dan 6 petang.

Pertuduhan mengikut Seksyen 130J (1)(a) Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sepanjang hayat atau maksimum 30 tahun atau denda dan boleh dirampas mana-mana harta yang digunakan atau diniat untuk digunakan untuk melakukan kesalahan itu, jika sabit kesalahan.

Kalaimughilan pula didakwa dengan pengetahuan telah mengedar item yang berkaitan dengan LTTE di Dewan Tan Sri Soma, Wisma Tun Sambanthan, Jalan Sultan Sulaiman, Kampung Attap, di Kuala Lumpur, lebih kurang 8 malam hingga 11.30 malam, 17 Mac 2014.

Dia dituduh mengikut Seksyen 130JB(1)(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda dan dilucutkan mana-mana item itu, jika sabit kesalahan.

Mahkamah 14

Turut dibawa ke mahkamah sesyen hari ini di hadapan Hakim Azman Ahmad, adalah lima lelaki.

Mereka adalah ketua pegawai perbadanan S Chandru, 38, juruteknik S Arivainthan, 27, penjaga stor SThanagaraj, 26, pengawal keselamatan M Pumugan, 29, dan seorang guru sekolah menengah kebangsaan di Telok Panglima Garang, Selangor, Sundram Renggan @ Rengasamy, 52 tahun.

Kesemua mereka didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas LTTE dengan cara menggunakan aplikasi Facebook masing-masing atas nama ‘Ariventhan Subramaniam’, ‘Tamilarasan Sivam’, ‘Pumagan Tamilan’ ,’Chandru Suparmaniam’ dan ‘Elilan Elilan’.

Mereka masing-masing dituduh melakukan kesalahan itu di Pejabat Pegawai Penyiasat Bahagian E8(M) Cawangan Khas Bukit Aman di Kuala Lumpur pada 9 pagi dan 3 petang, antara 11 Jan dan 11 Okt lepas.

Kesemuanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Azman Ahmad.

Pengakuan tidak direkodkan daripada kesemua tertuduh kerana mereka ditahan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) dan kes-kes di bawah SOSMA akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.

Pengakuan mereka akan direkodkan di Mahkamah Tinggi kemudian.

Pada 29 Okt lepas, kelima-lima tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen di beberapa negeri atas pertuduhan memberi sokongan dan memiliki item berkaitan kumpulan itu.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad manakala peguam Ramkarpal Singh, Gan Chen Kiong, Damian Yeo dan RSN Rayer mewakili tertuduh.

Muhamad Iskandar tidak menawarkan jaminan ke atas kesemua tertuduh atas alasan penahanan mereka di bawah SOSMA tidak dibenarkan jaminan.

Peguam Ramkarpal memohon supaya tertuduh dibenarkan jaminan dan turut memohon agar permohonan jaminan dirujuk ke Mahkamah Tinggi.

Mahkamah menetapkan esok untuk keputusan permohonan jaminan. Semua tertuduh kemudiannya dibawa ke Penjara Sungai Buloh untuk ditahan.

Beri pendapat anda!

Jadi pelanggan Malaysiakini untuk menjadi pengulas berita. Anda dapat mengakses kandungan semua bahasa dan menulis komen di semua platform Malaysiakini.

Bersatu sokong media bebas.